Kuarantin: Formula Rasulullah SAW Mencegah Epidemik

Penemuan bakteria dan mikroorganisma pada tahun 1674 oleh seorang saintis Belanda, Anton van Leeuwenhoek telah membuka tabir kepada banyak kajian tentang sebuah alam yang didiami oleh makhluk yang “ghaib”. 

Penemuan ini telah menjawab banyak persoalan yang bermain di minda masyarakat khususnya tentang penyakit-penyakit yang menular dan juga wabak-wabak.

Penemuan ini telah memberi kefahaman kepada manusia mengenai cara-cara mikroorganisma membiak dan merebak.

Sebelum itu kebanyakan manusia menganggap bahawa semua penyakit disebabkan oleh rasukan hantu, pelesit dan syaitan.

Tiada sesiapa pun yang mengaitkan penyakit-penyakit ini sebagai akibat daripada tabiat dan cara hidup yang tidak bersih sehingga memudahkan sesuatu bakteria merebak.

Bagi mereka, jalan penyembuhannya adalah dengan mencari dukun-dukun dan bomoh-bomoh untuk menghalau rasukan-rasukan yang menyebabkan penyakit-penyakit itu.

Kepercayaan ini berlarutan sehingga kepada perkembangan ilmu-ilmu mikrobiologi.

Para saintis juga telah menemui cara-cara mikroorganisma membiak dan merebak. Mereka juga telah mengetahu tentang penyakit-penyakit tertentu yang dibawa oleh bakteria-bakteria tertentu.

Saintis juga mendapati bahawa penduduk di sesebuah kawasan wabak yang tidak mempunyai gejala-gejala penyakit berjangkit, badan mereka berkemungkinan besar telah dijangkit kuman wabak tersebut.

Bahkan mereka sebenarnya sangat berbahaya kerana mereka akan menyebarkan kuman tersebut ke tempat lain jika mereka keluar dari kawasan wabak.

Pada abad ke-15, penyakit berjangkit berupa wabak telah membunuh lebih satu per empat daripada penduduk Eropah. Namun pada masa tersebut, wabak dan penyakit berjangkit di negara-negara Islam sangat sedikit jumlahnya. 

Berikut merupakan contoh-contoh wabak yang pernah melanda Eropah dan meragut nyawa yang tidak terkira jumlahnya:-

#1 Black Death di Seluruh Eropah

Wabak ini mengakibatkan kira-kira 75 juta orang meninggal dunia. Wabak ini ialah singkatan kepada wabak bernama PES dan ia mengakibatkan radang paru-paru yang teruk. Ia merupakan bencana terburuk yang menimpa manusia di muka bumi ini sekitar tahun 1347 hingga 1350.


Wabak ini telah menyebabkan populasi penduduk Eropah merudum sebanyak 30% hingga 60% dan mereka mengambil masa 150 tahun untuk kembali kepada jumlah penduduk asalnya.

Setelah wabak ini melanda, tanah-tanah lapang dipenuhi dengan mayat-mayat, malah rumah-rumah serta bandar-bandar menjadi sunyi sepi.

Terdapat banyak teori yang mengaitkan punca meletusnya wabak ini, namun kebanyakan saintis percaya ia disebabkan oleh sejenis bakteria iaitu Yersinia Pestis. Bakteria ini merosakkan kelenjar-kelenjar limfa menyebabkan pembengkakan di bahagian leher dan ketiak sebelum ia bernanah.

Ia juga menyerang paru-paru melalui pembuluh-pembuluh darah mengakibatkan mangsa meninggal dunia dalam masa 4 hingga 7 hari sahaja.

#2 Selesema Sepanyol di Seluruh Dunia pada Tahun 1918 hingga 1919

Kematian dianggarkan seramai 20 juta hingga 50 juta orang. 

Ia merupakan sejenis wabak influenza yang bermula di Amerika Syarikat dan seterusnya merebak ke seluruh dunia.

Ia dipercepatkan dengan tercetusnya Perang Dunia Pertama pada waktu itu. Sepanyol bukanlah negara pertama yang dilanda wabak ini, namun ia dinamakan “selesema Sepanyol” kerana peranan media yang membuat liputan meluas ketika wabak ini menyerang Sepanyol.

Punca wabak ini merebak masih samar-samar. 

Namun saintis percaya bahawa ia disebarkan melalui batuk dan bersin dan virus terbabit terus menyerang paru-paru menyebabkan kematian.

Bahkan sebahagian saintis percaya bahawa ia merupakan sejenis wabak yang mungkin berpunca daripada virus influenza dan ia daripada sumber yang sama dengan Influenza A (H1N1) yang melanca dunia pada masa kini. 


Bahkan ada yang menganggap bahawa ia merupakan wabak H1N1 pertama yang melanda dunia.

#3 English Sweat di England pada Tahun 1485

English Sweat menyebabkan kematian kira-kira 3 juta orang ketika ia melanda England dan Utara Eropah. Wabak ini dikatakan begitu berbahaya dan boleh membunuh manusia dalam hanya tempoh masa beberapa jam sahaja.

Biasanya mangsa-mangsa yang menghidapinya akan berasa cemas, pening-pening, mengalami kesakitan pada bahagian sendi dan demam yang berterusan

Peringkat ini dinamakan “peringkat sejuk”

Setelah beberapa jam, mangsa akan mengalami “peringkat panas” dan mulai berpeluh dengan banyak sehingga badan kekurangan air.

Pada peringkat akhir, mangsa akan koma dan seterusnya meninggal dunia.

Formula Islam Mengatasi Wabak

Islam sebenarnya telah mempunyai formula sendiri dalam usaha menangani sesuatu wabak penyakit daripada tersebar. Garis panduan yang dianjurkan oleh Islam ini tidak pernah difikirkan oleh sesiapa pun sebelum dan sesudah itu.

Hal ini seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Jika kamu mendengar sesuatu wabak menular di sesebuah tempat, janganlah kamu memasuki kawasan itu. 

Namun jika wabak tersebut merebak di tempat kamu, janganlah kamu meninggalkan kawasan itu.” 
Hadith Rriwayat al-Bukhari dan Muslim
Inilah sistem kuarantin yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW

Sistem ini menegaskan bahawa semua penduduk di kawasan yang terkena wabak dilarang meninggalkan kawasan itu dan mereka dari luar juga dilarang daripada memasuki kawasan wabak tersebut.

Ini merupakan asas kepada pencegahan penyakit dalam bidang perubatan. Hal ini terbukti setelah berlaku penemuan mikroorganisma dan manusia mula mengkaji bagaimana organisma-organisma kecil itu merebak.

Dalam usaha agar arahan Baginda SAW dilaksanakan dengan betul, Baginda SAW telah menggariskan satu sempadan untuk kawasan wabak dan menegaskan bahawa jika penduduk di kawasan itu bersabar dan tinggal di dalamnya, mereka akan dianugerahkan mati syahid dan sesiapa yang lari mengingkarinya akan dijanjikan kecelakaan dan kehancuran

Seperti dalam sabda Baginda SAW yang bermaksud:-
“Sesiapa yang lari dari kawasan wabak dosa, mereka umpama lari dari medan jihad di jalan Allah SWT dan sesiapa yang bersabar dan menetap di dalamnya, maka dia akan dianugerahkan mati syahid.” 
Hadith Riwayat Ahmad
Jangan Jadi “Pengebom Berani Mati”

Jika seseorang yang sihat 500 tahun yang lalu diarahkan untuk menetap dan tidak meninggalkan kampungnya yang terkena wabak, pastinya dia beranggapan bahawa saranan tersebut tidak masuk akal kerana dia ingin menyelamatkan diri daripada ancaman wabak dan ingin berpindah ke kawasan yang selamat. 


Padahal dia tidak mengetahui bahawa kuman-kuman wabak mungkin telah mengjangkiti tubuhnya dan menunggu masa untuk meragut nyawa.

Tindakan melarikan diri ke tempat lain bukanlah perkara yang bijak kerana ia akan membahayakan nyawa seluruh penduduk di kawasan lain. Dia tidak ubah umpama seorang pengebom berani mati yang sarat dengan bahan letupan beracun.

Bagi orang yang memahami kehendak Islam, tentu sekali mereka akan bertindak selari dengan arahan Rasulullah SAW.

Bagi yang tidak memahami kehendak Islam pula, pasti mereka akan memperolok-olokkan saranan ini sehinggalah mereka tahu bahawa jika orang sihat dijangkiti virus tersebut berhijrah, maka tersebarlah virus penyakit tersebut ke tempat lain.

Siapakah yang mengajar Rasulullah SAW tentang kaedah mikrobiologi ini?

Adakah ilmu ini telah diketahui oleh manusia 1400 tahun yang lalu?

Tentunya tidak lain dan tidak bukan ia datang daripada Yang Maha Mengetahui, Allah SWT.

Semasa wabak virus selesema H1N1 menyerang dunia pada tahun 2009 dan belum menjejaskan negara kita, saya secara jujurnya terkilan dengan tindakan sesetengah rakyat negara kita yang merantau di negara-negara yang telah terkena wabak segera pulang ke Malaysia untuk lari daripada wabak berkenaan

Akibatnya, virus yang bukan berpunca daripada negara kita telah mula merebak dan mengjangkiti beribu-ribu rakyat kita dan mengorbankan berpuluh-puluh yang lain termasuk ibu-ibu yang mengandung dan kanak-kanak yang kecil. 

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment