Jangan Membina Cinta Di Dalam Kuburan

Nombor 1 Allah SWT.
Nombor 2 Rasulullah SAW
Nombor 3 barulah datang suami.

Itulah turutan cinta seorang wanita bernama isteri. Agar tidak menderita, jagalah turutan cinta ini. Yang dahulu wajar didahulukan. Yang kemudian, mesti dikemudiankan. Jangan disusun cinta itu begini; nombor 1 suami, nombor 2 suami. Nombor 3 pun suami. Ini tindakan yang bakal mengundang kecewa.

Jangan pinggirkan Allah SWT kerana Dia yang mengurniakan rasa cinta. Jangan dilupakan Rasulullah SAW kerana dia yang memberi panduan untuk bercinta. Ingat pesan Rasulullah SAW melalui sabda Baginda yang bermaksud:-

“Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang, tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya.” (HR at-Tirmizi)

“Jika” hanya “jika”. “Jika” akan kekal sebagai “jika”. Ia tdak pernah berlaku. Seorang wanita tidak boleh menyembah manusia lain sekalipun suaminya sendiri. Sebaliknya, cintailah suami dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kerana Allah SWT. Itulah resepi untuk bahagia dalam bercinta!

Betapa ramai isteri yang kecewa akibat ditinggalkan suami yang dicintai. Sama ada dipisahkan oleh kematian atau sikap suami yang tidak mencintainya lagi. Bayangkan apabila segala-galanya untuk dan kerana suami, apabila suami tidak ada lagi, putus harapan dan berserabutlah fikiran. Ramai yang sudah menerima nasib sebegini. 

Bayangkan setiap 15 minit, berlaku satu penceraian. Siapakah yang menempuh gerbang perkahwinan dengan harapan untuk bercerai di kemudian hari? 

Tidak mungkin ada sama sekali!

Mukaddimah Penentu Natijah

Perkahwinan dibina dengan harapan. Untuk mencapai harapan, tidak cukup dengan rasa cinta. Ia perlukan tanggungjawab. Kata bijak pandai, sesuatu akan berakhir dengan mengikut corak bagaimana ia bermula. Mukaddimah banyak menentukan natijah. Untuk mengekalkan cinta sampai ke hujung (hujungnya syurga), mesti diperkukuhkan dari pangkalnya.

Perkahwinan dimulakan dengan percintaan, disempurnakan dengan tanggungjawab. Dan sebaik-baik cinta ialah cinta yang didasarkan oleh tanggungjawab. Sebab itu ahli bijaksana mendefinisikan cinta sebagai “rasa ingin bertanggungjawab kepada seseorang”.

Jangan hendaknya cinta dan rumahtangga dibina hanya sekadar untuk memenuhi kehendak fisiologi dan biologi. Itulah cinta  yang diilhamkan oleh Tuhan untuk haiwan (demikian kata-kata al-Farabi). Juga bukan untuk mengejar status sosial. Jika rumahtangga hanya dibina untuk makan, minum, perlindungan (rumah), pengangkutan (kereta), berkelamin (seks), kawan (sosial), kesihatan dan penghargaan diri (ego), apa bezanya cinta kita dengan cinta haiwan. Itu cinta kelas kedua.

Jika itulah bentuk cinta kita, itu hanya cinta alat bukan matlamat. Cinta kelas kedua mesti dibawa kepada cinta kelas pertama. Pandang wajah suami, bolehkah dia membawa kepada cinta Allah SWT? Renung ke mata  isteri, apakah dia menjadi teman menuju Allah SWT?

Jika ya, alhamdulillah, syukur.

Kita sudah berada di jalan yang betul. Maka melangkahlah dengan yakin walau terpaksa merempuh pelbagai kesusahan. Jika belum, berusahalah, berdoalah agar si isteri atau si suami mampu juga. Jika tidak hari ini, esok. Jika tidak esok, lusa. Teruskan berusaha dan berdoa.

114 Ayat Cinta

Tidak kira manapun rumahtangga kita; di permulaan, pertengahan atau di pengakhiran, marilah bermuhasabah. Apakah rumahtangga kita benar-benar diasaskan oleh cinta kelas pertama atau masih dibelenggu oleh cinta kelas kedua?

Jika kelas pertama, syukurlah. Insya-Allah cinta itu akan kekal selama-lamanya. Bagaimana kita boleh memastikan bahawa rumahtangga kita benar-benar diasaskan kepada cinta ini?

Jawapannya mudah. 

Cuba nilai, apakah seluruh isi keluarga lalai atau taatkan perintah Allah SWT? 

Bagaimana dengan solat kita dan anak-anak semua? 

Bagaimana dengan al-Quran? 

Sudahkah kedengaran suara kita (ayah ibu) dan anak-anak membaca al-Quran? 

Jangan jadikan rumah kita kuburan kerana Rasulullah SAW menyatakan bahawa rumah yang penghuninya tidak membaca al-Quran seumpama sebuah kubur!

Padahal semasa kita mula membinanya dahulu kita katakan membina masjid. Jika suami atau isteri payah hendak diajak membaca al-Quran, kenapa kita tidak memulakannya dahulu? Ironinya, kita kekadang lebih banyak menatap surat-surat lama pasangan kita semasa hangat bercinta dahulu, konon untuk memperbaharui rasa cinta. Malangnya, ramai yang mengalir air mata, sedih, sayu, pilu apabila mengenangkan kata-kata mesra dan rindu dahulu kini sudah tiada.

Mengapa menanti sesuatu yang tidak tiba? 

Mengapa merajuk pada yang tidak kasih? 

Tinggalkan dahulu surat cinta yang lama, carilah semula 114 surat cinta daripada Allah SWT yakni al-Quran. 

Siapakah yang dapat menandingi kemesraan, kasih sayang dan cinta Allah SWT buat hamba-Nya yang terpapar dalam 114 surah al-Quran?

Bacalah ayat Manzil, al-Ma’thurat, surah Yasin, surah al-Mulk atau apa-apa sahaja. Sama ada yang diambil secara bersanad daripada guru-guru yang thiqah ilmunya ataupun sekadar diambil daripada kitab-kitab atau buku-buku yang dipercayai kesahihannya.

Jia tidak mampu membaca banyak, bacalah sekadar satu muka surat atau paling lekeh sekadar lima ayat. Tetapi istiqamah dalam amalan ini. Barulah syaitan akan kecut untuk menggoda hati ahli keluarga kita supaya terlibat dengan maksiat. Atau mengacah-acah kita dengan prasangka sehingga sering berbalah walaupun dalam soal-soal kecil.

Bayangkan hanya kerana hendak masak apa hari ini, berebut saluran televisyen atau hanya tersilap istilah atau cakap, sudah bergaduh sampai tinggi-tinggi suara atau pukul-memukul. Ini angkara siapa?

Tentu syaitan.

Bentuk Cinta Kelas Pertama

Mengapa syaitan bebas berkeliaran dalam rumahtangga kita? 

Ini kerana rumah kita jadi kuburan, bukan jadi masjid. Banyak perkara-perkara mungkar dalam rumah kita yang menyebabkan syaitan suka bertandang. Tapi ingat, syaitan bukan dihalau dengan membaca al-Quran sekali-sekala seperti yang kita lihat “Pak Ustaz” halau hantu dalam drama mistik dan tahyul. Tetapi syaitan dihalau dengan bacaan al-Quran berserta niat zikrullah, hendak diamalkan kehendaknya dan tinggalkan larangannya.

Jika sekali-sekala terjadi pertembungan antara kehendak Allah SWT dan kehendak isteri atau suami serta anak-anak, yang mana satu didahulukan?

Jika didahulukan kehendak mereka, sah itu petanda cinta telah tersasar. Hakikatnya inilah yang banyak berlaku dala alam rumahtangga kini. Dan inilah punca mengapa ramai suami isteri berpisah sekalipun mereka saling mencintai. Berpisah bukan kerana mereka tidak lagi mencintai, tetapi cinta terpisah kerana mereka memisahkan cinta Allah SWT.


Cinta yang meminggirkan cinta Allah SWT amat rendah mutunya dan tidak tahan diuji. Cinta kelas kedua itu ialah cinta kelas bawahan. Apabila wajah kendur, cinta mula luntur. Apabila kemudaan hilang, sayang terus melayang pergi. Sebaliknya cinta Allah SWT mampu mengekalkan, malah boleh meningkatkan lagi rasa cinta walaupun perubahan fizikal berlaku kerana tapak cinta itu di hati, bukan di mata. Cinta di mata boleh dipisahkan oleh jarak dan usia tetapi cinta di hati tidak ada sesiapa yang mampu menjarakkannya, apatah lagi memisahkannya!

Cinta dibina atas dasar cinta Allah SWT menjadikan perkahwinan sebagai taman atau kebun percintaan. Mungkin sekali-sekala bergolak juga tetapi atas dasar ibadah dan tanggungjawab, cinta dapat dibina semula. Ianya terbentur tetapi tidak sampai patah. Menjadi genting tetapi tidak akan putus. Justeru itu bajailah cinta itu selalu dengan solat, zikir, membaca al-Quran dan sedekah.

Marilah kita saling berpesan-pesan demi kebenaran dan kesabaran, jangan membina cinta di dalam kuburan.

Wallahua'lam.
Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment