Membesarkan Ramadhan Melalui Bersahur

Ramadhan, pesta ibadah yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT.

Bukan pesta makan atau pesta jualan baazar, tetapi pesta membanyakkan amal dan melatih nafsu.

Apakah kita sebagai ibu bapa telah membesar-besarkan bulan Ramadhan yang mulia ini dalam diri anak-anak supaya mereka mengerti tentang keutamaannya?

Apakah yang kita latihkan kepada anak-anak supaya mereka dapat memanfaatkan Ramadhan?

Berikan ilmu dan panduan bagaimana untuk melaksanakan ibadah puasa yang mulia ini supaya anak-anak kita jelas dan mencintai Ramadhan, bukannya menganggap ia bulan penderaan atau bulan yang memenatkan.

Biarkah kita menyasarkan Ramadhan ini sebagai bulan melatih nafsu dan peribadi anak-anak secemerlang Rasulullah SAW.

Bersahur

Bersahur ialah satu amalan yang penting dan ia termasuk sunnah Rasulullah SAW. Bangun awal pagi bagi seorang kanak-kanak bukan perkara yang mudah. Mereka perlu dikejutkan berkali-kali dan kadang-kadang perlu menjanjikan habuan yang lumayan supaya mudah bangun.

Setelah bangun, perlu pula berhadapan dengan situasi anak-anak yang tidak mahu makan. Oleh sebab itu, fahamkan anak-anak bahawa:-
  • Walaupun bersahur itu hukumnya sunat, namun Rasulullah SAW sangat menyukai jika kita bangun sahur
  • Ia ialah perkara sunnah dan berpahala jika anak-anak melakukannya
  • Rasulullah SAW bersahur sekalipun makanan yang ada hanyalah buah kurma. Jika tiada kurma, Baginda SAW bersahur hanya dengan meminum air. Inikan pula zaman kita ini yang mempunyai berbagai-bagai pilihan makanan untuk bersahur
Semoga anak-anak tiada alasan untuk meninggalkan amalan ini.

Pernah seorang ibu menceritakan gelagat anak-anaknya yang berumur enam dan tujuh  tahun, serta pengalaman melatih mereka berpuasa. Kedua-dua anak ini memang susah untuk bangun, apalagi hendak turun ke tingkat bawah.

Maka si ibu mengambil makanan naik ke bilik, anak-anaknya disuap pula dengan mata yang masih tertutup, di atas katil. Apa yang menggelikan hati, anak-anak ini makan dengan berselera dan meminta pula ibunya menambahkan nasi.

Walaupun ibu terpaksa turun naik ke bilik atas, namun beliau bahagia anak-anaknya dapat melengkapkan puasa sebulan.

Ia nampak seperti keterlaluan, namun inilah usaha si ibu bagi menggalakkan anak-anaknya berpuasa.


Bersahur Itu Berkat

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Apakah maksud keberkatan di sini?

Keberkatan bermaksud rahmat, kebaikan serta beroleh restu daripada Allah SWT. Jika kita berbuat sesuatu dan mendapat restu daripada ibu bapa, kita akan rasa bahagia, apalagi jika mendapat restu daripada Allah SWT.

Lewatkan Bersahur

Ada antara anak-anak terutamanya remaja bersahur sebelum tidur malam. Alasannya, jika bersahur awal, tidak perlu bersusah payah bangun pada awal pagi.

Namun Rasulullah SAW menganjurkan dalam hadith Baginda SAW yang bermaksud:-
“Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka puasa.” 
Hadith Riwayat Ahmad
Logiknya, apakah kebaikan melewatkan sahur ini?

Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu Subuh. Berdasarkan riwayat daripada Zaid bin Thabit RA pernah berkata:-
“Kami pernah bersahur bersama Nabi kemudian  kami bangun untuk melakukan solat (Subuh).”
Bersahur pada waktu demikian adalah seperti mengambil sarapan pagi

Kajian menunjukkan, makanan yang paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi.

Juga telah dibuat kajian, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50% lebih rendah diserang masalah kesihatan yang berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding dengan mereka yang jarang bersarapan pagi.

Jadi anak-anak yang sibuk dengan persekolahan pagi sehingga petang, perlu bersahur supaya mereka dapat menumpukan perhatian semasa sesi pembelajaran.

Selepas bersahur pula, jangan biarkan anak-anak menyambung tidur sekalipun mereka tidak bersekolah lagi. Ajak mereka bersama-sama bersiap sedia untuk solat Subuh berjemaah. Jika dibiarkan tidur walaupun sekejap, kebiasaannya payah untuk bangun.

Oleh sebab itu, masa yang disarankan oleh Nabi SAW ini sangat bersesuaian dengan aktiviti anak-anak kita.

Sajian Ketika Bersahur

Anak-anak selalunya cerewet dengan makanan ketika bersahur. Jika anak-anak tidak makan atau terus berlapar sehingga ke petang, kandungan glukosa dalam badan akan menurun, ditambah pula dengan kekurangan air.

Anak-anak sudah tentu lesu dan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pembelajaran di sekolah.


Oleh sebab itu, sajikan anak-anak dengan makanan yang terdiri daripada jenis yang lambat hadam. Begitu juga dengan makanan yang tinggi dengan protein serta kalori yang mencukupi. Contoh makanan yang kaya dengan protein dan kalori seperti nasi, telur, ikan dan juga sayur-sayuran.

Tujuannya supaya tenaga anak-anak boleh bertahan dari pagi hingga ke petang.

Hidangkan makanan mengikut kreativiti supaya menarik selera anak-anak. Misalnya nasi goreng, sup sayur berkrim, jejari ikan buatan sendiri, jus buah-buahan dan sebagainya.

Namun, perlu juga diingatkan supaya tidak makan berlebihan ketika bersahur.

Kononnya dengan makan banyak, perut tidak akan lapar sepanjang berpuasa. Jika makan berlebihan, sebenarnya akan memudaratkan diri iaitu menyebabkan rasa mengantuk, malas beribadah atau mengambil masa tidur yang lama.

Amalan Berbuka

Waktu yang ditunggu-tunggu anak-anak ialah waktu berbuka

Ada ibu bapa yang sanggup bersesak-sesak di bazaar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka. Setiap anak ditanya apa yang mereka inginkan bagi meraikan puasa mereka. Tanpa sedar, perbelanjaan berbuka menjadi lebih tinggi daripada hari-hari biasa.

Marilah kita mengajak anak-anak supaya berjimat cermat ketika berbuka. Makanlah apa-apa sahaja yang dimasak oleh ibu dan bersama-sama menyediakan juadah berbuka. Berbelanja di luar bukan satu kemestian, boleh dilakukan sekali-sekala bagi meraikan anak-anak yang berpuasa.

Segeralah berbuka apabila telah masuk waktu Maghrib. Biasakan anak-anak berbuka dengan buah kurma dan air suam. Rasulullah SAW menyukai kita berbuka dengan kurma basah atau kurma kering.

Ia memudahkan proses pencernaan.

Tinggalkan sebentar makan malam untuk bangun mengerjakan solat Maghrib secara berjemaah. Setelah solat, barulah menyambung semula untuk makan malam. Cara ini lebih baik daripada berbuka dengan makanan yang berat sebelum solat.


Setelah selesai makan, ajak anak-anak ke surau atau masjid untuk solat Isyak dan solat sunat Tarawih. 

Sesekali boleh dikerjakan solat Tarawih di rumah secara berjemaah supaya anak-anak terus membesarkan ibadah pada bulan Ramadhan ini, bukannya membesarkan Hari Raya, baju Raya, kuih Raya dan sebagainya. 

Semoga anak-anak kita tergolong dalam kalangan mereka yang menghayati sunnah Rasulullah SAW ketika menjalani ibadah puasa.

Wallahua'lam