Bagaimana Mahu Menjadi Tekun?

Orang yang cuba mencapai piawaian tertentu dalam kerja biasanya akan tekun melaksanakan tugasannya itu.

Pernahkah kita mengambil berat tentang piawaian Allah SWT dalam setiap kerja kita?

Rahsia menjana kuasa ketekunan luar biasa dalam diri seseorang adalah dengan memahami apa yang dilakukannya itu dari ‘kacamata’ Ilahi

Tanyalah diri, apakah yang Allah SWT mahukan daripada kerjaku ini?

Allah SWT Mahu Kita...

1. Mengamalkan Islam yang Syumul

Allah SWT mahu kita mengambil Islam secara keseluruhan sebagai sistem hidup kita; bukan separuh-separuh, cebisan-cebisan dan mengikut selera kita sahaja. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Wahai orang yang beriman, masuklah Islam secara keseluruhan dan janganlah engkau mengikut jejak langkah syaitan.” 
Surah al-Baqarah 2:208
Contohnya, kita bukan sahaja tidak makan khinzir dan minum arak dalam aspek pemakanan bahkan tidak mendekati zina sebelum berkahwin dalam aspek muamalat.

Piawaian Allah SWT supaya kita mengamalkan Islam secara keseluruhan akan memotivasikan diri untuk berusaha dengan tekun dan lebih tekun. 

Realitinya ia memang sukar dilaksanakan, namun ia boleh memberi kita sasaran untuk dicapai.

2. Hidup Memberi Manfaat

Rasulullah SAW yang berkata-kata dengan petunjuk wahyu bukannya nafsu, bersabda mafhumnya:-
“Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.” 
Hadith Riwayat al-Baihaqi
Daripada hadith ini, apakah yang Allah SWT mahukan?

Sudah tentu Allah SWT mahu kita banyak memberi dan menyumbang kepada orang lain. Orang Mukmin sentiasa mencari peluang untuk memberi manfaat kepada orang lain. Tanpa perlu dipinta, disuruh atau dipaksa. 

Kata pepatah Arab:-

“Orang yang tidak mempunyai apa-apa tidak akan memberi.”


Maka, untuk menyumbang kepada orang lain, sumbangkan dahulu kualiti buat diri sendiri. Allah SWT mahu setiap Mukmin cuba berperanan memenuhi semua aspek yang menjadi keperluan insan terhadap dirinya sendiri.

Maha Bijaksana Allah SWT yang menyeru kita supaya menjadi umat pertengahan dan seimbang, Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil (pertengahan) dan terpilih agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.” 
Surah al-Baqarah 2: 143
Diri yang dilengkapi kualiti akan mudah memberi manfaat kepada orang lain. Inilah keseimbangan hidup.

Bagaimana menjadi manusia yang ada kualiti? (sila rujuk jadual di bawah)

Membina Kualiti Diri yang Seimbang


Menghasilkan Kerja yang Professional dan Berintegriti

Allah SWT mengabdikan kata-kata keramat puteri Nabi Shu'aib AS dalam al-Quran, maksudnya:-
“Salah seorang daripada kedua-duanya berkata:-
‘Wahai ayahanda, ambillah dia sebagai pekerja. Sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah kerja yang kuat (al-qawiy) lagi amanah (al-amin).’” 
Surah al-Qasas 28:26
Apakah yang Allah SWT mahukan?

Allah SWT mahukan hasil kerja yang profesional (al-qawiy) dan berintegriti (al-amin). Dalam peristiwa yang terakam dalam al-Quran ini, dua orang puteri Nabi Shu'aib AS iaitu Safura dan Liya terpegun dengan keperibadian Nabi Musa AS.

Baginda AS bukan sahaja gagah fizikalnya ketika menolong mereka memberikan air kepada haiwan ternak, malah cukup amanah dan berakhlak mulia melaksanakannya.

Lantas, dilaporkan kepada si ayah.

Nabi Shu'aib AS berminat menawarkan pekerjaan kepada Nabi Musa AS. Jelas dengan sifat profesional dan berintegriti yang dimasukkan dalam diri seseorang, mengundang rasa percaya dan kagum.

Kesedaran ini akan menjana sifat tekun untuk mencapai piawaian al-qawiy dan al-amin di sisi Allah SWT.


Dalam pekerjaan yang kita lakukan sama ada belajar, menyiapkan assignment, mengadakan pembentangan, belajar berkumpulan, membuat persiapan untuk peperiksaan, mengikuti program peningkatan diri serta kepimpinan dan sebagainya, Allah SWT mahu kita menjadi al-qawiy (kuat lagi profesional) serta al-amin (amanah dan berintegriti).

Itulah hasil kerja yang berkualiti dan memerlukan ketekunan untuk mencapainya.

Terbilang Dunia dan Akhirat

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan carilah apa yang telah dikurniakan kepadamu (kebahagiaan) di akhirat dan jangan kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) dunia.” 
Surah al-Qasas 28:77
Allah SWT mahu kita cemerlang, gemilang dan terbilang di dunia dan di akhirat. Rasulullah SAW juga mengajar kita berdoa agar mendapat hasanah (kebaikan) di dunia dan di akhirat.

Sesetengah remaja keliru sendiri:-

“Saya sudah belajar bersungguh-sungguh dan tidak bergaul bebas, tapi keputusan peperiksaan saya biasa-biasa sahaja. Baik jadi macam dia. 
Dia study lepak-lepak, bercinta pula, tapi result hebat. Dia lebih berjaya.”

Kepercayaan yang silap ini mempengaruhi sikap dan tindakan seseorang itu untuk tidak lagi tekun mencapai kesungguhan dalam berbuat apa sahaja dan keindahan dalam berakhlak. Hakikatnya ramai orang yang masih tidak tahu apa ertinya berjaya meskipun setiap orang menginginkannya. 

Adakah berjaya itu apabila mendapat keputusan berderet ‘A’ tetapi derhaka kepada Allah SWT dan bergaul bebas sebelum berkahwin?

Adakah berjaya itu apabila kebijaksanaannya dikagumi orang tetapi berakhlak buruk?

Kejayaan hakiki ialah apabila dapat melihat wajah Allah SWT, beroleh keredhaan-Nya dan syurga yang abadi. Maka, segala apa yng kita usahakan di dunia mestilah bermatlamatkan akhirat.

Jika usaha kita tidak disertai niat dan akhlak ahli syurga, kejayaan daripada usaha itu hanyalah bersifat sementara, menipu daya dan tidak ke mana-mana.

Maka, Mukmin yang sedar kepentingan tekun akan melengkapi diri dengan kualiti dunia dan akhirat kerana hidup ini menjadi penting dengan adanya negeri abadi. Setiap perbuatan baik walau sebesar zarah akan dihargi dan setiap perbuatan jahat walau sekecil zarah akan dibalas.


Sasaran Mencapai Piawaian Allah SWT

Lakukanlah sesuatu dengan meletakkan piawaian Allah SWT di hadapan sebagai sasaran yang ingin dicapai. Insya-Allah, ia suatu rahsia hebat untuk menjana ketekunan atau jiddiyyah yang luar biasa dalam hidup kita.

Semoga Allah SWT akan sentiasa memberikan petunjuk dan hidayah kepada kita.

Aamiiin.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment