Laksana Bintang Yang Bersinar


Firman Allah SWT dalam surah an-Nur yang bermaksud:-
“Allah yang menerangi langit dan bumi. 

Perumpamaan nur Allah adalah seperti sebuah ‘mishkah’ (lubang yang tidak tembus) yang di dalamnya ada sebuah pelita, pelita itu di dalam kaca, kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar seperti mutiara, pelita itu dinyalakan dengan minyak daripada pohon yang diberkati, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat yang minyaknya hampir-hampir memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api, cahaya berlapis cahaya. 

Allah membimbing sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada nur hidayah-Nya itu dan Allah mengemukakan pelbagai perumpamaan untuk umat manusia. 

Allah Maha Mengetahui akan setiap sesuatu.”
Surah an-Nur 24:35
Dalam ayat ini, Allah SWT telah mendatangkan perumpamaan mengenai hidayah yang Allah SWT pancarkan kepada hamba-Nya.

Menurut Sayyid Qutb dalam Fi Zilal al-Quran, Allah SWT mendatangkan kiasan dalam ayat-ayat yang berkaitan dengan zat Ilahi bertujuan memberi penjelasan dan pemahaman dengan lebih jelas.

Ia menggambarkan bahawa Allah SWT ialah cahaya yang menyinari makhluk-Nya dan mereka mendapat petunjuk daripada cahaya itu adalah untuk menuju kepada keimanan. Cahaya Allah SWT ini telah menyuluh serta menyinari segala kegelapan yang ada di langit dan di bumi, hati, jiwa dan roh.

Allah SWT menyebut diri-Nya sebagai ‘an-Nur’ sebagaimana Allah SWT menyebut al-Quran juga dengan sebutan ‘nur’.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa' ayat 174 yang bermaksud:-
“Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti daripada Tuhan kamu (Nabi Muhammad SAW), dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu nur (cahaya iaitu al-Quran) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak).” 
Surah an-Nisa' 4:174
Penggabungan perkataan nur dengan السماء (langit) dan الأرض (bumi) dalam ayat di atas menunjukkan betapa luasnya jangkauan cahaya Allah SWT, sehinggakan seluruh langit dan bumi menjadi terang.

Ibn Abbas sebagaimana yang dinukilkan dalam tafsir Ibn Kathir telah menyatakan bahawa maksud ‘Allah yang menerangi langit dan bumi’ ialah Allah SWT yang mengurus dan mengatur apa-apa yang ada di langit dan bumi seperti bintang, matahari dan bulan.

Ubay bin Ka’ab pula menyatakan bahawa maksudnya ialah orang beriman yang Allah SWT masukkan ‘keimanan’ dan ‘al-Quran’ dalam dada mereka.

Menurut al-Baghawi, dikatakan juga ‘nur’ di langit itu ialah malaikat dan ‘nur’ di bumi ialah para anbiya’.

Abu al-Aliyah pula berkata:-
“Allah menghiasi langit dengan matahari, bulan dan bintang-bintang dan menghiasi bumi dengan anbiya’ (para Nabi dan ulama').”
Al-Quran mendekatkan pemahaman terhadap nur Ilahi (cahaya Allah SWT) dengan membuat perumpamaan terdekat yang dapat dirasai oleh pancaindera secara umum.

Perumpamaan ini adalah perumpamaan hidayah Allah SWT kepada kaum Mukminin. Abdul Halim Mahmud telah menukilkan pandangan Ibn Ashur dengan mengatakan bahawa:-
“Al-Mishkah adalah perumpamaan hidayah dan petunjuk Allah SWT yang amat menyakinkan, yang dilengkapi dengan mukti-bukti yang kuat tanpa sebarang keraguan.”
Secara ringkasnya, ayat 35 surah an-Nur ini menjelaskan tentang kebesaran ‘nur’ Allah SWT, yang menunjukkan keagungan dan kebesaran Allah SWT.

Ia dapat dilihat dan dirasai melalui penciptaan makhluk yang terangkum dalam perkara-perara berikut:-
  • Allah SWT akan membimbing dan menunjukkan jalan kepada sesiapa sahaja yang Allah SWT kehendaki melalui cahaya-Nya iaitu petunjuk hidayah
  • Allah SWT membuat perumpamaan ini sebagai peringatan bagi manusia untuk menjadi orang yang benar dan beriman
  • Allah Maha Mengetahui sama ada seseorang itu tergolong dalam golongan yang benar serta mendapat hidayah-Nya atau golongan yang terus berada dalam kesesatan
Ilmu Allah SWT meliputi segalanya.

