Makin Akrab Dengan al-Quran

Bulan suci Ramadhan kembali menjelang.

Agar Ramadhan kali ini lebih baik daripada sebelumnya, mari kita lihat apa yang dilakukan para ulama salaf sepanjang bulan yang penuh berkat ini sebagai panduan kita.


Tokoh salaf pilihan saya kali ini berasal dari Iraq. Nama beliau ialah Sufyan bin Sa’id al-Thawri, Abu Abdillah. Beliau dilahirkan di Kufah pada tahun 97 Hijrah dan wafat di Basrah pada tahun 61 Hijrah.

Sufyan al-Thawri terkenal sempurna dalam semua aspek. Dalam bidang hadith, beliau digelar Amirul Mukminin fi al-Hadith, sebuah gelaran tertinggi bagi penghafal hadith. Dalam fiqah, beliau mujtahid mutlak yang memiliki mazhab tersendiri.

Dan dari segi zuhud, kesolehan beliau tidak mampu ditandingi.

Shu’bah berkata:-
“Sufyan mengalahkan semua manusia dengan ketinggian ilmu dan sifat wara’nya.”
Maka tidak hairan jika majlis ilmunya selalu dihadiri ribuan manusia. Namun begitu, apabila bulan Ramadhan tiba, Sufyan al-Thawri meninggalkan semua aktiviti dakwah dan ilmiahnya. Beliau mengkhususkan bulan suci ini hanya untuk membaca al-Quran.

Murid beliau bernama Abdul Razzaq al-San’ani berkata:-
“Setiap kali tiba bulan Ramadhan, al-Thawri meninggalkan semua ibadah hanya untuk membaca al-Quran.”
Sikap ini bukan sahaja dilakukan oleh Sufyan seorang, akan tetapi ia juga turut menjadi kebiasaan sahabat karibnya di Madinah, yakni Imam Malik bin Anas.

Ibn Abdil Hakam berkata:-
“Apabila Ramadhan menjelang, Malik meninggalkan periwayatan hadith dan diskusi dengan para ulama'. 

Beliau terus membaca al-Quran daripada mashaf.”
Kedua-dua kisah ini diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitab Lata’if al-Ma’arif.

Kita dan Al-Quran

Al-Quran ialah kitab Allah SWT yang penuh dengan keajaiban. Keutamaannya melebihi semua kitab dan ucapan. Ia merupakan kalam Allah SWT yang diturunkan untuk manusia sebagai petunjuk dan penyelamat daripada kesesatan.

Membaca al-Quran walaupun tanpa memahami maknanya merupakan ibadah yang menjanjikan ganjaran besar daripada Allah SWT. 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah, maka baginya satu kebaikan. 

Dan setiap satu kebaikan akan dibalas dengan 10 kali ganda.” 

Hadith Riwayat at-Tirmizi
Menariknya, ganjaran ini bukan hanya untuk orang yang mahir membaca al-Quran. Malah  orang yang tidak lancar membaca pun turut mendapat pahala itu.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:-
“Orang yang mahir membaca al-Quran, ia akan bersama para malaikat yang mulia lagi berbakti. 


Dan orang yang membacanya tersekat-sekat kerana ada kesukaran dalam membacanya, maka ia akan mendapatkan dua pahala.” 

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Hadith dan athar yang menyebutkan tentang keutamaan al-Quran sangat banyak. Dalil yang memerintahkan untuk  membacanya pun tidak kurang banyaknya. Namun sayang, kita terlalu sibuk dengan perkara lain sehingga tidak sempat melakukannya. 

Jarang ada antara kita yang memiliki hubungan mesra dengan kitab Allah SWT. Padahal, kitab ini penuh dengan pelbagai keajaiban dan kenikmatan yang memikat hati.


Saidina Uthman bin Affan RA berkata:-
“Kalau hati kita bersih, kita tidak akan pernah kenyang daripada al-Quran. 

Aku tidak menyukai satu hari yang aku tidak membaca mashaf al-Quran padanya.” 

Riwayat al-Baihaqi dalam Shu’ab al-Iman
Imam al-Baihaqi berkata selepas meriwayatkan ucapan ini:-
“Apabila Uthman wafat, mashafnya telah rosak kerana terlalu kerap dibaca.”
Sungguh berbeza dengan mashaf di rumah kita. Setelah bertahun-tahun, ia mungkin kelihatan masih baru sebab jarang disentuh. Atau mungkin ia hanya diletakkan begitu sahaja di atas meja atau rak buku tanpa pernah disentuh atau dirujuk sama sekali.

Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan ialah bulan ibadah. Pada bulan ini juga al-Quran diturunkan untuk pertama kali. Oleh sebab itu, para ulama' salaf melihat bulan Ramadhan bukan haya bulan puasa, bahkan juga bulan al-Quran.

Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali berkata dalam kitab Lata’if al-Ma’arif:-
“Seorang Mukmin menghadapi dua jihad pada bulan Ramadhan. 


Jihad puasa pada siang hari dan jihad qiyam (solat sambil membaca al-Quran) pada malam hari. 

Sesiapa yang melakukan kedua-duanya dengan baik, ia akan menerima ganjarannya tanpa hisab.”
Jika pada bulan-bulan yang lain kita begitu jauh daripada al-Quran, maka bulan Ramadhan ini ialah masa yang paling tepat untuk mendekat kembali diri kepadanya. 

Orang yang paling rugi ialah orang yang tetap lalai pada bulan yang penuh keberkatan ini padahal dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Rugilah seseorang yang memasuki bulan Ramadhan, namun bulan ini terlalu sementara (dosa-dosanya) masih belum diampuni.” 
Hadith Riwayat Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban
Ulama' dan al-Quran

Setiap Mukmin yang menyedari keutamaan besar yang terkandung dalam Ramadhan tidak akan membiarkannya berlalu dengan sia-sia. Sebaliknya, ia pasti terdorong untuk memanfaatkan masa tersebut dengan mempertingkatkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Imam Abu al-Qasim al-Qushairi dalam al-Risalah al-Qushairiyyah bercerita:-
“Setiap kali tiba bulan Ramadhan, Abu Bakar al-Shibli akan meningkatkan ketekunan ibadahnya. 


Ia berkata:-

‘Inilah bulan yang diagungkan oleh Allah. 
Maka aku mesti menjadi orang yang pertama mengagungkannya.’”
Al-Shibli tidak keseorangan. Ribuan ulama' sejak zaman sahabat dan tabiin turut melakukan perkara yang sama. Mereka meningkatkan amalan ibadah mereka sepanjang bulan Ramadhan melebihi ibadah yang mereka lakukan pada bulan-bulan lain.


Ibrahim an-Nakha’i berkata:-
“Al-Aswad bin Yazid (ulama' tabiin di Kufah) mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadhan setiap dua kali sehari. 


Beliau tidur antara Maghrib dan Isyak. 
Selain bulan Ramadhan, beliau mengkhatamkannya setiap enam hari sekali.”
Salam bin Abi Muti’ berkata:-
“Biasanya Qatadah (ulama' tabiin di Basrah) mengkhatamkan al-Quran setiap tujuh hari sekali. 


Apabila Ramadhan tiba, beliau mengkhatamkannya setiap tiga hari sekali. 
Dan pada 10 hari terakhir, beliau mengkhatamkannya setiap hari sekali.”
Begitu juga sebagaimana yang dilakukan oleh Imam as-Syafi'e. Rabi' bin Sulaiman bercerita:-
“As-Syafi'e mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadhan sebanyak 60 kali. 


Pada bulan yang lain sebanyak 30 kali.”
Terlalu banyak kisah para ulama' yang dapat saya sebutkan di sini. Namun tidak cukup ruang untuk semua kisah dan riwayat ini untuk saya kongsikan.

Meniru Ulama'

Seiapa sahaja yang memiliki iman di hati, pasti iri kepada tokoh-tokoh ulama' di atas. Setiap kali terdengar perbuatan baik, ia tergerak untuk menirunya.

Itulah yang dirasakan oleh Imam Abu Bakar Ibn al-Haddad, seorang ulama' mazhab Syafi'e yang berasal dari Mesir. Beliau tergerak untuk meniru amalan Imam as-Syafi'e pada bulan Ramadhan.

Ibn al-Haddad berkata:-
“Apabila mendengar riwayat al-Rabi’ bin Sulaiman ini aku berusaha melakukan sepertimana yang dilakukan oleh as-Syafi'e. 


Akan tetapi aku hanya mampu mencapai 59 kali khatam sebulan. 

Selain bulan Ramadhan, aku hanya mampu khatam hingga 30 kali khatam sahaja.”
Meskipun tidak mencapai sasaran yang diinginkan, namun pencapaian Ibn al-Haddad ini sungguh luar biasa. Beliau mampu mencapai 59 kali khatam dalam satu bulan.

Mari kita tanya hati kita, tergerakkah kita untuk meniru perbuatan para ulama' ini?

Jika jawapannya ya, maka itu petanda kita masih memiliki sebahagian daripada kebesaran jiwa mereka.

Mari tetapkan niat, kita harus mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadhan ini walaupun hanya sekali. Semakin banyak, sudah tentu semakin baik.

Wa sallallhu ‘ala sayyidina Muhammadin wa ‘ala alihi wa sahbihi wa sallam
Walhamdulillahi Rabbil ‘alamin

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment