Jalan Kebaikan

“Adakah ia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya (akan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu?). Tidakkah Kami telah menjadikan baginya dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan Kami?). 

Dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan hajat-hajatnya)? Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebaikan untuk dijalaninya dan jalan kejahatan untuk dijauhi)? Dalam pada itu manusia tetap tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan.

Dan apakah caranya engkau dapat mengetahui, apakah amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (di antara amal-amal itu, bagi orang yang mampu) ialah memerdekakan hamba abdi. Atau memberi makan pada hari kelaparan. Kepada anak yatim daripada kaum kerabat. Atau kepada orang miskin yang terlantar.

Selain (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia (tidak pula) menjadi orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang. (Ketahuilah bahawa orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan kanan (yang akan beroleh syurga).

Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur, ingkar akan ayat-ayat keterangan kami, merekalah golongan kiri. Mereka ditimpa (azab seksa) neraka yang ditutup rapat.”

(surah al-Balad 90:7-20)

Dalam ayat ke-7, Allah SWT memperingatkan bahawa janganlah dengan keangkuhan itu menyebabkannya merasakan tiada seseorang yang mengikuti perbuatan dan aktivitinya. Sebab itulah Allah SWT berfirman dalam ayat 7-9, maksudnya:-

“Adakah ia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya (akan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu?). Tidakkah Kami telah menjadikan baginya dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan Kami?). Dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan hajat-hajatnya)?”

Penganugerahan mata, lidah dan bibir merupakan nikmat-nikmat yang amat besar agar dimanfaatkan sehingga membawanya kepada menyakini kekuasaan Allah SWT dan mematuhi. Penyebutan ini juga bertujuan membongkar rahsia asal usul manusia, bahawa sepatutnya dia menjadikan kehidupannya dan kekayaan sebagai usaha untuk mentaati Allah SWT sebagai tanda mensyukuri nikmat-Nya.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadith qudsi yang bermaksud:-

“Allah berfirman: 

‘Hai anak Adam! Aku telah memberimu nikmat yang amat banyak. Engkau tidak akan dapat menghitungnya dan mensyukurinya. Dua mata untuk engkau melihat dengannya dan Aku beri tutup maka gunakan untuk melihat perkara yang Aku halalkan dan apabila engkau melihat benda yang Aku haramkan maka tutuplah matamu.

Juga Aku beri lidah kepadamu, juga gunakannya untuk mengucapkan apa yang Aku perintah dan halalkan bagimu, jika ada sesuatu yang Aku haramkan maka aku tutuplah rapat-rapat lidahmu. Juga Aku berikan kepadamu kemaluan dan Aku beri tutup, maka pergunakanlah kemaluanmu itu untuk apa yang Aku halalkan dan jika ada sesuatu yang Aku haramkan maka tutuplah.

Hai anak Adam, engkau tidak sanggup menanggung murka-Ku dan tidak kuat menerima seksa pembalasan-Ku.”

Dua Jalan

Lalu Allah SWT menyebutkan dalam ayat ke-10 bahawa manusia diberi pilihan sama ada mengikuti jalan yang baik atau jahat. Ini adalah pandangan Sufyan al-Thawri yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud RA. Malah menurut Ibn Kathir, ia adalah pandangan jumhur para pentafsir daripada kalangan salaf seperti Ibn Abbas, Ali bin Abi Talib, Mujahid, Ikrimah, Abu Wa’il, Abu Salih, Muhammad bin Ka’ab, al-Danhak, ‘Atha’ al-Khurasani dan lain-lain.

Menurut al-Raghib al-Asfahani, dalam kitabnya Mufradat Alfraz al-Quran, “al-najdain” yang dimaksudkan meliputi segala perkara yang hak dan batil dalam kepercayaan, kebenaran dan pembohongan dalam ucapan serta jalan yang baik dan buruk dalam perbuatan. 

Ibn Zaid mentafsirkan ayat ke-11 dengan maksud:-

“Mengapakah dia tidak menempuh jalan yang mendaki dan sukar?”

Ibn Kathir menyimpulkan maksud pendakian dan kesukaran itu sebagai merujuk kepada kebaikan dan keselamatan kerana lazimnya kebaikan menagih seseorang itu untuk berkorban dan bersusah payah. Ini disebabkan penggunaan kata kerja اقْتَحَمَ bermakna menempuh sesuatu dengan cara yang amat sukar, seumpama perbuatan mendesak-desak di tempat yang ramai orang.

Lakukan Kebaikan

Allah SWT kemudiannya menjelaskan dalam ayat 12 hingga 17, peluang melakukan kebaikan itu terletak di atas beberapa tanggungjawab.

Perkara ini dikemukakan menerusi firman-Nya yang bermaksud:-

“Dan apakah caranya engkau dapat mengetahui, apakah amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (di antara amal-amal itu, bagi orang yang mampu) ialah memerdekakan hamba abdi. Atau memberi makan pada hari kelaparan. Kepada anak yatim daripada kaum kerabat. Atau kepada orang miskin yang terlantar.

Selain (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia (tidak pula) menjadi orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.”

Walaupun perhambaan sudah pun hampir tiada pada hari ini, namun al-Syeikh Mahmud Syaltut menjelaskan dalam bukunya al-Islam Aqidah wa Syari’ah, perhambaan masih wujud lagi dalam bentuk penganiayaan atau kezaliman pihak yang berkuasa terhadap pihak yang lemah. Barangkali penindasan pihak majikan terhadap para pekerjanya yang ketiadaan peluang untuk bekerja di tempat lain juga termasuk sebahagian daripada perhambaan. Majikan haruslah ingat bahawa kelebihan ilmu ataupun harta mahupun peluang bukanlah kayu ukur bahawa mereka boleh menindas golongan pekerja atau orang yang lemah.

Tuntutan berlaku baik kepada anak-anak yatim sebenarnya bukan hanya terbatas kepada anak-anak yatim sebenarnya bukan hanya terbatas kepada anak-anak yatim daripada kalangan keluarga semata-mata, malah perkataan  مَقْرَبَةٍ turut merujuk kepada dekatnya jarak, bangsa dan kemanusiaan.

Dalam erti kata lain, perkataan ini berasal daripada kata nama قرب yang menunjukkan dekat. Jadi setiap kita hendaklah mengambil berat anak-anak yang kehilangan bapa pada usia muda agar dijaga, dibiayai malahan dipelihara jika keadaan mengizinkan. Walaupun redaksi ayat hanya memberikan fokus kepada layanan yang berbentuk memberi makan, namun ia sebenarnya hanyalah satu saranan selain daripada pelbagai bentuk bantuan lain yang boleh dikemukakan.


Dalam sebuah hadith Nabi Muhammad SAW yang pernah memberikan motivasi kepada Abdullah bin Ja’far al-Tayyar RA, anak kepada panglima medan Mu’tah yang telah gugur syahid  ketika melihatnya berniaga berdekatan Masjid Nabawiyyah di Madinah. Doa Nabi Muhammad SAW untuknya yang bermaksud:-

“Ya Allah, berkatilah anak ini dalam perniagaannya!”

Hadith ini diriwayatkan oleh at-Tabrani dan Abu Ya’la. Ini menunjukkan doa dan kata-kata yang baik juga menjadi satu bentuk kebaikan yang dilakukan kepada anak-anak yatim.

Dalam ayat 16, Allah SWT menyifatkan orang miskin dengan perkataan tanah مَتْرَبَةٍ bagi menunjukkan tahap hidup yang amat susah. Menurut Ibn Abbas RA, “Za Matrabah” menunjukkan kepada kemiskinan yang melampau bahawa dia tiada tempat tinggal melainkan tanah seperti yang biasa kita perhatikan bagi mereka yang tidak mempunyai tempat berteduh.

Peranan kita dalam menghulurkan bantuan ini hendaklah berlaku secara istqamah kerana kewujudan golongan yang prihatin amat penting untuk mengelakkan mereka daripada terlibat dalam aktiviti yag diharamkan. Lazimnya golongan seperti ini amat mudah terjebak kerana  kekosongan waktu dan ketiadaan bimbingan.

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment