KPI Puasa Yang Ditentukan Allah SWT

Ramadhan menjanjikan kerahmatan, keampunan dan pembebasan daripada api neraka kepada mereka yang berpuasa. Demikian, yang sering disebut dalam ceramah atau kuliah pada setiap kali datangnya Ramadhan.

Walaupun sudah berkali-kali mendengarnya, soalnya adakah mesej itu jelas kita fahami ataupun tidak?


Kalau kita sudah di usia 40-an, bermakna kita sudah berpuasa lebih daripada 25 tahun.

Adakah tahap puasa kita masih seperti zaman remaja dahulu ataupun berubah dari tahun ke tahun menjadi lebih baik dan lebih baik?

Jangan pula puasa kita masih berada pada tahap yang sama setiap tahun. Puasa yang dilakukan hanya sekadar menunaikan amalan rutin tahunan. Puasa masih sekadar berlapar dan tidak melakukan hubungan pada siang hari, sedangkan dosa-dosa lazim masih diteruskan.

Sedangkan puasa Ramadhan itu dijanjikan rahmat pada awalnya, keampunan pada pertengahannya dan pembebasan dari api neraka pada hujungnya.

Jika masih tahap itu amalan puasa kita, bagaimana kita akan beroleh rahmat daripada Allah SWT?

Jika rahmat pun tidak diperoleh, bagaimana boleh mendapat keampunan dan pembebasan daripada api neraka?

Justeru itu, marilah kita buat perubahan untuk musim Ramadhan kali ini.

Peringkat Puasa dan Halangan Peningkatan

Ulama' ada menyenaraikan tiga peringkat orang yang berpuasa:-

Peringkat Pertama: Puasa Umum

Mereka itu berpuasa sekadar menahan diri daripada makan dan minum juga tidak melakukan perstubuhan pada siang hari. Inilah peringkat pertama yang harus dilalui oleh umat Islam.

Mereka dalam golongan ini masih melakukan dosa mengumpat, dosa melihat perkara yang haram dan banyak lagi.

Peringkat Kedua: Puasa Khawas

Golongan puasa khawas ini sudah kukuh puasanya. Selain tidak makan dan minum, tidak melakukan persetbuhan, mereka juga tidak melakukan dosa yag boleh mengurangkan pahala puasa.

Golongan ini lebih baik puasanya berbanding golongan pertama.

Namun, golongan ini berasal daripada golongan pertama juga selepas melalui proses mujahadah yang rapi.

Peringkat Ketiga: Puasa Khawas al-Khawas

Golongan ini agak eksklusif, namun tidak sukar untuk dicapai.

Puasa golongan ulama' al-amilin, solihin dan muqarrabin. Mereka berpuasa bukan lagi kerana pahala atau takut akan dosa tetapi kerana mahu mendekati Allah SWT.

Jadi, sepanjang berpuasa, mereka sentiasa ingat Allah SWT lalu tiada masa untuk melakukan dosa lagi.

Walau bagaimanapun, untuk mencapai puasa tahap ini perlu melalui proses puasa tahap pertama dan kedua. Oleh sebab itu, tiada seorang pun terhalang daripada meningkat daripada satu tahap ke satu tahap yang lebih tinggi lagi, bergantung kepada iman dan kesungguhan masing-masing.

Oleh hal yang semikian, apakah sebenarnya yang menghalang kita untuk meningkat dari tahun ke tahun kepada kategori puasa yang lebih baik?

Jawapan yang mudah, diri sendiri yang tidak mahu berubah kerana tiada kefahaman yang cukup tentang ibadah yang dilakukan. Sayangnya, kita hanya percaya ibadah yang dilakukan itu hanya cukup sekadar sah, bukan dinilai pada kualitinya.

Menilai Puasa

Menyedari kedudukan ini, setiap umat Islam perlu membuat penilaian sendiri terhadap ibadah yang dilakukan. Penilaian ini penting bagi membolehkan kita membuat perubahan ke arah yang lebih baik.

Kita tentu tidak mahu puasa kita hanya setakat puasa umum sahaja selama-lamanya.

Dengan nilaian itu nanti, kita boleh memilih berapa lama masa yang kita perlukan untuk berada pada tahap itu; tiga tahun, enam tahun atau sepuluh tahun?


Jika anda bekerja di sesuatu organisasi atau syarikat misalnya, bukankah ketua anda menetapkan sasaran yang perlu dicapai?

Maka untuk mencapainya anda yang perlu usahakan sesuatu!

Ya, apabila anda menetapkan tiga tahun untuk mencapai sasaran, maka pada penghujung tahun kedua, perlulah dinilai semula apakah pencapaiannya boleh diteruskan atau perlu diubah strategi?

Jika sudah tercapai, maka boleh dirancang bagaimana untuk ditingkatkan ke tahap puasa khawas.

Apabila anda sudah berada pada tahap kedua, lakukan penilaian yang sama. Tetapkan sasaran pencapaiannya. Jika anda  tidak berpuas hati dengan pencapaian itu, maka usahakan agar boleh meningkat ke tingkat khawas al-khawas.

Apabila anda boleh berusaha mengawal diri, sudah pasti anda boleh mencapai sasaran itu dengan segera.

Selain menilai sendiri puasa kita, Allah SWT juga menilai, tetapi nilaian Allah SWT adalah untuk memberi ganjaran kepada umat Islam.

Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Setiap amalan anak-anak Adam itu dilipatgandakan satu kebajikan dengan 10 hingga 700 kali ganda. 


Lalu Allah berfirman (yang bermaksud):-

‘Kecuali puasa. 
Sesungguhnya puasa ini untuk-Ku dan Aku akan membalasnya, dia mengekang syahwat dan mkan minum hanya untuk-Ku.’

Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan. 
Kegembiraan ketika dia berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Allah. 

Dan bau busuk mulut orang yang berpuasa di hadapan Allah lebih harum daripada haruman kasturi.” 

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
KPI Puasa Daripada Allah SWT

Dalam hal Allah SWT menetapkan KPI (Key Performance Index) puasa bagi memudahkan penilaian, sekaligus mengingatkan umat Islam daripada kealpaan. Jadi, kita akan berusaha mengikut apa-apa yang ditetapkan.

Apabila kita boleh melakukan puasa berdasarkan KPI tersebut, barulah kita dianggap berjaya oleh Allah SWT.

Untuk itu, mari kita lihat sebahagian daripada senarai KPI tersebut:-
  • Mematuhi perintah wajib berkenaan puasa
  • Mematuhi larangan semasa berpuasa
  • Meninggalkan larangan haram yang asas dalam Islam
  • Melaksanakan perintah wajib yang asas dalam Islam
  • Memperbanyakkan dalam ibadah sunat dalam bulan Ramadhan
  • Banyak bersedekah termasuk menjamu berbuka orang yang berpuasa
  • Menjauhi amalan yang membatalkan pahala pusa
  • Melepasi ujian Allah SWT semasa berpuasa
  • Mencapai takwa
Berdasarkan ini, Allah SWT menilai setiap detik kehidupan umat Islam dalam bulan Ramadhan. Sejauh mana kita boleh taat kepada perintah Allah SWT; adakah tidak buat dosa kerana takut terbatal puasa atau kerana itu perintah Allah SWT; apakah ibadah puasa yang dilakukan itu kerana iman atau terpaksa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan penuh rasa ketaqwaan kepada Allah, nescaya diampuni dosanya yang telah lalu.” 
Muttafaq ‘alaih
Beruntunglah mereka yang berpuasa atas dasar iman kepada Allah SWT. Allah SWT akan menilainya dengan syurga dan keampunan.

Kenapa Tidak Meningkat?

Jika umat Islam memahami KPI di atas, adakah wajar mereka terus berpuasa pada tahap yang sama dari awal balighnya hingga ke usia ini?

Secara logiknya mereka akan berasa tidak wajar. Semua yang berlaku di dunia itu berkembang dan bertambah hatta dalam perkara ibadah.

Mutu puasa seseorang perlu ke arah yang lebih baik dari semasa ke semasa. Begitu juga dengan ganjaran yang akan diberikan Allah SWT, mengikut mutu yang dipersembahkan hamba-Nya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Ramadhan itu awalnya rahmat, pertengahannya maghfirah (pengampunan) dan akhirnya pembebasan daripada api neraka.” 
Hadith Riwayat Ibn Khuzaiman
Maka jika kita tahu begitulah peningkatan dan perubahan yang disediakan Allah SWT, pasti pada 10 hari pertama bulan Ramadhan dilakukan dengan sebaiknya. Ditingkatkan lagi pada 10 Ramadhan yang kedua, apatah lagi 10 Ramadhan yang terakhir

Tawaran sehebat ini tidak wajar diabaikan begitu sahaja.


Begitulah yang dikehendaki Allah SWT untuk kita capai dalam ibadah puasa. Ibadah yang dilakukan itu harus lebih baik dari hari ke hari. Hal ini kerana ganjaran syurga yang disediakan itu berbeza-beza mengikut tahap ibadah yang kita lakukan.

Kita Perlu Serius

Umat Islam perlu insaf dan serius untuk berubah dan meningkatkan ibadah ke arah yang lebih baik.

Untuk itu, kita perlu melihat semula kehendak Allah SWT seperti yang diperjelaskan di atas puasa yang dilakukan perlu berada pada  tahap yang sepatutnya sesuai dengan peningkatan umur kita. Kemudian tingkat mutu puasa dari yang rendah kepada yang lebih tinggi kualiti dan kuantitinya.

Kemuncak kepada ibadah puasa itu ialah taqwa. 

Maka puasa itu perlulah penambahbaikan agar taqwa benar-benar bertapak dalam jiwa mereka. Orang yang bertaqwa, puasanya boleh menjadikan dia orang yang kuat jiwa, kuat ibadah dan kuat berbakti kepada orang lain.

Orang yang bertaqwa sudah pasti tidak melakukan dosa kecil apatah lagi dosa besar.

Puasa umat Islam yang bertaqwa akan disenangi oleh orang Islam dan bukan Islam, malah akan disenangi oleh Allah SWT dan para malaikat. Natijah puasa inilah yang diharapkan oleh Allah SWT dan rasul-Nya. 

Jadi, jangan tunggu lagi, bertindaklah ke arah ketaqwaan!

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment