Warna Dan Rona Cinta

Pernahkah tiba-tiba sahaja kita tidak mengenali pasangan kita?

Mengapa dia menjadi “orang lain”?

Seakan-akan kita belum pernah mengenalinya walaupun telah berumahtangga sekian lama.

Jika kita pernah mengalami perasaan itu, jangan terkejut.

Ia perkara biasa, bukan sesuatu yang luarbiasa. 

Itu semua gara-gara warna sebenar (true colours) pasangan kita sudah mula terserlah.

Satu demi satu wataknya yang tersirat mula tersurat.

Mengikut kajian pakar perkahwinan, hanya setelah perkahwinan berusia lima tahun, barulah masing-masing (suami dan isteri) mengeluarkan semua sikap dan perangai mereka yang tersembunyi.

Pernah kita baca di dada akhbar bagaimana keluhan seorang isteri yang didera teruk oleh suaminya malah sehingga ada yang dicederakan, disimbah asid dan sebagainya.

Katanya:-

“Setelah tiga bulan berkahwin barulah saya sedar bahawa suami saya sebenarnya seorang yang panas baran.”

Ironinya, mungkin pasangan itu telah bercinta (berpacaran) tiga tahun sebelum itu mereka berkahwin. Bayangkan, tiga tahun bercinta tanpa mengenal diri kekasih yang sebenar.

Benarlah cinta itu buta.

Cinta kerana nafsu memang buta. Kita dikelabui oleh daya tarikan sehingga tidak mempunyai mata hati dan akal untuk mengenal orang yang kita cintai dengan tepat dan betul.

Selama tiga tahun bercinta, mungkin penilaian cuma berasaskan nafsu dan emosi, bukannya dengan fikiran dan hati. Hasilnya, setelah tabir perkahwinan mula diangkat, tabir percintaan pun berlabuh. 

Realiti tidak seindah angan-angan. Kenyataan berbeza sungguh daripada impian.

Mabuk Cinta

Masa bercinta, warna sebenar (true colours) pasangan kita tidak akan ketara. Dia boleh bermuka-muka dan rela mengikut selera, minat dan jalan hidup kita. Dan kita juga rela mengikut segala kehendaknya. 

Kita dan dia mabuk cinta!

Namun, semakin lama berumahtangga, semakin ketara kelemahan dan kekurangan. Apakah dia seumpama bulan yang dipuja di kejauhan oleh sang sasterawan tetapi botak dan berlopak di mata seorang angkasawan?

Pada tahap ini ramai yang mula menyesal

Mengapa dia yang kupilih?

Tanpa sedar pada masa yang sama, dia juga mungkin berbisik, mengapa kita yang dipilihnya?


Inilah bibit-bibit yang boleh meruntuhkan sebuah rumahtangga. Yang nekad, rela berpatah arang, lalu menempuh jalan penceraian. Yang penakut, menunggu dengan resah dan memendam perasaan, tanpa ada lagi keceriaan.

Manusia ialah makhluk yang sentiasa berubah. Ia mempunyai hati yang sangat konsisten untuk berbolak-balik. Apabila hati berubah, fikiran dan tingkah laku juga akan berubah. Untuk kita mengenal manusia (termasuk pasangan), kita terpaksa mengenali perubahan itu. 

Ah, ini suatu yang sangat sukar!

Masakan tidak, untuk mengenal hati sendiri pun acapkali kita tidak mampu...inikan pula hati orang lain. Sukar diduga dan ditebak. Akibatnya, ramai orang yang berkahwin dengan orang yang ‘tidak dikenalinya’.

Bukan rupa zahir, tetapi wajah batinnya. Disangka permata, rupanya kaca. Cuaca tuamhtangga mula berubah. Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari.

Situasi inilah yang banyak berlaku dalam rumahtangga kini sehingga menyebabkan (mengikut kajian) setiap 15 minit berlaku satu penceraian!

Apakah cara mengenal manusia yang serba kompleks ini?

Bagaimana menentukan dengan pasti bahawa pasangan yang bakal kita pilih itu baik orangnya!

Ya, ada tiga cara.

Jadi Orang Baik

Ya, maksudnya kita sendiri cuba sedaya upaya menjadi orang yang baik, insya-Allah kita akan dikurniakan orang yang baik sebagai pasangan hidup kita. 

Ini janji Allah SWT

Menjadi orang yang baik perlu diutamakan berbanding ‘mencari’ orang yang baik. Ia lebih mudah kerana menjadi orang baik bermula dengan diri sendiri.

Perlu diingat, janji mendapat pasangan yang baik bagi orang baik, bukan hanya berlaku pada awal perkahwinan. Mungkin pada awalnya pasangan orang yang baik itu belum begitu baik, namun berkat didikan, pergaulan dan doanya, maka pasangan itu berubah menjadi baik selepas mereka berkahwin.

Jadi jangan putus asa sekiranya pada awal perkahwinan, kita lihat pasangan kita belum benar-benar baik seperti yang kita harapkan. Sebaliknya, teruskan usaha untuk menjadi orang yang baik sambil mendidik dan mendoakan pasangan kita itu. 

Ingat, setelah berkahwin dengan kita, pasangan kita itu adalah cerminan akhlak dan keperibadian kita. Siapa mereka sebelum berkahwin dengan kita kurang penting berbanding siapa mereka setelah berkahwin dengan kita.


Justeru, tidak kira siapa dia sebelum berkahwin dengan kita, tetapi sebagai suami ataupun isteri, kita perlu komited untuk mengubah diri kita terlebih dahulu seiring usaha mengubah diri pasangan. 

Jika kita tidak dapat apa yang kita suka, kita perlu suka dengan apa yang kita dapat. 

Caranya adalah dengan mengubah diri kita terlebih dahulu, dan insya-Allah perubahan itu akan mengubah pasangan kita ke arah yang sama.

Ikut Pilihan Orang Baik

Ada orang yang menyerahkan hak membuat pilihan kepada orang yang sangat baik dalam hidupnya. Mereka meminta ibu bapa, ustaz-ustaz, ulama'-ulama' atau sesiapa sahaja yang dianggap baik untuk memilih jodoh buat mereka.

Mereka pasrah dan menyerah sahaja. Tetapi dengan satu keyakinan, orang yang baik pasti akan memilih orang yang baik sebagai pasangannya.

Ibu bapa, para ulama' dan orang yang baik-baik sekali-kali tidak akan menganiayai kita dengan memilih orang yang ‘jahat’ sebagai pasangan hidup kita.

Kaedah ini telah dipraktikkan oleh anak-anak muda zaman dahulu yakni ketika nilai-nilai agama belum dicabar oleh nilai Barat yang kononnya menyanjung hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.

Pada pilihan orang yang baik, ada keberkatannya.

Walaupun tidak ada cinta sebelum berkahwin, tetapi cinta selepas berkahwin jauh lebih suci dan indah.

Cuba kita renungkan, betapa seringkali rumahtangga ibu bapa yang berkahwin mengikut pilihan orang tuanya lebih kekal dan harmoni berbanding rumahtangga anak-anaknya yang kononnya berkahwin atas dasar cinta.

Inilah kaedah yang dipraktikkan oleh Zainab yang berkahwin dengan lelaki yang menjadi pilihan bapanya (Rasulullah SAW). Zainab akur atas pilihan itu kerana yakin akan sifat kasih sayang, amanah dan kebijaksanaan ayahnya.

Beliau yakin, hanya orang baik (Rasulullah SAW) mampu mengenali orang baik dan memilih orang baik sebagai pasangan hidup anaknya.


Jadi, sekiranya terlalu sukar untuk mengenali seseorang secara tepat, maka serahkan sahaja tugas itu kepada orang yang lebih arif untuk mengenalnya. Jangan cuba membuat penilaian sendiri.

Bermuzakarahlah dengan orang yang baik-baik dan dirikanlah solat Istikharah; pinta petunjuk daripada Allah SWT setelah pilihan itu diserahkan ke tangan kita.

Tidak akan kecewa orang yang bermuzakarah dan beristikharah!

Cintai Allah SWT Yang Maha Baik

Kita tekad sahaja untuk mencintai Allah SWT.

Jangan pandang cinta manusia lagi. Buru cinta yang utama (cinta Allah SWT), insya-Allah cinta kedua, ketiga dan seetrusnya akan memburu kita.

Apabila kita mencintai Allah SWT, Allah SWT akan mencintai kita dan apabila Allah SWT telah mencintai kita, semua orang yang mencintai Allah SWT akan turut mencintai kita.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesungguhnya Allah SWT jika mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil malaikat Jibril dan berkata:-

‘Wahai Jibril, Aku mencintai orang ini, maka cintailah dia!’

Jibril pun mencintainya, lalu Jibril mengumumkannya kepada seluruh penduduk langit:-

‘Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai dia.’

Seluruh penduduk langit pun mencintainya. 
Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari
Untuk mencintai Allah SWT, kita wajib mencintai Rasulullah SAW.

Antara langkah-langkah mencintai Rasulullah SAW itu adalah dengan banyak berselawat kepadanya, menegakkan sunnahnya, menziarahi makamnya dan lain-lain lagi. Ini adalah ubat yang mujarab bagi isteri yang dikecewakan suami atau suami yang dipinggirkan oleh isteri.

Jangan menagih cinta makhluk sehingga kita derita dan sakit hati dibuatnya.

Merajuk pada yang kasih, merayu pada yang sudi.

Siapa lagi yang terus kasih dan sudi mencintai kita ketika semuanya telah berpaling kecuali Allah SWT?

Ya, burulah cinta itu.

Cinta Allah SWT mampu mengekalkan, malah boleh meningkatkan lagi rasa cinta walaupun perubahan fizikal berlaku.

Tapak cinta itu di hati, bukan lagi di’body’.

Biarlah cinta pasangan kita berbubah (walaupun kita terus berdoa agar tidak begitu), tetapi kita tidak akan berubah daripada mencintai Allah SWT.

Yakinlah jika pasangan kita juga mencintai Allah SWT, pasti dia dan kita akan disatukan-Nya semula. Jika tidak, relakanlah perpisahan itu. Jangan bersedih, kerana sesuatu yang tidak memanfaatkan pasti tidak boleh memudaratkan!

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment