Menyingkap Rahmat Ramadhan

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” 
Surah al-Baqarah 2:183

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita rafakkan kepada-Nya atas kesempatan menimba keberkatan Ramadhan kali ini, setelah hampir setahun yang lalu Ramadhan meninggalkan kita.

Mudah-mudahan Ramadhan kali ini membuahkan mahabbah dan makrifat kepada Allah SWT sebelum kita kembali kepada-Nya.

Kali ini kita akan membahaskan mengenai ibadat puasa dan hikmah serta rahsia-rahsianya agar kita dapat menyelami lautan rahmat-Nya pada madrasah Ramadhan tahun ini.

Definisi Puasa

Puasa dari segi bahasa bererti menahan diri daripada melakukan sesuatu.

Manakala dari segi syarak pula menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar sehinga terbenamnya matahari dengan niat puasa.

Ibadat berpuasa telah disyariatkan pada bulan Syaaban tahun ke-2 Hijrah

Kemudian ia difardhukan secara khusus pada bulan Ramadhan.

Berpuasa merupakan satu ibadat yang mempunyai pelbagai rahsia dan hikmah yang besar dalam mendidik nafsu manusia.

Ia merupakan jihad untuk mengembalikan fitrah manusia dalam mempertingkatkan kehambaan kepada-Nya.

Bulan Kejayaan

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyatakan:-
“Allah telah berbicara dengan orang Mukmin di kalangan umat ini dan memerintahkan agar mereka berpuasa. 

Seungguhnya puasa telah diwajibkan atas umat terdahulu juga mengandungi pengajaran dan hikmah yang besar. 

Maka hendaklah umat kini menjalankan ibadat ini dengan bersungguh-sungguh melebihi jihad mereka yang terdahulu.”
Kata-kata ini sebenarnya terhasil daripada kefahaman bahawa puasa merupakan wasilah agar terhasilnya tarbiah terhadap nafsu dan ubat untuk mengawalnya daripada terjerumus kepada maksiat.

Benarlah hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Wahai pemuda, sesiapa daripada kalangan kamu yang mampu untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. 

Dan yang tidak mampu, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu menjadi pengawal baginya (daripada nafsu syahwatnya).” 

Hadith Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud
Hebatnya Muslim Pada Bulan Ramadhan

Sama ada kita sedar ataupun tidak, Ramadhan telah mengukir sejarah yang tersendiri dalam pembinaan kejayaan jiwa insan yang benar-benar menghayatinya.

Di sini, saya cuba menukilkan sebahagian daripada ribuan kejayaan umat Islam yang terpahat dalam sejarah madrasah Ramadhan:-
  • Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah, dan umat Islam telah mencapai kejayaan.
  • Pembukaan Kota Makkah (Fathu Makkah) berlaku pada bulan Ramadhan pada tahun ke-8 Hijrah
  • Berhala-berhala yang pernah disembah sekian lama di sekitar Baitullah dan kota Makkah dihancurkan pada bulan Ramadhan tahun ke-8 Hijrah
  • Kerajaan Islam menumbangkan kerajaan Parsi pada Ramadhan tahun ke-15 Hijrah
  • Salahuddin al-Ayyubi mengalahkan tentera salib pada bulan Ramadhan tahun 584 Hijrah
  • Mesir dan Syria menewaskan Israel di Semenanjung Sinai pada bulan Ramadhan tahun 1393 Hijrah
Hikmah Puasa

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, saya simpulkan beberapa hikmah puasa, antaranya:-
  • Ibadat puasa yang sempurna dan dilakukan dengan bersungguh-sungguh mampu menjana sifat muraqabah iaitu merasakan diri dalam perhatian dan penguasaan Allah SWT. Walaupun orang lain tidak mengetahui adakah dia berpuasa atau tidak, namun menerusi kesedaran bahawa Allah SWT sentiasa memerhati, maka hamba itu terus menahan pujukan nafsunya daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
  • Kekenyangan yang berterusan akan menyuburkan jiwanya dengan sifat keras hati dan malas. Kedua-dua sifat ini bertentangan dengan sifat yang dituntut oleh Islam. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang melalui perjalanan menuju-Nya. Justeru, pensyariatan puasa itu dapat mendidik jiwa para hamba agar bersifat dengan sifat yang diredhai-Nya.


Inilah antara rahsia dan hikmah yang dapat dikongsi mengenai rahmat Ramadhan yang begitu luas dan tidak terhitung banyaknya.

Bahkan ketika penulisan ini ditulis, saya turut merasakan rahmat Ramadhan apabila idea untuk menulis artikel ini datang mencurah-curah walaupun rahsia Ramadhan itu melebihi daripada jangkauan fikiran kita.

Selamat berpuasa dan salam Ramadhan al-Mubarak.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment