Merawat Ta’un Dengan Kekuatan Jiwa

Dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, daripada Amir bin Sa’ad bin Abi Waqqash, daripada ayahnya bahawa dia pernah mendengar si ayah bertanya kepada Usamah bin Zaid:-
“Apakah hadith yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah SAW berkenaan penyakit ta’un?
Usamah menjawab:-
“Rasulullah SAW pernah bersabda (yang bermaksud):- 

‘Ta’un adalah hukuman yang dikirimkan oleh Allah SWT kepada sebahagian kaum Bani Israel dan orang sebelum kamu. Jika kamu mendengar ada wabak ta’un di sebuah negeri, janganlah kamu memasuki negeri tersebut. 
Tetapi jika ta’un itu tersebar di negeri kamu, janganlah kamu keluar dari negeri kamu bagi mengelak penyakit itu.’”
Daripada Hafsah bin Sirin mengkhabarkan bahawa Anas bin Malik telah bertanya kepadaku:-
“Apakah yang menyebabkan Yahya bin Abi ‘Amrah meninggal dunia?”
Aku menjawab:-
“Kerana ta’un.”
Beliau kemudian berkata:-
“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Ta’un itu mati syahid bagi setiap Muslim.’" 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Saidatina Aisyah RA pernah bertanya Rasulullah SAW:-
“Adapun penyakit perut kami sudah tahu. Lalu apa pula yang dimaksudkan dengan penyakit ta’un?”
Baginda SAW menjawab yang bermaksud:-
“Ia kelenjar seperti kelenjar unta yang tumbuh di belakang ketiak dan lain-lain.”
Dalam kitab al-Tib al-Nabawi yang dikarang oleh Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah menyebut bahawa para doktor mengatakan jika timbul bisul pada daging tubuh yang lembut seperti ketiak atau belakang telinga, dan bisul itu amat busuk baunya, maka itulah yang disebut sebagai ta’un

Ta’un disebabkan oleh darah yang rosak atau busuk dan kemudiannya membentuk suatu unsur yang memberi kesan kepada organ tubuh serta mengubah strukturnya.

Kadang-kadang ia boleh mengeluarkan darah dan nanah yang menyebabkan kerosakan jantung sehingga mengakibatkan muntah, hilang keseimbangan badan bahkan boleh juga jatuh pengsan.

Meskipun simptom ini berlaku kepada semua jenis radang yang membahayakan jantung sehingga membawa maut, kes ta’un hanya menyerang daging berkelenjar disebabkan darah yang sudah busuk

Banyak organ tubuh yang tidak dapat menerima darah tersebut kecuali organ-organ yang lemah.

Jenis ta’un yang paling teruk ialah ta’un yang menyerang belakang telinga dan yang menyerang ketiak kerana bahagian-bahagian tersebut lebih dekat dengan organ-organ tubuh yang penting. Peluang untuk sembuh bagi yang menderita ta’un hitam sangat kecil.

Sedangkan ta’un merah dan ta’un kuning kurang berbahaya.


Penyakit ta’un sering berlaku di negeri-negeri yang mengalami peperangan.

Wabak disamakan dengan ta’un sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Khalil:-
“Wabak adalah ta’un”
Ada juga yang berpandangan bahawa ‘wabak’ digunakan untuk apa-apa jua jenis penyakit yang menular. Penjelasannya, wabak dan ta’un setiap satunya mempunyai pengertian umum dan khusus. Setiap jenis ta’un ialah wabak, namun bukan setiap wabak adalah ta’un. 

Begitu juga pelbagai jenis penyakit umum yang lain, sebab ta’un hanya salah satu jenis penyakit.

Pandangan Islam Mengenai Ta’un

Menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah lagi:-
“Ta’un menyebabkan luka, kudis dan keradangan berat yang berlaku pada tempat yang telah kami nyatakan. Kami katakan bahawa segala bentuk kudis bernanah itu hanyalah kesan dan pengaruh daripada ta’un, bukan ta’un itu sendiri. 

Tetapi dalam kalangan pakar perubatan, mereka tidak menemui selain tanda-tanda yang jelas, maka mereka menyamakannya dengan penyakit ta’un.”
Sememangnya ta’un adalah istilah yang mengandungi tiga pengertian:-

Pertama: Beberapa gejala dan kesan penyakit tersebut. Demikian yang sering diungkapkan oleh pakar perubatan.

Kedua: Kematian yang mendadak. Itulah yang dimaksudkan dalam sebuah hadith sahih:-
“Ta’un itu mati syahid bagi setiap Muslim”
Ketiga: Penyebab terjadinya penyakit. Dalam sebuah hadith sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim menyebut:-
“Ta’un adalah seksaan yang ditimpakan kepada Bani Israel.”
Hadith lain menyebut:-
“Sesungguhnya ta’un adalah akibat sentuhan jin.”
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:-
“Ta’un merupakan akibat doa seorang Nabi.”
Para doktor tidak boleh menyangkal alasan-alasan yang telah disebutkan untuk menjelaskan mengapa ta’un terjadi, meskipun mereka menganggap tidak ada bukti fizikal yang mendukungnya. 

Para utusan Allah SWT menggambarkan persoalan-persoalan ghaib, sedangkan kepakaran para doktor adalah berkaitan gejala-gejala fizikal ta’un.

Para doktor berpandangan bahawa ta’un tidak melibatkan jiwa kerana tidak ada hubungan erat antara jiwa dan penderitaan tubuh akibat penyakit yang boleh menyebabkan kematian. 

Tetapi mereka juga tidak dapat memberikan bukti-bukti material yang mendukung pendapat mereka.

Hanya orang yang tidak mengerti sahaja akan mengingkari pengaruh jiwa terhadap tubuh dan sifat manusia secara keseluruhan. Allah SWT memberikan kepada jiwa kekuatan-kekuatan tertentu melebihi kekuatan tubuh keturunan Nabi Adam AS pada saat wabak melanda atau udara tercemar. 

Pengaruh jiwa dapat dilihat ketika tubuh dikuasai oleh pelbagai unsur negatif yang menyebabkan gangguan pernafasan, terutama ketika berlaku gejolak darah dan gejolak seksual.

Kebaikan Mengatasi Kejahatan

Ketika tubuh diancam emosi dan penyakit seperti itu, penyakit hati yang jahat akan menguasai tubuh. 

Kecuali jika penderita menolak kekuatan jahat tersebut dengan kekuatan yang lebih besar seperti berzikir kepada Allah SWT, berdoa kepada-Nya, menyeru dan memohon kepada-Nya, bersedekah dan membaca al-Quran.

Dengan semikian, para malaikat akan turun mengalahkan pengaruh kuat kejahatan.

Ibn Qayyim RH berkata:-
“Kami dan orang lain telah mencuba cara ini beberapa kali (hanya Allah yang mengetahui berapa kali kami mencubanya) dan berhasil. 

Kami juga menyaksikan pengaruh luar biasa daripada ibadat itu dalam menguatkan jiwa dan menolak unsur-unsur jahat sebelum ia betul-betul terperap lama di dalam tubuh sehingga menjadi sukar untuk disingkirkan.”
Dalam memperkuatkan jiwa atau ketetapan hati seseorang dan membebaskannya daripada unsur-unsur buruk pada tahap awal, cara ini hampir tidak pernah gagal. Jika seseorang merasakan ada perkara yang tidak baik atau keburukan menghampirinya, hendaklah dia segera melakukan pelbagai perbuatan baik, sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. 

Dengan cara ini, perbuatan baik itu akan menghalang dan menolak kekuatan jiwa yang jahat. Inilah ubat yang baik dan mujarab.


Dalam hal ini, Allah SWT akan menunjukkan jalan orang tersebut sehingga membuahkan hasil. Tetapi sekiranya Allah SWT memutuskan bahawa ketentuan takdir-Nya harus terjadi, maka Dia akan menjauhkan hati hamba-Nya daripada pengetahuan dan niat untuk melaksanakan perbuatan baik itu. 

Akibatnya, hamba tersebut tidak mempunyai keinginan untuk melaksanakan perbuatan baik sehingga berlakulah apa yang ditetapkan Allah SWT. Demikian yang telah dijelaskan oleh Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam mengubati penyakit.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment