Lesbian, Menjatuhkan Fitrah Wanita

Selepas kita mengetahui berkenaan dengan liwat serta hukumnya, kali ini kita akan mengupas pula satu tajuk berkaitan dengan lesbian.

Takrif Lesbian

Lesbian ialah perempuan yang mempunyai tarikan seksual terhadap kaum sejenisnya atau perempuan homoseksual.

Sedangkan perkataan lesbianisme memberi maksud perihal hubungan cinta berahi atau hubungan seks sesama perempuan.

Dalam bahasa Arab, ia digelar sebagai sihaq atau musahaqah yang memberi erti seorang perempuan melakukan terhadap perempuan yang lain sama seperti yang dilakukan oleh lelaki ketika bersetubuh dengan perempuan.

(Rujukan: Kitab Lisan al-Arab dan Qamus al-Muhit)

Ancaman Lesbian

Banyak dalil yang menunjukkan pengharaman perlakuan lesbian.

Antaranya:-

# Al-Quran

Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Kemudiannya sesiapa yang menginginkan selain daripada yang demikian, maka merekalah orang yang melampaui batas.” 
Surah al-Mu’minun 23:7
Al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami’ li ahkam al-Quran:-
“Dinamakan sesiapa yang berkahwin secara tidak halal sebagai melampau dan diwajibkan ke atasnya had kerana perbuatan melampaunya itu.”
# Hadith

Antara hadith yang menunjukkan pengharaman perbuatan lesbian ialah:-

Athar marfu’:- 
“Jika perempuan bersetubuh sesama perempuan, maka kedua-duanya dianggap berzina.”
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Perbuatan lesbian sesama wanita adalah zina.” 
Hadith Riwayat al-Khatib al-Baghdadi
Dengan sebab itulah Ibn Hajar al-Haithami dalam bukunya al-Zawajir (jilid 2, halaman 119), memasukkan kesalahan lesbian ini dalam kategori dosa-dosa besar.

Hukum Lesbian

Lesbian secara terminologi merujuk kepada wanita yang melakukan kepuasan seksual dengan wanita di mana kedua-duanya tidak saling memasukkan mana-mana anggota tubuh ke dalam kemaluan tetapi hanya sebatas luarnya sahaja.

Hal ini sesuai dengan athar marfu’:- 
“Jika perempuan bersetubuh sesama perempuan, maka kedua-duanya dianggap berzina.”
Timbul permasalahan di sini berkenaan dengan hukuman orang yang melakukan liwat dengan lelaki yang menjadi miliknya atau hamba sahaya yang menjadi miliknya. 

Menurut kesepakatan ulama', orang yang melakukan liwat sama ada dengan orang yang merdeka ataupun hamba sahaya akan dijatuhkan hukuman bunuh. Ada mendakwa melakukan liwat dengan hamba yang dimilikinya dibolehkan.

Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Kecuali kepada isterinya atau kepada hamba-Nya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela.” 
Surah al-Ma’arij 70:30
Mengikut Mausu’ah al-Fiqhiyyah (jilid 24, halaman 252), ulama' telah sepakat ia tidak dikenakan had bagi lesbian kerana ia tidak menepati takrif zina yang sebenar. Walaupun begitu, ia hendaklah dihukum dengan takzir kerana hal tersebut merupakan maksiat.

Permasalahan berkaitan hukuman Lesbian

#1 Melihat wanita Muslimah

Berkenaan dengan seseorang yang bersifat lesbian melihat kepada wanita Muslimah, ulama' berselisih pendapat keharusan melihatnya.

Antaranya:-

Izzudin bin Abdul Salam, Ibn al-Haithami dan Umairah al-Barlasi berpendapat ditegah dan haram mendedahkannya kepada perempuan lesbian kerana tidak aman daripada diceritakan apa yang dilihatnya.

Al-Bulqini, al-Ramli dan al-Khatib al-Syarbini berpendapat harus. Ini kerana mereka masih sebagai orang Islam dan kefasiqan tidaklah mengeluarkan daripada daerah tersebut.

#2 Kesan Wudu’

Ulama' khilaf sama ada batal wudu’ atau tidak.

Antara pendapatnya:-

Imam Hanafi RH berpendapat batal wudu’ sama ada keluar mani atau tidak dengan syarat bertempuhnya dua faraj

Imam Malik RH berpendapat hukumnya batal wudu’ dengan syarat berlakunya syahwat

Imam Hambali RH berpendapat tidak batal wudu’. Ini juga pendapat Imam Syafi'e RH

#3 Keperluan Mandi Wajib

Ulama' bersepakat mengatakan wajib mandi dengan sebab lesbian jika keluar mani, tetapi jika tidak sampai ke tahap keluar mani maka tidak wajib mandi.

(Rujukan: Hashiyah Ibn Abidin, jilid 1, halaman 107; Hashiyah al-Dusuki, jilid 1, halaman 126; Syarh Raudh al-Talib, jilid 1, halaman 65; Kashshaf al-Qina, jilid 1, halaman 143)

#4 Kesan Puasa

Sepakat ulama' mengatakan jika keluar mani dengan sebab lesbian, maka batal puasa dan wajib qada.

Antaranya:-

Al-Kamal Ibn al-Humam:-

“Perbuatan dua orang perempuan juga boleh dianggap jimak kecuali menggunakan anggota selain daripada faraj. 
Mereka tidak perlu qada puasa kecuali apabila keluar mani dan tiada kafarah sekalipun keluar mani.”

Mazhab Maliki berpendapat dikenakan kafarah ke atasnya. Sebaliknya jika tidak keluar mani maka puasanya dianggap tidak batal.

Mazhab Maliki dan Hambali menganggap keluar mazi dengan bersentuh dan berkucup adalah batal puasa. Berlawanan dengan mazhab Hanafi dan Syafi’e yang berpendapat tidak batal puasa dengan keluarnya mazi.

Terapi dengan Cahaya Iman

Ibn Qayyim dalam al-Da’wa al-Dawa’ mneyebut berkenaan terapi dalam menghindari penyakit seperti ini, katanya:-
“Cahaya yang diberikan oleh Allah SWT di langit dan bumi bagaikan cahaya yang ada dalam hati manusia yang sentiasa beriman dan mentaati segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. 

Rasionalnya, jika hati seseorang sudah dipenuhi cahaya, maka hatinya akan sentiasa ingin melakukan kebaikan dan kebajikan di mana-mana dan bila-bila masa sahaja.

Akan tetapi sebaliknya, jika hati seseorang gelap gelita tanpa cahaya, seseorang itu akan selalu berasa malas, resah, gelisah, menderita dan selalu ingin melakukan keburukan. 

Bahkan dia ingin melakukan sesuatu bid’ah dalalah (bidaah yang sesat) yang tidak biasa dilakukan oleh orang yang beriman, sering mengikut hawa nafsunya, jauh daripada petunjuk Allah SWT, sering menjauhkan diri daripada jalan yang menyebabkan kebahagiaan, selalu sibuk melakukan sesuatu yang menyebabkan kecelakaan dan sebagainya. 

Hal itulah yang menyebabkan seseorang jauh daripada cahaya Allah SWT. 
Jika dia telah jauh daripada pelita, maka dia bagaikan orang yang buta. Buta hatinya, bukan buta matanya. 

Kesannya, setiap perlakuan tidak pernah mengarah kepada kebaikan. Menundukkan pandangan boleh menyebabkan seseorang peka terhadap perbezaan hak dan batil, antara yang benar dan bohong.”
Dalam hal ini, seorang ulama' bernama Syuja’ al-Kirmani berkata:-
“Sesiapa yang usia hidupnya dicurahkan untuk taat kepada Allah SWT, batinnya sentiasa berbisik kepada Allah SWT, matanya selalu menunduk dan menghindari sesuatu yang diharamkan Allah SWT serta dirinya menahan diri daripada segala yang ‘berbau’ syubhah, selalu menyibukkan diri dengan perkara yang halal dan menghindarkan diri daripada perkara yang haram, maka firasatnya tidak akan meleset. 

Dialah seorang pahlawan yang memiliki pisau analisis yang sangat tajam. 
Dan firasatnya akan sentiasa tepat dengan apa yang dikehendaki.”
Ertinya, Allah SWT membalas semua perbuatan hamba-Nya sesuai dengan amal perbuatan yang dilakukannya.

Sesiapa yang meninggalkan sesuatu kerana Allah SWT, maka Allah SWT akan menggantikan amal perbuatan tersebut dengan kebaikan.

Dengan kata lain sesiapa yang menundukkan pandangannya daripada segala yang haram hanya kerana Allah SWT, maka Allah SWT akan memberi pelita dalam hatinya agar hatinya sentiasa terang benderang. 

Dengan demikian, dia semakin mudah dan ringan melakukan kebaikan, pintu iman, ilmu pengetahuan dan firasat yang benar akan terbuka sehingga apabila akan berlaku sesuatu yang menimpa dirinya, dia akan terlebih dahulu diberitahu oleh Allah SWT.

Sedangkan orang yang sebaliknya iaitu orang yang tidak pernah menahan pandangannya, maka dia akan selalu dihantui kebinasaan seperti kaum Nabi Lut AS.

Mereka bukannya orang yang tajam pandangan hatinya, tetapi mereka orang yang buta mata hatinya.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment