Keharusan Tawassul Dalam Berdoa

Doa ialah ibadah yang dituntut. Al-Quran menjelaskan perintah Allah SWT agar kita berdoa kepada Allah SWT

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan kabulkan bagi kamu.” 
Surah al-Mu’min 40:60
Ketika berdoa meminta sesuatu kepada Allah SWT, antara kaedah yang dianjurkan ialah kaedah tawassul

Tawassul bermaksud penggunaan sesuatu perkara dalam doa agar ia menjadi sebab bagi penerimaan doa dengan lebih baik.

Dalam bahasa kehidupan yang mudah, sudah tentu kita ada permohonan tertentu kepada pihak berkuasa, permohonan akan diproses sebagaimana lazimnya. Namun jika ada satu perakuan yang kuat, maka sudah tentu prosesnya akan berjalan dengan lebih baik

Barangkali inilah analogi tawassul yang mudah difahami.

Tawassul yang Diharuskan

Dalam mengamalkan kaedah tawassul, ada tiga jenis tawassul yang diharuskan, tawassul yang ditegah dan tawassul yang menjadi medan pertikaian dalam kalangan ulama'.

Tawassul yang diharuskan ialah:-

1. Tawassul dengan Nama Allah SWT atau dengan Sifat Allah SWT

Bagi Allah SWT beberapa nama yang menjelaskan sifat-sifat Allah SWT. Sifat-sifat kekuasaan, keesaan, pengetahuan, kehendak dan sebagainya tergambar jelas dalam nama-nama Allah SWT tersebut. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Allah mempunyai Asma’ al-Husna (nama-nama yang baik lagi mulia), maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu...” 
Surah al-A'raf 7:180
Maka, harus dan wajar menyebut nama-nama Allah SWT ketika berdoa.

Contohnya ketka meminta keampunan, sebaiknya disebut nama Allah SWT seperti al-Ghaffar dan al-Tawwab. Ini kerana, kedua-dua nama ini bermaksud Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat


Lebih munasabah jika disebut nama yang sesuai dengan doa permohonan.

Manakala kalau doa meminta kemurahan rezeki, seeloknya disebut nama Allah SWT yang bersifat ar-Razzaq yang membawa maksud Maha Pemberi Rezeki. Mungkin elok juga nama al-Wahhab yang bermaksud Maha Pemberi

Demikianlah seterusnya.

Tawassul sebegini mendidik diri kita agar mengenali Allah SWT dengan segala sifat-sifat-Nya. Kita dapat menghayati nama-nama Allah SWT dan merasai kehebatan dan keagungan Allah SWT. Ia menuntut kita untuk mempelajari dan menghafal nama-nama Allah SWT.

Abu Hurairah RA meriwayatkan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Sesungguhnya bagi Allah 99 nama, seratus kurang satu. 
Sesiapa yang menghafalnya maka dia dia akan masuk syurga.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Untuk menghafal nama-nama Allah SWT ini bukanlah mudah. Ia memerlukan kesungguhan, apatah lagi untuk kekal istiqamah mengingati nama-nama Allah SWT. Maka ganjarannya sangat besar iaitu syurga Allah SWT.

Diharuskan untuk kita bertawassul dengan sifat Allah SWT. Contohnya kita berdoa:-

“Ya Allah! 
Dengan ilmu-Mu atas segala makhluk, maka hidupkanlah daku jika hidup itu baik bagiku.”

Dalam ungkapan doa ini, kita bertawassul dengan sifat ilmu dan sifat qudrah yang sabit bagi Allah SWT. Begitu jugalah dengan sifat-sifat-Nya yang lain.

Ada juga keharusan untuk bertawassul secara umum dengan nama-nama bagi Allah SWT. Ini bermakna kita tidak menyebut nama-nama tersebut secara khusus akan tetapi disebut secara umum sahaja.

Contohnya doa ini:-

“Ya Allah! 
Aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama bagi-Mu ya Allah, yang Engkau namakan dengannya atau Engkau wahyukan dalam kitab-Mu.”

Dalam doa ini, tidak disebut secara khusus. Namun kita yakin adanya nama-nama bagi Allah SWT, maka ia disebut secara umum. 

Ini juga salah satu kaedah tawassul.

2. Tawassul dengan Keimanan kepada Allah SWT

Dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan agar kita berdoa dengan kaedah tawassul dengan iman

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami mendengar penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: 

‘Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu.’, lalu kami pun beriman. 

Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami, hapuskanlah kejahatan kami dan matikanlah kami bersama-sama golongan yang berbakti (para Nabi dan orang soleh).” 
Surah Ali Imran 3:193
Dalam ayat ini, doa yang diminta ialah keampunan dosa dan berlindung daripada kejahatan serta mengharapkan kematian dalam keadaan yang baik

Namun sebelum doa dipohon, kita bertawassul dengan keimanan kita kepada Allah SWT. Kita memberitahu ketaatan kita kepada Allah SWT.

Allah SWT tahu tentang keimanan kita, akan tetapi Allah SWT suka mendengar suara rintihan kita merayu sebagai hamba kepada-Nya.

Dalam nas al-Quran yang lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Wahai Tuhan kami! 
Kami beriman dengan apa yang Engkau wahyukan dan kami ikut akan Rasul-Mu, maka catatkanlah kami bersama-sama dalam golongan yang menjadi saksi (yang mengakui keesaan-Mu dan kebenaran Rasul-Mu).” 
Surah Ali Imran 3: 53
3. Tawassul dengan Amalan Baik dan Soleh yang Dilakukan

Amalan baik adalah seperti solat, puasa, bacaan al-Quran, sedekah, memberi bantuan kewangan, membantu ibu bapa dan sebagainya. Amalan soleh ini menyebabkan kita dikasihi dan diredhai Allah SWT. Maka wajar untuk kita menyebut amalan soleh kita ketika berdoa.

Contohnya kita berdoa:-

“Ya Allah! 
Aku telah membaca kitab al-Quran yang telah engkau wahyukan ya Allah. 
Jika bacaan al-Quran tersebut ialah amalan soleh, maka bantulah daku ya Allah.”

Dalam sebuah riwayat hadith, diceritakan tentang tiga orang lelaki yang berteduh di dalam sebuah gua.

Namun tiba-tiba pintu gua tersebut tertutup dengan sebuah bongkah batu yang besar. Mereka tidak dapat keluar, akhirnya mereka berdoa kepada Allah SWT serta bertawassul dengan amalan soleh mereka sendiri.

Seorang daripada mereka bertawassul dengan amalan baiknya terhadap ibu bapanya. Dia menghormati, menjaga dan berkhidmat kepada ibu bapanya. 

Seorang lagi lelaki bertawassul dengan kehormatan dirinya yang berusaha mengelakkan daripada zina walaupun dia sudah hampir kepada maksiat tersebut. 

Seorang lelaki  lagi bertawassul dengan sikap baiknya iaitu menyempurnakan janji kepada pekerjanya. Setiap kali berdoa, maka batu tersebut bergerak. 

Akhirnya mereka dapat keluar.


Sehubungan itu, wajar memperbanyakkan amalan soleh dan seterusnya berdoa dengan kaedah tawassul. Namun mesti diingat, ia hendaklah dengan amalan diri sendiri iaitu amalan orang yang berdoa. Kalau amalan orang lain, barangkali susah untuk mustajab. 

Kenapa mahu ‘dicuri’ amalan soleh orang lain?

Ini antara tawassul yang diharuskan dalam agama mengikut kesepakatan para ulama'. Saya tidak mendapati wujud sebarang khilaf dalam kalangan ulama' bagi masalah ini, maka menjadi harapan agar kita mampu istiqamah dalam amalan yang disepakati para ulama'.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment