Masih Mahu Menolak Hadith?

Kewajipan mengikut ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah satu perintah Allah SWT yang termaktub dalam al-Quran.

Dari segi istilah, ia disebut sebagai ittiba’.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Katakanlah wahai Muhammad bahawa jika kamu semua kasih akan Allah maka ikutilah daku (Nabi Muhammad) maka Allah akan kasih kepada kamu semua dan akan mengampunkan bagi kamu...” 
Surah Ali ‘Imran 3:31
Bagaimana proses untuk mengikut Nabi Muhammad SAW?

Ada beberapa perkara pentng untuk kita fahami.

Antaranya adalah dengan mengikut sunnah yang sampai dengan riwayat yang sahih.

Sikap menolak riwayat sunnah atau riwayat hadith secara keseluruhan adalah sikap golongan yang tidak mengikut perintah al-Quran agar Nabi SAW diikuti.

Menolak Hadith

Ada golongan dalam masyarakat Muslim yang menolak hadith atau sunnah. Golongan ini menolak hadith secara total.

Hujahnya ialah proses penulisan hadith yang lambat. Hadith dalam Sahih al-Bukhari contohnya ditulis pada kurun ke-3 Hijrah iaitu 200 tahun lebih selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Hadith juga tidak relevan dengan suasana masyarakat moden.

Selain itu, wujud hadith palsu dan daif.

Hadith Nabi ialah perkataan, perbuatan dan pengakuan Nabi SAW. Ada masanya Nabi SAW bersabda. Sabda dan ucapan Nabi SAW ini adalah hadith. Ada masanya Nabi SAW melakukan sesuatu perkara.

Apa yang dilakukan oleh Nabi SAW juga menjadi hujah, lebih-lebih lagi dalam aspek ibadat. Ada masanya sesuatu perkara yang dilakukan oleh sahabat, Nabi SAW tidak mengingkarinya bahkan ada yang diakui oleh Nabi SAW.

Inilah antara maksud hadith.

Sebenarnya penulisan hadith bukan bermula pada zaman Imam al-Bukhari. Penulisan hadith telah bermula sejak zaman awal Islam. Sudah ada beberapa orang sahabat yang turut menulis riwayat hadith.

Imam Malik RH contohnya yang lahir sekitar tahun 80 Hijrah sudah pun menulis satu kitab hadith yang dikenali sebagai al-Muwatta’. Imam Malik RH sempat berjumpa dengan para sahabat Nabi SAW yang masih hidup.

Selain penulisannya, riwayat hadith juga dihafal dalam ingatan. Kemampuan mereka menghafal hadith amat mengagumkan.

Bukan sekadar puluhan hadith, tetapi mencecah ribuan hadith!

Mengapa Wujud Hadith Palsu?

Kewujudan hadith palsu tidak dinafikan. Terdapat pelbagai faktor kewujudan hadith palsu. Antaranya kerana pertikaian politik.

Contohnya hadith-hadith yang mengagungkan Saidina Ali Bin Abi Talib dan Muawiyah. Begitu juga hadith yang menghentam kedua-dua tokoh ini. Namun mereka berdua (Saidina Ali Bin Abi Talib dan Muawiyah) tidak terlibat dalam proses penciptaan hadith palsu tersebut.

Ada juga disebabkan fanatik mazhab dan pendapat sendiri. Lalu pendapat mereka dikuduskan dengan riwayat hadith yang memuji mazhab mereka. Ada riwayat hadith yang mencela Imam as-Syafi’e, dengan dakwaan bahawa dia lebih berbahaya daripada iblis.

Ada juga riwayat hadith yang mencela para ulama’ yang lain. Sikap mencela sesiapa sahaja apatah lagi golongan yang baik, soleh, berilmu dan sebagainya merupakan sikap yang tidak baik. Ia wajiblah dihindari.

Selain itu, disebabkan kuasa, pangkat, kekayaan dan pelbagai faktor lain. Maka menolak hadith palsu memang tuntutan Islam.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka sediakan tempat untuknya daripada neraka.” 
Hadith Riwayat Muslim, al-Muqaddimah, nombor 3
Begitu juga sikap berhati-hati dengan hadith daif.

Namun bukan semua ulama' hadith menolak hadith daif.

Ada hadith daif yang diterima sekiranya mempunyai asal yang kukuh.

Lebih-lebih lagi jika hadith daif hanya sebagai galakan melakukan sesuatu perkara yang memang sabit daripada al-Quran ataupun hadith sahih.

