Kisah Nabi Adam AS - Dosa Pertama Di Muka Bumi

Setiapkali Hawa mengandung, beliau dikurniakan anak kembar. Antara anak yang dilahirkan ialah Qabil bersama pasangan kembar perempuannya dan Habil bersama pasangan kembarnya yang juga perempuan.

Ada pendapat mengatakan kembar Qabil bernama Iqlima manakala kembar Habil bernama Labuda.

Para ulama' menyebut kisah mereka bahawa Allah SWT mensyariatkan kepada Nabi Adam AS agar menikahkan anak perempuannya dengan anak lelakinya kerana keadaan darurat.


Nabi Adam AS menikahkan anak perempuan yang lahir daripada satu kehamilan dengan anak lelaki daripada kehamilan yang lain, atau dengan kata lain dikahwinkan secara bersilang.

Ketika itu saudara kembar Habil memiliki rupa paras yang tidak cantik, sedangkan saudara perempuan Qabil mempunyai paras yang cantik menawan.

Qabil menginginkan agar saudara perempuannya yang cantik itu dinikahkan dengan dirinya, bukan dengan Habil. Namun Nabi Adam AS menolak, kecuali apabila kedua-duanya mempersembahkan korban masing-masing. Sesiapa yang korbannya diterima, maka wanita tersebut akan dikahwinkan dengannya.

Ternyata Allah SWT menerima korban daripada Habil dan tidak menerima korban daripada Qabil. Akhirnya, terjadilah sebagaimana yang telah diceritakan dalam al-Quran.

Habil dan Qabil

Allah SWT menceritakan kisah Qabil dan Habil dalam surah al-Ma'idah ayat 27 hingga 31 yang bermaksud:-
“Dan bacalah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu sembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) daripada yang lain (Qabil). 



Berkata (Qabil):-

‘Sesungguhnya aku akan membunuhmu!’

(Habil) menjawab:-

‘Allah hanya menerima (korban) daripada orang yang bertakwa. 
Demi sesungguhnya, jika Engkau menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak akan sekali-kali akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. 
Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang mentadbirkan sekalian alam. 
Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. 

Maka dengan itu engkau termasuk dalam kalangan ahli neraka. Dan itulah dia balasan orang yang zalim.’

Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga dia tergamak) membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya. Oleh sebab itu, dia termasuk dalam golongan orang yang rugi. Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek di bumi supaya diperlihatkan kepada (Qabil) cara menguburkan mayat saudaranya. 

(Qabil) berkata:-

‘Aduhai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menguburkan mayat saudaraku?’

Kerana itu dia tergolong dalam kalangan orang yang menyesal.”
Korban Terpilih

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang yang bertaqwa.” 
Surah al-Ma'idah 5:27
Ertinya Allah SWT hanya menerima korban daripada sesiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT dalam perbuatannya.

Ibn Abi Hatim meriwayatkan daripada Abu al-Darda', beliau berkata:-
“Sesungguhnya apabila aku berasa yakin bahawa Allah menerima solatku, maka itu lebih aku sukai daripada dunia berserta isinya. 



Sesungguhnya Allah Taala berfirman (yang bermaksud):-

‘Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang yang bertaqwa.’”

Habil seorang yang soleh dan korbannya diterima oleh Allah SWT kerana ketaqwaannya. Apabila Qabil mengancam untuk membunuh Habil, Habil berkata:-
“Demi sesungguhnya, jika Engkau menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu.”
Maksudnya, aku tidak akan membalas perbuatanmu yang batil itu dengan perbuatan yang sama sehingga aku dan engkau sama-sama berdosa.

Habil berkata lagi:-
“Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan sekalian alam.”
Maksudnya, aku takut melakukan sebagaimana yang engkau ingin lakukan, tetapi aku akan bersabar dan mengharapkan pahala.

Perkataan taqwa yang diucapkan Habil ketika bercakap dengan Qabil sebenarnya sangat tepat untuk mengingatkan dirinya dan Qabil agar tidak melakukan kejahatan. Namun Qabil bukanlah orang yang bertaqwa.

Oleh kerana Allah SWT tidak menerima korbannya, disebabkan hasad yang meliputi  hatinya memuncak, maka menimbulkan suatu keinginan yang kuat untuk membunuh Habil.

Dalam satu hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Abi bakrah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“‘Jika dua orang Muslim saling berhadapan dengan pedang masing-masing, maka yang membunuh dan terbunuh masuk neraka.’



Para sahabat bertanya:-


‘Wahai Rasulullah, orang yang membunuh ini (wajar masuk neraka), lalu mengapa yang dibunuh (juga masuk neraka)?’


Baginda menjawab:-


‘Kerana ia (juga) berkeinginan untuk membunuh sahabatnya.’”
Pembunuhan Pertama

Imam Ibn Kathir menyebut alam tafsirnya kisah berikut yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Wahb, daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam, daripada ayahnya.


Qabil memegang kepala Habil untuk membunuhnya, lalu membaringkan Habil, namun Qabil tidak mengetahui bagaimana cara membunuhnya. Lalu datanglah iblis seraya berkata:-

“Adakah engkau ingin membunuhnya?”

Qabil menjawab:-

“Ya.”

Iblis berkata:-

“Ambillah batu besar ini, lalu hempaplah kepalanya.”

Qabil pun mengambilnya lalu menghempap kepala Habil sehingga kepalanya pecah. Kemudian iblis segera menemui Hawa seraya berkata:-

“Wahai Hawa, Qabil telah membunuh Habil.”

Hawa berkata:-

“Celaka kamu! Apakah itu pembunuhan?”

Iblis berkata:-

“Ia tidak makan, ia tidak minum dan tidak bergerak.”

Hawa berkata:-

“Itu kematian.”

Iblis berkata:-

“Itulah kematian.”

Hawa berteriak sehingga Nabi Adam AS menemuinya masih dalam keadaan berteriak.

Nabi Adam AS bertanya:-

“Mengapa kamu menangis?”

Hawa tidak menjawab. Lalu Nabi Adam AS berkata:-

“Kamu dan anak-anak perempuan yang menanggung akibat teriakanmu. Sedangkan aku dan anak-anak lelaki berlepas diri daripadanya.”

Ini diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim.

Ilham Daripada Seekor Gagak

Al-Suddi berkata, ketika saudaranya mati, Qabil membiarkannya begitu sahaja di tanah lapang dan tidak tahu apa yang harus dilakukannya.

Maka Allah SWT mengirimkan dua ekor burung gagak bersaudara, lalu kedua-duanya berkelahi sehingga salah seekor daripadanya membunuh yang lainnya. Kemudian burung gagak itu membuat lubang untuk burung yang mati dan menguburkannya.

Sejurus itu, Qabil menyaksikannya, dia berkata:-
“Aduhai celakalah aku! Mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?”
Ali bin Abu Talhah meriwayatkan daripada Ibn Abbas RA versi yang sedikit berbeza berkenaan burung gagak yang mengilhamkan kepada Qabil cara mengebumikan jenazah Habil. 

Beliau berkata:-
“Seekor burung gagak datang kepada burung gagak yang lain yang sudah mati, lalu burung gagak itu menggali tanah dan menguburkan burung gagak yang sudah mati. 



Menyaksikan peristiwa itu, Qabil berkata:

‘Aduhai celakalah aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, dan aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?’”

Diceritakan juga bahawa Qabil menggali tanah dan meleakkan Habil di dalamnya, lalu menutupnya dengan tanah. Suatu ketika Nabi Adam AS pulang ke rumah dan mendapati haiwan-haiwan ternakan terbiar.

Apabila Nabi Adam AS mengetahui bahawa Habil telah dibunuh oleh Qabil, Baginda AS berasa sedih.

Allah SWT mencatat kemaksiatan yang dilakukan oleh Qabil iaitu tiada seorang pun setelahnya yang membunuh dengan zalim melainkan Qabil juga mendapat bahagiannya daripada dosa itu kerana dialah manusia pertama yang memulakan pembunuhan.

Sesungguhnya sifat hasad dengki ialah dosa pertama yang berlaku di langit dan di bumi iaitu perbuatan yang dilakukan oleh iblis terhadap Nabi Adam AS dan perbuatan yang dilakukan oleh Qabil terhadap Habil.

Wallahua'lam