Orang Pertama Dicampakkan Ke Neraka

Kita masih berbincang tentang keadaan ahli neraka

Kali ini, kita akan menyemak siapa orang pertama yang dicampakkan ke dalam neraka pada hari pembalasan kelak. 

Mari kita sama-sama hayati hadith riwayat Imam Muslim berikut.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

“Sesungguhnya manusia pertama yang diadili pada hari kiamat ialah seorang yang mati syahid. Orang itu dihadirkan di hadapan Allah, lalu diingatkan nikmat-nikmat yang pernah diberikan kepadanya. Orang itu mengingati semua nikmat tersebut.

Allah bertanya:-

‘Apakah yang engkau lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini?’

Orang itu menjawab:-

‘Aku berjuang di jalan-Mu sehingga terbunuh.’

Allah berfirman:-

‘Engkau berdusta! Akan tetapi engkau berjuang agar disebut sebagai pemberani.’

Dan sememangnya orang ramai menyebutnya sebegitu. Orang itu diseret di atas wajahnya, kemudian dicampakkan ke dalam neraka.

Allah lalu memanggil seseorang yang belajar ilmu, mengajarkannya dan membaca al-Quran. Orang ini dihadirkan, lalu disebut kepadanya semua nikmat Allah sehingga ia mengingatinya.

Allah lalu bertanya:-

‘Aku mempelajari ilmu, lalu mengajarkannya dan membaca al-Quran.’

Allah berfirman:-

‘Engkau berdusta! Akan tetapi engkau balajar agar disebut alim, dan membaca al-Quran agar disebut qari (hafiz).’

Dan sememangnya orang ramai menyebutnya seperti itu. Orang itu lalu diseret di atas wajahnya, kemudian dicampakkan ke dalam neraka.

Allah lalu memanggil seorang yang telah diberikan harta yang melimpah ruah. Orang ini dihadirkan, lalu disebutkan kepadanya nikmat-nikmat Allah sehingga ia mengingatinya.

Allah bertanya:-

‘Apakah yang engkau lakukan untuk mensyukuri nikmat-nikmat ini?’

Dia menjawab:-

‘Aku membelanjakannya di tempat-tempat yang engkau kehendaki.’

Allah berfirman:-

‘Engkau berdusta! Akan tetapi engkau melakukannya agar dikenali sebagai dermawan.’

Dan sememangnya orang telah menyebutnya seperti itu. Orang itu lalu diseret di atas wajahnya dan kemudian dicampakkan ke dalam neraka.’”

Riyak dan Sum’ah

Hadith ini menyebut bahwa antara orang pertama masuk neraka ialah mereka yang suka menipu agama Allah SWT.

Mereka memang beribadah, namun ibadah itu tidak diniatkan kerana Allah SWT

Sebaiknya mereka beribadah agar menjadi buah mulut dan sebutan ramai.

Sikap seperti ini disebut riyak dan sum’ah, melakukan ibadah untuk manusia, bukan kerana Allah SWT.

Riyak berkaitan dengan penglihatan manusia, sementara sum’ah berkaitan dengan pendengaran

Sesiapa beramal agar dilihat manusia, maka itu riyak. Dan siapa beramal agar berita amalan itu didengari oleh manusia, maka itu sum’ah.

Kedua-duanya mengundang murka Allah SWT.

Dalam hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Allah SWT berfirman:-

‘Sesiapa yang melakukan suatu amalan sambil mempersekutukan diri-Ku dengan yang lain, maka Aku berlepas daripadanya. 

Amalan itu untuk pihak yang disekutukannya itu.’”
Qatadah, seorang ulama' tabi’in di Basrah berkata:-
“Apabila seorang hamba melakukan ibadah dengan riyak, Allah SWT berfirman kepada para malaikat:-

‘Tengoklah hamba-Ku ini, dia sedang mempersendakan diri-Ku.’”
Riyak dan sum'ah ialah syirik kecil yang merosakkan ibadah. Sesiapa yang melakukan ibadah kerana menginginkan pujian manusia, hakikatnya dia telah menghapuskan pahala ibadah tersebut. 

Dia tidak akan mendapatkan apa-apa ganjaran daripada Allah SWT kelak.

Penyakit Orang Baik

Penyakit ini hanya menghinggapi ‘orang baik’ sahaja. Orang jahat dan tidak mengenali Allah SWT tidak memiliki sifat-sifat ini kerana mereka tidak melakukan ibadah sama sekali. Mereka akan menjadi bara api neraka tanpa dihisab.

Adapun orang yang baik ini, maka ia mesti terus menjaga kemurnian ibadahnya. Setiapkali melakukan ibadah, dia wajib meluruskan niatnya agar ibadahnya diterima oleh Allah SWT, terutamanya apabila manusia mula menyebut-nyebut kebaikannya dan memuji dirinya.

Syeikh Ali al-Khawas berkata:-
“Jika engkau sedang berada di jalan istiqamah, lalu seseorang memujimu, maka itu satu peringatan atas kekurangan yang terdapat di dalam diri. 

Maka periksalah dirimu. Carilah sebabnya, kenapa manusia memujimu?

Boleh jadi Allah melihat hatimu menyukai pujian, maka Allah memberikan pujian itu untukmu sebagai satu-satunya balasan atas ibadah tersebut. 

Seperti seorang ayah yang menggembirakan anaknya dengan gelang dan kalung tiruan.”
Untuk menghindari sifat ini, kita wajib mengetahui tanda-tandanya. Pastikan tanda-tanda tersebut tidak terdapat dalam diri kita.

Saidina Ali bin Abi Talib RA pernah berkata:-
“Tanda riyak tiga perkara:-

1. Malas beramal jika bersendirian2. Rajin beramal jika dalam ramai3. Menambah amalan jika dipuji dan menguranginya jika dicela”
Tanda pertama dan kedua sangat jelas

Orang yang memiliki sifat riyak sangat bermotivasi untuk beramal hanya apabila ramai orang yang melihatnya.

Namun apabila tidak ada sesiapa yang melihatnya, dia akan malas melakukan amalan tersebut.

Adapun tanda ketiga yang disebut oleh Saidina Ali RA, ia sangat halus dan jarang disedari

Yakni, sesiapa yang tidak suka pujian, maka ia tidak takut celaan. 

Sesiapa yang bebas daripada sifat riyak, ia akan terus istiqamah beramal walaupun semua makhluk mencela dan memulaukannya. 

Celaan tidak menghentikan amalannya sebagaimana pujian tidak menggerakkannya untuk beramal.

Para ulama' berkata:-
“Tidak ada yang mampu menanggung celaan mahkluk selain orang yang tidak mengharapkan penghormatan daripada mereka.”
Riyak Kerana Amalan Orang Lain

Riyak dengan amalan sendiri memang sangat buruk. Namun lebih buruk daripada itu, orang yang riyak dengan amalan orang lain

Berkata al-Fudail bin ‘Iyad:-
“Orang terdahulu riyak dengan amalannya. 
Namun manusia hari ini riyak dengan apa yang tidak pernah dilakukannya.”
Orang seperti ini ramai kita temui dalam masyarakat kita kini. Cirinya antara lain suka menyebut kebesaran nenek moyangnya, keturunannya atau orang yang hebat dalam keluarganya padahal diri sendiri tidak memiliki kehebatan tersebut.

Dia ingin orang lain menghormatinya atas perkara yang tidak dimilikinya.

Imam al-Sha’rani berkata:-
“Hendaklah orang yang memuji bapa tua datuknya selalu memeriksa hati. 
Seringkali pujian itu hanya perwujudan hawa nafsu belaka.”
Orang seperti ini hakikatnya sedang mempersendakan dirinya sendiri. Kalaupun ada orang yang memujinya, dia bukan kawan sejati. Dia hanya memuji kerana inginkan sesuatu di sebaliknya.

Apabila dia tidak mendapat sesuatu yang dihajati itu, pujian tersebut akan segera berubah menjadi celaan.

Imam as-Syafi'e berkata:-
“Sesiapa yang memujimu kerana sesuatu yang tidak engkau miliki, suatu hari nanti dia juga akan mencelamu kerana sesuatu yang tidak engkau miliki.”
Hamba yang Dicintai Allah SWT

Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Aslam:-

“Pada suatu hari, Umar bin al-Khattab melihat Mu'az bin Jabal sedang menangis di sisi kubur Nabi SAW.

Beliau bertanya:-

‘Apakah yang menyebabkan kamu menangis?’

Mu'az menjawab:-

‘Aku teringat sesuatu yang aku dengar daripada penghuni kubur ini. 

Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):-
“Sesungguhnya sedikit riyak ialah syirik. 
Sesiapa yang memusuhi wali Allah, maka dia telah menyatakan perang kepada-Nya. 

Sesungguhnya Allah mencintai hamba-hamba yang berbakti, bertaqwa dan tersembunyi. 
Jika mereka tidak hadir, tidak ada yang mencari. 

Jika mereka hadir, tidak ada yang mengenalinya. 
Hati mereka ialah tentera-tentera petunjuk.”
Kekasih Allah SWT tidak menyukai kemahsyuran.

Mereka selalu khuatir andai amal ibadahnya ditolak, meskipun telah melakukannya dengan sempurna. Kesibukannya dengan Allah SWT tidak meninggalkan baki masa baginya untuk mendengar pujian atau celaan orang lain.

Berkata Syeikh Abdul Qadir Dastuti:-
“Seorang hamba tidak patut berbangga dengan ilmu, harta dan jabatan yang dimilikinya sebelum ia selamat melintasi titian sirat. 

Apa gunanya pujian jika ia tetap terjatuh ke dalam neraka pada hari kiamat nanti?”
Semoga Allah SWT memberikan keikhlasan dalam hati-hati kita, mengampuni dosa-dosa kita dan menerima amal ibadah kita.

Aamiiin Ya Rabbal ‘alamiiin.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment