Peluang Mendapat Redha Allah SWT

“Padahal mereka tidak diperintahkan selain menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar. 

Sesungguhnya orang kafir dari ahli Kitab dan orang musyrik itu akan ditempatkan dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk. Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. 

Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah redha akan mereka dan mereka pun redha (serta bersyukur), akan nikmat pemberian-Nya. 

Balasan yang demikian itu untuk orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.”

(surah al-Bayyinah, 5-8)

Ayat kelima dalam surah al-Bayyinah menerangkan perintah Allah SWT kepada manusia agar beribadah kepada Allah SWT dengan ikhlas serta meninggalkan segala kepercayaan batil yang bercanggah dengan Islam, mendirikan solat pada waktunya dan menunaikan zakat yang telah difardhukan untuk kepentingan fakir miskin supaya wujud keseimbangan. Inilah yang dimaksudkan sebagai agama yang lurus yang akan membawa seseorang kepada keredhaan Allah SWT dan menjauhkannya darpada kemurkaan-Nya.

Para ulama’ sepakat mengatakan bahawa penerimaan amalan hanya memerlukan dua syarat iaitu ikhlas kerana Allah SWT dan menepati kaifiat yang dianjurkan dalam sunnah. Ini selari dengan peringatan Allah SWT dalam surah al-Syu’ara, ayat ke 88-89 yang bermaksud:-

“Hari yang padanya harta benda dan anak pinak tidak dapat memberikan pertolongan apa pun. Kecuali (harta benda dan anak pinak) orang yang mendatang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (daripada syirik dan penyakit munafik).”

Tempa Hati Yang Sejahtera

Ibn ‘Atiyyah al-Andalusi menjelaskan dalam tafsirnya al-Muharrar al-Wajiz, ijmak ulama’ mengatakan maksud “hati yang selamat sejahtera” itu adalah diri yang selamat daripada syirik kepada Allah SWT. Dalam pandangan yang lain pula, ia bermaksud hati yang jauh daripada melakukan dosa-dosa besar dan bebas daripada rasa cinta kepada dunia.

Perkataan ikhlas sebenarnya diambil daripada kata nama “khalusa” yang bererti murni, sedangkan sebelum itu ia diselaputi kekeruhan. Maknanya perkataan ini memandu kita agar memurnikan dan menyucikan diri sehinga terarah kepada Allah SWT semata-mata, sedangkan sebelum ini, individu itu mungkin banyak dipengaruhi oleh kepentingan-kepentingan keduniaan.

Perkataan “hunafa’” adalah kata jamak daripada “hanif” yang diterjemahkan sebagai lurus atau cenderung kepada sesuatu. Akhirnya perkataan ini digunakan untuk menunjukkan kepada pegangan yang kuat kepada Islam sehingga membantunya berjalan dengan tetap istiqamah ke arah matlamat yang dikehendaki oleh Allah SWT.


Dari sudut yang lain, Islam merupakan satu cara hidup yang pertengahan tanpa mengabaikan aspek material dan pada masa yang sama tidak mengabaikan aspek kerohanian. Sekiranya kehidupan berbudaya material itu diibaratkan berada di sebelah kiri dan kerohanian itu atau terlalu spiritual itu berada di posisi kanan, maka Islam berada di pertengahan di atas landasan yang lurus mengambil daripada kedua-duanya.

Ibadah solat dan zakat ditekankan secara khusus dalam surah ini bertujuan mengajar kita selaku umat Islam tentang pentingnya hubungan dengan Allah SWT dan hubungan dengan manusia. Solat melambangkan ketundukan kepada Allah SWT, manakala zakat ialah tali yang menjalinkan sesama manusia terutamanya membantu golongan yang memerlukan.

Sisihkan Neraka

Pada hujung ayat ke-5, Allah SWT menyebut satu daripada sifat Islam ini dengan firmannya:

 وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
Islam merupakan suatu cara hidup yang lurus, mengajar manusia supaya mengesakan Allah SWT dan meninggalkan semua bentuk sembahan selain Allah SWT.

Dalam ayat ke-6 pula, Allah SWT menjelaskan bahawa sesiapa yang enggan menurut perintah-Nya akan dicampakkan ke dalam neraka. Menurut Ibn ‘Atiyyah dan Ibn Kathir, ayat ke-6 ini meletakkan setiap penganut agama selain Islam akan mendapat seksaan yang berkekalan di dalam neraka. Mereka ini dinamakan dengan gelaran “syarrul bariah” iaitu seburuk-buruk makhluk. Ini termasuklah Ahli Kitab.

Hanya pengarang tafsir al-Misbah sahaja yang berpandangan dengan pandangan “syaz” (janggal) bahawa Ahli Kitab terkecuali daripada hukuman ini. Hujah yang digunakannya adalah dengan berpandukan kepada ayat ke-5 surah al-Ma'idah. Beliau tersilap sedangkan ayat tersebut lebih menjurus kepada masalah perkahwinan dengan wanita Ahli Kitab dengan syarat-syarat yang amat ketat. Tambahan pula ia dibenarkan dengan tujuan dakwah, tidak lebih daripada itu.

Pilih Syurga

Kemudian Allah SWT, menceritakan perihal hamba-hamba-Nya yang mentaati-Nya dan mengerjakan amal soleh, bahawa mereka dikurniakan gelaran sebaik-baik makhluk. Ibn Kathir menjelaskan bahawa para ulama’ daripada kalangan sahabat seperti Abu Hurairah RA berpendapat bahawa ayat ini menjadi bukti kelebihan kedudukan golongan Mukminin yang melebihi kedudukan malaikat. Ini yang dimaksudkan dengan “khairul bariyyah”.

Dalam ayat ke-8 yang juga merupakan ayat terakhir sebagai penutup tirai, berita gembira kerana amal soleh yang dilakukan itu ialah ganjaran yang besar di sisi Allah SWT di akhirat kelak. Ganjaran itu berupa syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai sebagai simbol terhadap keberterusan tanpa henti. Nikmat di dalam syurga ini kekal tiada noktah akhirnya.

Sebagai tanda kasih sayang Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang taat ini, mereka mendapat keredhaan Allah SWT yang menjadi impian setiap manusia. Anugerah keredhaan inilah yang mengatasi segala nikmat yang lain tanpa ada tolok bandingnya. Inilah keutamaan memiliki pangkat “yang demikian itu adalah bagi yang takut pada Tuhannya”.


Awal ayat daripada surah ini berbicara tentang Ahli Kitab dan kaum Musyrikin yang mempertahankan kesesatan mereka. Akhirnya mereka menemui hukuman Allah SWT berupa seksaan yang pedih dan berkekalan di akhirat. Sebaliknya bagi kaum Mukminin, mereka mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT di akhirat dan nikmat syurgawi yang berkekalan. Malahan lebih daripada itu, keredhaan Allah SWT yang ditekankan dengan kalam-Nya yang bermaksud:-

“Allah redha akan mereka dan mereka pun redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya” 

Wallahua'lam.