Dalam displin ilmu hadith, ada riwayat hadith yang diterima.

Hadith ini adalah hadith yang cukup syarat seperti sambungan untaian sanad hadith, periwayat hadith yang adil dan kuat ingatannya serta tiada illat (kecacatan) pada hadith.

Secara mudah, hadith yang dihukum sebagai hadith sahih dan juga hadith hasan menepati syarat-syarat hadith yang diterima.

Namun ada juga hadith yang ditolak. Hadith sebegini tidak mencukupi syarat riwayat hadith. Secara mudah, hadith palsu dan hadith yang sangat daif adalah ditolak.

Oleh sebab itu, sikap berhati-hati dalam menerima hadith adalah baik. Namun ia bukanlah berdasarkan hawa nafsu kita tetapi menurut disiplin ilmu yang telah dikaji oleh puluhan ulama' hadith.

Disiplin ini menjadi medan kajian para ulama' sejak zaman-berzaman.

Kenapa Mahu Menolak Hadith?

Menolak hadith dan sunnah secara total adalah jelas satu sikap yang salah.

Cuba fikirkan secara logik, antaranya:-

#1 Sikap ambil berat sahabat Rasulullah SAW

Cuba fikirkan bagaimanakah sikap dan akhlak para sahabat yang sangat mengutamakan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Kalaulah hadith tidak diperlukan, maka sewajarnya hadith tidak langsung dipedulikan oleh umat Islam sejak zaman para sahabat lagi.

#2 Bagaimanakah melakukan ibadat khusus?

Cuba fikirkan bagaimanakah tatacara untuk melaksanakan ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji jika tidak dikaji dalam hadith.

Ada pendapat yang menyatakan agar diambil terus daripada al-Quran. Persoalannya, adakah al-Quran menjelaskan secara lengkap?

Jelas bahawa al-Quran meletakkan dasar.

Contohnya mengenai solat, membaca apa yang mudah daripada al-Quran, rukuk, sujud dan soal khusyuk. Ini sahaja perkara yang disebut dalam al-Quran berkaitan solat. 

Namun apa bacaan doa ifititah, bacaan ketika rukuk, iktidal dan sujud?

Bagaimanakah dengan bilangan rakaat solat?

Berapa kali sujud setiap rakaat?

Bagaimana hukum pakaian ketika solat?

Kalau dikaji dalam al-Quran, kita akan dapati al-Quran tidak menerangkan dengan lanjut perkara tersebut. Solat dalam al-Quran diterangkan mengenai perintah melaksanakan solat, rukuk, sujud dan khusyuk sahaja. 

Bagaimana dengan rukun yang lain?

Ibadat puasa juga tidak dihuraikan dengan lanjut. Cuma ada perintah berpuasa, tegahan makan dan minum serta tegahan tidak bersama suami isteri pada siang hari bulan puasa dan waktu puasa, bagaimana dengan tegahan puasa yang lain?

Bagaimana dengan kifarah puasa jika terlanggar tegahan puasa?

Begitu juga aspek zakat dan haji.


Semata-mata berpegang dengan al-Quran akan menjauhkan kita daripada petunjuk Nabi Muhammad SAW. Dalam erti kata lain, kita tidak mengikut Nabi Muhammad SAW.

Hukum Dibawa Rasulullah SAW Jelas

Ada pendapat menyatakan bahawa ibadat khusus tidak perlu merujuk kepada Nabi Muhammad SAW, sebaliknya ia terus dirujuk kepada sirah Nabi Ibrahim AS. Ini kerana Nabi Ibrahim AS adalah bapa para Nabi

Adakah pendapat ini boleh diterima?

Cuba bayangkan periwayatan hadith Nabi Muhammad SAW yang jelas tertulis pun ditolak, bagaimana hendak merujuk sirah Nabi Ibrahim AS?

Nabi Ibrahim AS wujud ribuan tahun sebelum Nabi Muhammad SAW.

Sudah tentu sejarah Nabi Ibrahim AS tidak tercatat. Lagipun, hukum syariah setiap Rasul adalah berbeza.

Kenapa perlu diikut Nabi Ibrahim AS sedangkan ada hukum khusus dalam sunnah Nabi Muhammad SAW?

Tidak ragu-ragu lagi, sikap menolak hadith secara keseluruhan adalah salah dan ia membawa kepada penyimpangan daripada jalan yang lurus.

Oleh sebab itu, berhati-hati dengan mana-mana fahaman yang menolak hadith secara total. 

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment