Menilai Kebenaran Dakwaan Perkara Ghaib

Seringkali ada sesetengah fahaman yang mendakwa beberapa perkara pelik dan ghaib. Dakwaan perkara ghaib berlaku hampir sebagaimana yang didakwa. Para pengikut yang mengetahui perkara tersebut akan mudah percaya tentang kebenaran yang mereka ikuti.

Ini kerana perkara ghaib adalah bukti jelas bahawa pengasas sesuatu fahaman dan ajaran yang mereka ikuti mendapat redha Ilahi dan diberikan ilham, kasyaf, keramat dan mungkin sampai kepada wahyu.

Guru agama yang tidak membuat ramalan perkara-perkara ghaib dimomokkan sebagai guru agama yang tidak kasyaf. Hati guru agama ini masih terhijab dan belum sampai kepada maqam yang tinggi, maka guru agama ini tidak wajar diikuti sepenuhnya. Ilmunya boleh diambil sedikit-sedikit sahaja.

Keharusan Berlakunya Perkara Pelik Dan Ghaib

Keistimewaan mampu melihat alam ghaib ialah kurniaan Allah SWT. Kurniaan ini adalah hasil daripada ketaatan yang tinggi kepada Allah SWT. Sebagaimana para Rasul diberikan mukjizat tertentu, maka keistimewaan atau keramat yang diberikan adalah natijah daripada ketaatan. Apabila mukjizat diberikan kepada seseorang yang diangkat menjadi Rasul, maka keistimewaan keramat adalah bagi insan yang menurut Rasul. Oleh sebab itu, jangan mudah terpedaya dengan insan yang mendakwa mengetahui alam ghaib sebelum diperhatikan dahulu kepatuhannya kepada al-Quran dan ajaran Nabi Muhammad SAW.

Dalam riwayat hadith Imam Muslim, dikisahkan tentang Abu Bakar as-Siddiq RA dan Hanzalah RA. Mereka hairan kerana mereka kuat ingatan kepada Allah SWT dan hari Akhirat ketika berada dekat dengan Nabi Muhammad SAW. Namun apabila mereka pulang ke rumah masing-masing, mereka masih mampu tersenyum dan bergelak ketawa dengan keluarga mereka.

Akhirnya mereka menceritakan perkara tersebut kepada Nabi SAW. Apa jawab Nabi?

Nabi SAW pun seraya bersabda, maksudnya:-

“Dan demi jiwa daku yang berada di genggaman-Nya! Jika kamu semua berkekalan sebagaimana keadaan kamu ketika berada bersama-samaku dan dalam zikir, nescaya para malaikat akan berjabat tangan dengan kamu.”

Prinsip-Prinsip Dalam Menilai Kebenaran Dakwaan Perkara Ghaib

Apabila ada dakwaan tertentu bahwa seseorang itu mengetahui perkara ghaib, jangan mudah  percaya. Ramai insan yang mengambil kesempatan menggunakan konsep begini bagi menipu manusia.

Prinsip-prinsip dalam menilai kebenaran dakwaan perkara ghaib antaranya ialah:

1. Insan yang diterima kesaksiannya

Insan yang mendakwa mengetahui sesuatu perkara ghaib mestilah insan yang adil. Adil dalam erti taat kepada perintah Allah SWT dan tidak melakukan maksiat dosa yang besar.

Dia juga mesti menghindarkan dirinya semampu mungkin daripada dosa-dosa kecil. Maknanya insan tersebut adalah insan yang soleh, warak dan ahli ibadat.

Jika seorang ahli maksiat, dakwaannya tidak boleh  diterima. Ataupun seorang kaki judi yang mendakwa mengetahui kehilangan barang dan mengetahui siapa yang mengambilnya, maka ia juga mesti ditolak. Orang fasiq, ahli bida’ah yang disepakati bida’ahnya dan golongan yag sesat juga golongan yang ditolak dakwaannya.

Firman Allah SWT tentang wali-Nya yang bermaksud:-

“Mereka (para wali Allah) adalah golongan yang beriman (dengan keimanan yang benar dan mantap) dan mereka bertaqwa.” (surah Yunus 10: 63)


2. Dakwaan perkara ghaib mestilah kesan daripada istiqamah dalam ketaatan

Istiqamah atau konsisten dalam ibadat adalah satu keistimewaan yang sangat besar. Insan yang ikhlas akan mendapat nilai istiqamah. Apabila tiada keikhlasan dalam beribadat, amalannya hanya bagi mendapat pujian manusia. Apabila masyarakat memuji ibadatnya, dia akan berasa seronok untuk terus memperlihatkan amalan solehnya kepada umum. Namun jika tidak yang memuji, dia akan beransur-ansur meninggalkan amal soleh itu. Ini bukti tiada keikhlasannya dalam beribadat.

Hanya golongan yang benar-benar beriman dan bertaqwa akan mendapat nilai istiqamah. Oleh sebab itu, ada masanya diberikan keistimewaan beberapa perkara ghaib dengan kasyaf dan firasat. Namun yang pasti, ia terjadi hasil daripada istiqamah dengan perintah al-Quran dan ikutan kepada sunnah Nabi Muhammad SAW.

3. Perkara yang didakwa mesti tidak bertentangan dengan al-Quran

Al-Quran menjelaskan bahwa kiamat itu disembunyikan tarikhnya. Tiada siapa yang mengetahui sehinggakan Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mengetahuiya. Namun ada insan yang mendakwa bahawa Tuhan telah mengilhamkan kepadanya tarikh berlakunya kiamat. Dakwaan perkara ghaib sebegini jelas palsu dan hendaklah ditolak.

Ada insan yang mendakwa dia tahu tarikh atau tempat seseorang itu akan mati. Dikatakan itu adalah ilmu ghaib yang Tuhan ilhamkan kepadanya. Tidakkan Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

“....dan tidaklah jiwa itu mengetahui di bumi mana dia akan mati....” (surah Luqman 31: 34)

4. Apa yang didakwa mestilah tidak bertentangan dengan hadith Nabi Muhammad SAW

Begitu juga dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW. Apabila sesuatu riwayat hadith adalah mutawatir, sahih dan hasan, maka ia adalah hadith yang diterima sebagai hujah menurut para ulama’ hadith. Maka apa-apa jua dakwaan tentang perkara ghaib tidak boleh berlawanan dengan riwayat hadith ini.

Ada dakwaan yang menyatakan dia tahu siapa ahli syurga dan siapa pula ahli neraka secara khusus. Maka dia mampu melabelkan setiap orang sama ada sebagai ahli syurga atau ahli neraka. Si polan ialah ahli syurga kerana dia mengikut fahaman tuan syeikh, manakala si polan yang lain pula ialah ahli neraka kerana dia tidak mengikut tuan syeikh.

Adakah Nabi SAW mengetahui siapa ahli syurga dan ahli neraka secara pasti?

Nabi SAW juga tidak tahu tetapi sekadar memberitahu berita gembira tentang beberapa sahabatya yang akan masuk syurga. Namun bukan semua sahabat dimuktamadkan dan dipastikan sebagai ahli syurga secara khusus. Kalau ada riwayat hadith yang menyatakan semua sahabat Nabi sebagai ahli syurga, itu tidak hairan kerana Nabi SAW ialah Rasul yang menerima wahyu.

5. Perkara yang didakwa tidak mengubah hukum yang sudah pasti

Islam bukan agama yang berdasarkan kepada dakwaan perkara ghaib. Islam jelas sumbernya yang utama iaitu al-Quran dan riwayat sunnah.

Maka, jika ada dakwaan bahawa seseorang insan mendapat ilham bahawa solat fardhu Subuh sudah tidak wajib kerana solat fardhu Subuh menyusahkan umat Islam yang sedang tidur, jelaslah bahawa ia dakwaan palsu. Mana mungkin kefardhuan solat berubah hanya dengan dakwaan sebegitu.

Jika ada dakwaan bahawa puasa pada bulan Ramadhan boleh diubah mengikut keanjalan yang sesuai bagi manusia, nampaknya dia telah mengubah hukum yang pasti. Hukum puasa adalah dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Itu pasti dan muktamad tanpa apa-apa perubahan. Oleh sebab itu, jika ada dakwaan yang menyatakan bahawa puasa sekadar empat atau lima jam sahaja, maka ia satu dakwaan yang mengubah hukum agama yang sudah jelas maksudnya.

Jelas di sini, aqidah Islam tidak menerima dakwaan perkara ghaib bulat-bulat dan tidak menolaknya bulat-bulat. Dakwaan perkara ghaib bukanlah asas dalam Islam. Pembuktian kesalahan seseorang tidak boleh dibuktikan hanya pada firasat bahawa seseorang itu bersalah. Ia mesti dibuktikan dengan keterangan yang diterima dari sudut syarak, bukannya mimpi, ilham dan seumpamanya.

Maka sewajarnya umat lslam tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan sebegini. Kita jangan mudah terbelenggu dan takut dengan dakwaan bahawa insan lain tahu sama ada kita ikhlas atau tidak, atau mungkin ada dakwaan menyatakan seseorang tahu tahap keimanan kita. Semuanya masih di alam ghaib.

Wallahua'lam.