Semua Berpotensi Memperoleh Hidayah

Allah SWT akan mengurniakan hidayah kepada sesiapa sahaja dalam kalangan hamba-Nya yang mahu dan berusaha untuk mencari hidayah-Nya.

Ada orang yang tidak beriman dan ada juga yang gemar melakukan maksiat memberikan alasan bahawa dia tidak mendapat hidayah.

Lalu dia terus berada dalam keadaan sedemikian sehingga penghujung nyawa.

Adakah dia ingin menyalahkan Allah SWT atas tindakannya tidak beriman dengan alasan begitu?

Ada pula yang terlibat dengan perbuatan maksiat memberikan alasan bahawa Allah SWT telah mentakdirkan kehidupannya begitu, lantas dia redha dengan sesuatu yang telah ditakdirkan. 

Naud’zubillah!

Hakikatnya, golongan sedemikian telah berjaya diperdaya oleh bisikan syaitan, kesan daripada keengganannya untuk mencari hidayah

Sekiranya seseorang itu mahu menggunakan alasan takdir untuk memberi kebebasan kepadanya dalam melakukan apa sahaja, adakah dia sanggup untuk membiarkan dirinya terseksa dengan alasan takdir yang ditentukan begitu?

Allah SWT telah mengurniakan hidayah akal kepada manusia supaya manusia dapat menggunakan akal untuk berfikir dan mencari kebenaran. Terdapat banyak ayat al-Quran yang mengajak manusia untuk berfikir seperti:-

“Tidakkah kamu mahu berfikir?”

“Apakah kamu tidak berakal?”

Apabila seseorang itu sudah mencapai umur baligh, akalnya sudah sempurna dan celik, maka menjadi kewajipannya untuk mencari hidayah Allah SWT dan menuju ke jalan yang benar.

Justeru, kanak-kanak yang meninggal dunia dalam usia yang belum baligh, mereka tidak dianggap sebagai seorang yang kufur walalupun mereka itu anak paderi atau anak sami sekalipun. Hal ini kerana akal mereka belum sempurna, maka mereka belum lagi berkewajipan untuk mencari hidayah.

Namun, berbeza dengan seseorang yang sudah baligh dan dewasa, dia berkewajipan ‘mencari’ Allah SWT dan hidayah-Nya. Kisah sahabat Nabi SAW, Salman al-Farisi yang mencari hidayah boleh dijadikan contoh.

Walaupun dia asalnya beragama Majusi; penyembah api, namun dia tidak berputus asa untuk mencari hidayah Allah SWT. Setelah menemui agama Nasrani, beliau merasakan bahawa pencarian beliau belum lagi selesai.

Akhirnya, berkat kesabaran dan usaha yang beterusan mencari hidayah, beliau mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Nabi Muhammad SAW.

Prasarana Mencari Hidayah

Menurut Wahbah al-Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir, hidayah agama merupakan hidayah yang perlu dicari oleh setiap manusia. Mereka yang berusaha mencari dan memperoleh hidayah ini, sudah tentulah akan terbentang luas di hadapannya jalan kebenaran menuju redha Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, maka akan difahamkannya pada perkara agama.” 
Hadith Riwayat Ahmad
Ini bermakna orang yang faham agama, faham syariat Allah SWT serta melaksanakan syariat dlaam kehidupannya, maka nilaiannya di sisi Allah SWT sangat baik dan dia memperoleh keredhaan di sisi Allah SWT.

Mu’awiyah RA berkata Rasulullah SAW jarang sekali meninggalkan pesan ini dalam khutbah Jumaatnya:-
“Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan untuknya, diberikan kefahaman yang mendalam mengenai agama. 

Sesungguhnya harta itu manis lagi menawan. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar, diberkati padanya. 

Berwaspadalah kamu daripada perangai puji-memuji. 

Sesungguhnya pujian itu ialah sembelihan.” 
Hadith Riwayat Ahmad
Allah SWT mempermudah kepada kita untuk mencari jalan hidayah dengan dibekalkan akal dan pancaindera untuk digunaan dalam ekspedisi mencari hidayah Allah SWT.

Sekiranya kita tidak memanfaatkannya, maka kita akan tergolong dalam kalangan orang yang rugi.


Benarlah apa yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang bermaksud:-
“Dua nikmat yang ramai manusia tertipu dan terpedaya dengannya; nikmat sihat dan nikmat masa lapang.”
Manusia terpedaya dengan kedua-dua nikmat tersebut ialah mereka yang tidak menggunakan nikmat tersebut untuk mencari hidayah Allah SWT.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment