Redha Terhadap Qada’ Dan Qadar

“Saya selalu mendapat markah yang rendah dalam subjek Sains. Saya ni memang tak pandai.”

“Mama, Liza kena mengulang peperiksaan. Semua orang pandang rendah pada Liza.”

“Kenapa saya tak terpilih jadi pengawas? Cikgu tu memang pilih kasih.”


Ini mungkin keluhan anak-anak apabila menghadapi kegagalan. Sama ada mereka masih kanak-kanak atau remaja, kegagalan sedikit sebanyak akan menganggu mereka dari sudut fizikal, mental, emosi dan spiritual.

Apabila kegagalan boleh menyebabkan fizikal anak-anak terganggu. Ada antara mereka mungkin makin berselera makan atau sebaliknya, selera makan menurun. Ini sudah tentu akan menjejaskan kesihatan. Dari segi mental, anak-anak mungkin berasa dirinya bernasib malang, tidak seperti adik-adik  lain yang mungkin lebih berjaya.

Dari sudut emosi pula, mungkin anak-anak hilang semangat, berasa rendah diri melihat kawan-kawan yang lain berjaya, kecewa dan menderita. Lebih buruk lagi jika kesannya turut melibatkan spiritual, seperti rasa kecewa atau putus harap kepada Allah SWT dan mempersoalkan mengapa doanya tidak dimakbulkan.

Anak-anak juga mungkin menyalahkan ibu bapa yang tidak memberi perhatian, menyalahkan guru-guru yang tidak pandai mengajar dan sebagainya.

Apabila yang diimpikan anak-anak tidak menjadi realiti, maka ibu bapa perlu membimbing anak-anak menghadapi kegagalan tersebut dengan bijaksana. Apa tindakan seterusnya ibu bapa apabila berdepan dengan anak-anak yang merasakan mereka telah gagal?

Sokongan Ibu Bapa


Mungkin ibu bapa rasa terkilan kerana banyak wang telah dikeluarkan untuk anak-anak. Harapan yang tinggi untuk melihat anak-anak berjaya tidak kesampaian menyebabkan diri berasa marah dan kecewa. Jika ibu bapa bersikap demikian, anak-anak akan mengalami trauma setiap kali mengalami kegagalan. Oleh sebab tu, ibu bapa mithali tahu bahawa saat anak gagal, sokongan merekalah penawarnya. Sekurang-kurangnya rasa kehilangan dan kecewa dapat dineutralkan kembali dengan kasih sayang ibu bapa tercinta.

Anak-anak perlu dididik akan pentingnya rasa bersyukur dan memandang tinggi pada dirinya yang mempunyai banyak kelebihan dari sudut lain.

Ibu bapa juga perlu berhenti membandingkan anak-anak dengan orang lain. Bukankah anak-anak kita mempunyai perwatakan yang tidak sama dengan anak-anak orang lain?

Anak-anak mungkin bertambah menderita dan rasa diri tidak dihargai.

Hamba Layak Diuji


Anak-anak juga harus diingatkan bahawa kita semua hamba Allah SWT. Allah SWT sahaja yang boleh memberikan kita kejayaan atau kegagalan mengikut kehendak-Nya. Tidak kira kejayaan atau kegagalan, kedua-duanya dianugerahkan oleh Allah SWT untuk kebaikan diri kita juga. Allah SWT tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:-

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah lebih mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (surah al-Baqarah 2:216)

Apabila diuji, maka sunnatullah telah menetapkan agar bersabar. Setiap kali menempuh ujian, maka sabarlah sebijak-bijak tindakan seorang hamba. Allah SWT suka jika kita banyak bersabar ketika menghadapi ujian. Dia mengajarkan melalui ayat-ayat-Nya kalimah ‘Innalillahi wa inna ilaihi raji’un’ yang bermakna ‘Sesungguhnya kami milik Allah dan sesungguhnya kamu akan kembali kepada-Nya’.

Oleh kerana sesuatu yang anak-anak idamkan ialah milik Allah SWT, maka hanya Dia yang boleh memberikannya. Bersabar dan selalulah berdoa memohon kepada-Nya.

Inilah Lumrah Kehidupan


Tiada seorang pun di dalam dunia ini yang sepanjang hidupnya sentiasa berjaya ataupun selalu mendapat apa yang diinginkannya. Apabila disebut tentang hamba, Allah SWT boleh memperlakukan apa-apa sahaja kepada kita. Cuma kita dibekalkan akal dan hati untuk membezakan antara yang baik dan buruk.

Apa yang baik itu perlu diteruskan manakala yang buruk harus ditinggalkan. Setiap usaha dan ketekunan pasti Allah SWT ganjarkan pahala sekalipun kita gagal. Fahamkan anak-anak, inilah lumrah kehidupan.

Di sampng itu, perhatikan orang yang mendapat kejayaan pun kadang-kadang tidak terlepas daripada dikata orang kerana hasad, inikan pula orang yang gagal. Kita tidak dapat mengawal kata-kata atau umpatan orang lain yang memandang rendah kegagalan kita. Namun apa yang penting, anak-anak mesti mengutamakan pandangan Allah SWT terhadap dirinya. Jika berbagai-bagai cara yang baik sudah diusahakan tetap masih gagal, bukankah itu lebih baik di sisi Allah SWT?

Pandangan orang lain menjadi tidak penting lagi.

Redha Terhadap Qada’ Dan Qadar



Ibu bapa perlu membimbang anak-anak agar redha dengan kegagalan. Gagal atau berjaya termasuk dalam ketentuan Allah SWT iaitu qada’ dan qadar-Nya. Redha bermaksud tidak mengungkit apa yang berlaku, tidak menyalahkan takdir atau menuding jari menyalahkan orang lain. Syeikh Sayyid al-Jurjani dalam kitabnya al-Ta’rifat mentakrifkan redha sebagai perasaan senang hati dengan kepahitan daqa’ dan qadar.

Anak-anak mesti belajar menerima kegagalan dengan hati terbuka. Apabila hati terbuka, tiada rasa dukacita, sedih atau tertekan. Rasulullah SAW memuji sesiapa sahaja yang redha dengan ketentuan Allah SWT.

Katakan kepada anak-anak:-

“Kamu sudah berusaha sebaik mungkin, namun apa yang berlaku ialah takdir Allah SWT mengatasi segala-galanya. Dia menangguhkan kejayaan hari ini supaya kamu tingkatkan usaha lagi. Walau bagaimanapun, mak (atau ayah) berbangga kamu telah berusaha.”

Neutralkan Minda Negatif Dengan Positif


Penting anak-anak tidak menghukum dirinya dengan tanggapan negatif. Jauhi perbuatan mengutuk diri kononnya kita ‘tidak berguna’, ‘bernasib malang’, atau ‘tiada masa depan’. Sebaliknya katakan pada diri:-

“Biarkan gagal sekarang, jangan gagal di kemudian hari.” 

“Kita ciptaan Allah SWT yang unik dan pasti mempunyai peranan yang besar di muka bumi ini.”

“Saya mesti mencari sesuatu dari dalam diri agar mampu memberikan manfaat kepada orang lain.”

Anak-anak perlu sentiasa bersikap positif. Kegagalan merupakan ruang dan peluang. Peluang untuk terus mencari kaedah atau cara-cara memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. 

“Saya gagal Matematik mungkin disebabkan masih kurang latihan.”

“Saya belum layak menjadi pengawas sekarang, tetapi mungkin berpeluang pada tahun hadapan.”

Kemudian, mesti datangkan sangkaan yang baik atas setiap sesuatu yang berlaku tertutamanya apabila ditimpa musibah atau kegagalan supaya hati dan perasaan tenteram dan tenang.

“Saya bukan gagal, tetapi belum berjaya.”

Sudah tentu ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan kata-kata motivasi sedemikian. Jangan mematahkan semangat anak-anak dengan kata-kata negatif, misalnya:-

“Memang kamu tidak pandai.”

“Kamu memang tak layak.”

Ibu bapa yang mudah kecewa akan menghasilkan anak-anak yang juga mudah kecewa dengan mereka. Naudzubillah!

Contohi Sikap Nabi Muhammad SAW Menghadapi Kegagalan


Jika anak-anak berasa diri terlalu sukar menghadapi kegagalan, lihatlah bagaimana kentalnya jiwa Rasulullah SAW. Baginda SAW sentiasa berdakwah tanpa henti sama ada berjaya ataupun gagal. Baginda SAW pernah gagal ketika memohon perlindungan daripada pemimpin Taif akibat dianiayai oleh kaum Quraisy

Saat Baginda SAW dibalas dengan ejekan dan cercaan, malah dilemparkan batu-batu sehingga melukakan tubuh badan Baginda SAW yang mulia. Baginda SAW tetap bersabar sekalipun malaikat-malaikat penjaga bukit menawarkan untuk menghukum penduduk Taif.

Begitu juga dalam peperangan Uhud, tentera Rasulullah SAW juga menghadapi kekalahan disebabkan sebilangan daripada tentera Muslim melanggar strategi perang. Namun daripada kegagalan itu, tentera di bawah pimpinan Baginda SAW bangun dan berjaya pada peperangan yang seterusnya. Malah tiga perempat daripada dunia berjaya ditakluki oleh para sahabat.

Dari manakah datang kekuatan luar biasa para sahabat Nabi Muhammad SAW?

Ia terhasil daripada iman, sifat bersabar, bertawakkal dan redha dengan apa-apa sahaja yang berlaku. Dan sifat ini mesti menjadi pegangan anak-anak. Pupuklah keyakinan kepada anak-anak bahawa Allah SWT sentiasa menjadi penolong, buatlah yang terbaik dan terimalah apa-apa sahaja yang Allah SWT telah takdirkan untuk mereka.


Jika Masih Gagal


Anak-anak juga perlu bermuhasabah setiap masa. Apakah mereka sudah membat yang terbaik sebagai seorang pelajar di sekolah?

Apakah mereka sudah menjadi anak dan kawan yang baik?

Cari pendekatan yang mungkin lebih berkesan. Misalnya, kurangkan masa bersenang-lenang, membuat ‘study group’, menjaga kebersihan diri, mengurus masa dengan betul dan sebagainya. Dan paling penting adalah menjaga waktu solat.

Namun, jika masih gagal juga, ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Dan bersabarlah serta tempatkan dirimu bersama orang yang sering berdoa kepada Tuhan mereka.” (surah al-Kahfi 18:28)

Wallahua'lam