Tuntutan Sistem Moral Dalam Kehidupan

Sistem moral dan etika adalah salah satu daripada sistem yang mempengaruhi tingkah laku manusia. 

Peraturan yang digariskan dalam sistem moral yang mempengaruhi lingkungan kehidupan insan, menjadi pedoman dan panduan yang diterimapakai dan diwarisi.

Tahap keprihatinan manusia memelihara batas moral menjadi kayu ukur sama ada baik atau jahatnya seseorang di mata umum. 

Sistem moral dan etika menuntut manusia agar sentiasa berpegang dan bersandar kepada sifat amanah dan tanggungjawab yang tinggi. 

Tanggungjawab dalam memelihara moral masyarakat terpikul di bahu semua, bukannya hanya terfokus kepada beberapa kelompok tertentu sahaja.

Sejarah membuktikan betapa keruntuhan sistem moral sesuatu kelompok manusia akan menghakis ketamadunan yang dibina, tidak kiralah betapa hebat dan agungnya pencapaian tamadun  tersebut. Kebejatan moral ibarat api di dalam sekam, perlahan-lahan membakar dari dalam.

Suatu komuniti manusia yang kehilangan kompas moralnya, akan meraba-raba dalam kegelapan, mencuba-cuba satu demi satu alternatif yang belum pasti kejayaannya dan terus menerus diselubungi keresahan, kekalutan dan kegelisahan.

Kurang Kesedaran

Namun begitu, mengapakah agaknya kini manusia kurang berminat kepada perkembangan sistem moral, dibandingkan dengan pembanguna infrastruktur fizikal yang pesat, kemajuan kognitif yang begitu memberangsangkan dan perhatian kepada aspek emosi dan psikologi?

Garisan antara apa yang betul dan apa yang salah sudah menjadi semakin kabur. 

Sekalipun ketetapan moral sudah jelas termaktub, namun penghayatannya dipulangkan kepada individu manusia yang dikatakan mempunyai sepenuhnya hak untuk menentukan sama ada ketentuan itu mahu diikut secara rela atau ditinggalkan begitu sahaja. 


Ramai yang kurang selesa sekiranya perbincangan formal ataupun informal mengetengahkan persoalan moral dan etika. Mereka yang menunjukkan minat dan komitmen terhadap nilai moral dan etika sering mendapati dirinya terpisah dan terasing daripada arus perdana semasa.

Bagaimanakah penambahbaikan dapat dijalankan, sekiranya ketidakseimbangan antara sistem moral dan sistem-sistem lain terus berlaku dalam kehidupan manusia?

Sistem moral yang sepatutnya menjadi penyuluh jalan, ibarat gerabak pertama yang mengepalai sebuah keretapi di atas landasan, kini menjadi gerabak yang paling terkebelakang, malahan seoah-olah menjadi satu sistem optional atau sistem pilihan semata-mata.

Bukan itu sahaja. 

Hari ini, ramai pula yang bangkit membantah ketetapan dan undang-undang yang dianggap cuba mengatur tingakah laku dan adab, di samping bertujuan memastikan komuniti manusia berada di batasan moral dan etika yang betul. Sebarang bentuk penguatkuasaan yang bertujuan menjaga moral dan kesantunan umum dianggap “moral policing” dan dikatakan melanggar prinsip kebebasan manusia dalam membuat pilihan hidupnya.

Apabila operasi serbuan dibuat oleh pihak berkuasa ke atas premis hiburan, sarang pelacuran, rumah urut dan pusat perjudian, ramai yang menganggap tindakan tersebut ketinggalan zaman dan satu bentuk pencerobohan hak asasi manusia yang sepatutnya diberikan kebebasan menikmati hidup sepuas-puasnya.

Ironinya, hanya pekerja premis dan wanita GRO yang diberkas setiap kali operasi.

Bagaimana pula dengan tauke besar yang tamak haloba mengaut keuntungan daripada kemaksiatan dan noda?

Wajarkah para pengunjung tegar kelab dan disko hiburan, sarang pelacuran, rumah urut dan pusat perjudian dibiarkan terlepas bebas tanpa sebarang hukuman, sedangkan kerana adanya permintaan inilah, maka adanya bekalan dan perkhidmatan?

“Moral policing” yang berat sebelah inilah sebenarnya menimbulkan lebih banyak persoalan dan permasalahan.

Moral VS Nafsu

Masih relevankah lagi sistem moral dan etika ini dalam era kehidupan semasa?

Adakah manusia masih perlu disusun atur oleh satu sistem rigid (kaku) dan bertentangan dengan hawa nafsu serta selera?

Dalam bukunya, The Five Minds of the Future; Profesor Howard Gardner, seorang pakar psikologi pendidikan yang tersohor dari Universiti Harvard mengemukakan lima bentuk pemikiran yang amat diperlukan bagi membangunkan tamadun pada alaf 21 ini.

Minda tersebut ialah:-
  • Minda berdisiplin (disciplined mind)
  • Minda sintesis (synthesizing mind)
  • Minda kreatif (creative mind)
  • Minda yang menghormati (respectful mind)
  • Minda beretika (ethical mind)
Menurut beliau, dunia tidak boleh bergantung kepada kehadiran minda berdisiplin, minda sintesis dan minda kreatif semata-mata kerana ketiga-tiga minda ini berasaskan otak kiri, dan boleh menghasilkan inovasi yang bersifat destruktif yakni merosakkan. 

Sebaliknya, kedua-dua minda yang berasaskan otak kanan, minda yang menghormati dan minda beretika amat diperlukan untuk mengimbangi kehebatan tiga minda yang lain.

Ini jelas mengikut saranan Profesor Gardner, betapa perlunya sistem moral dan etika terus diperkasa dan dijulang bagi menghasilkan satu mekanisme “check and balance” yang mampu untuk menyelamatkan manusia daripada kerosakan yang dibuat oleh tangannya sendiri.

Islam sebaik-baik Tempat Kembali

Perbincangan lanjut mengenai sistem moral dan etika akhirnya akan sampai kepada persoalan pokok – apakah yang betul dan apakah pula yang dianggap salah dalam urusan seharian manusia?

Siapakah pula yang menentukan apa yang dibolehkan dan apa yang tidak seharusnya dilakukan oleh seseorang insan?

Bolehkah manusia bersandarkan semata-mata kepada keupayaan akalnya yang dangkal untuk menentukan kayu ukur tersebut?

Di sinilah kebergantungan manusia kepada panduan dan pedoman wahyu yang diturunkan oleh Rab al-Jalil, melalui perutusan para Nabi-Nya.

Dengan aqidah yang bertunjang dan mengakar, manusia penuh rela mengikut garis panduan ketetapan Allah SWT yang diperturunkan dalam kitab al-Quran yang merupakan petunjuk atau huda, furqan, syifa’ dan nur yang menerangi.

Sikap manusia dalam menentukan sama ada mahu patuh atau tidak kepada ketentuan Allah SWT, bergantung kepada hakikat keyakinan dan iman yang ada dalam dada.


Bagi seorang individu yang mantap aqidahnya, apa-apa sahaja yang disukai oleh Allah SWT, maka itulah yang akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya sekalipun nafsu menolak dan membenci.

Sebaliknya, apa-apa sahaja yang dilarang Allah SWT, akan dijauhi dan ditinggalkan, biarpun nafsu dan syahwat bergejolak mengidamkannya.

Hanya ini lah satu-satunya perilaku manusia yang mampu menyerlahkan segala kehebatannya dan melayakkannya menjadi khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang mafhumnya:-
“Kemudian Kami jadikan engkau (Muhammad) mengikuti syariat (peraturan) daripada hukum-hakam agama. Maka ikutlah (syariat itu) dan janganlah engkau ikut nafsu keinginan orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).” 
Surah al-Jathiyah 45:18
Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud:-
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, dan janganlah engkau mengikuti keinginan hawa nafsu mereka (orang yang jahil).” 
Surah al-Ma'idah 5:49
Agama, Moral dan Etika

Dalam bidang profesional seperti perubatan, perundangan dan kehakiman, kejuruteraan, kewartawanan dan banyak lagi, prinsip etika menjadi tunjang moral yang mendasari profesion tersebut.

Sebagai contohnya, bidang perubatan meletakkan empat prinsip asas dalam etika perubatan iaitu tidak menyebabkan kecederaan, kerosakan atau kebinasaan (does no harm), memberikan manfaat (beneficience), prinsip autonomi dan prinsip keadilan.

Mendiang Profesor Dr. Donald Gebbie, seorang pakar perunding Obsterik dan Ginekologi (O&G) berbangsa Scottish pernah mengingatkan para pelajarnya yang berada di dalam sessi rondaan wad:-
“Bagi pengamal perubatan yang tidak memiliki sebarang pegangan agama atau mengaku dirinya seorang atheis, maka dia mesti sentiasa ingat bahawa prinsip etika perubatan inilah yang akan menjadi agama dan kelak mengawasinya.”
Semoga sistem moral dan etika kembali menjadi lokomotif yang mengepalai gerabak kehidupan masyarakat hari ini, yang akan memberi daya tujahan bergerak ke hadapan, menyuluh kegelapan yang menyelubungi dan memilih landasan yang betul setiap kali tiba di persimpangan. 

Sistem moral dan etika berasaskan ajaran Islam yang kamil dan syumul pula akan meningkatkan lagi kewibawaan dan keberkesanannya mengatur kehidupan insan.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment