Menyingkap Kehidupan Alam Barzakh

Alam Barzakh adalah tempat sementara bagi roh yang telah meninggalkan alam dunia sebelum memasuki alam akhirat. Setelah memasuki liang lahad, kubur orang yang beriman akan dilapangkan dan mereka juga dapat melihat nikmat yang bakal diperoleh di syurga.


Sebaliknya, jika mereka kufur dan ingkar, maka pada ketika itu kubur mereka akan disempitkan. Malah, bahang kepanasan api neraka akan ditayangkan kepada sepanjang mereka di alam itu sehingga kiamat.

Apa itu Alam Barzakh?

Alam barzakh ialah alam selepas kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan pada hari kiamat. Sesiapa yang mati dalam Islam dan ibadah, dia akan diberi nikmat. Sesiapa yang mati dalam kekufuran dan maksiat, dia akan diseksa.

Firman Allah SWT yang maksudnya:-
“Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): 

Masukkanlah Firaun dan para pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!”
Surah Ghafir 40:46
Seksaan itu ada pelbagai jenis mengikut dosa pelakunya. Terdapat sebuah hadith dalam Sahih al-Bukhari yang menjelaskan azab Barzakh yang dikenakan ke atas sebahagian pelaku dosa-dosa besar

(Rujukan: Sahih al-Bukhari, no. 6525)

Cara Mayat Disoal

Berdasarkan kitab yang ditulis oleh Syeikh Muhammad bin ‘Utsaimin RH, bertajuk Majmu’ Fatawa; beliau menyatakan bahawa tiada keraguan yang mana soalan di dalam kubur merupakan satu kenyataan iaitu perkara yang pasti akan berlaku

Pertama, orang Mukmin wajib menerima dan yakin dengan perkara-perkara ghaib tanpa bertanya bagaimana dan mengapa. Seseorang yang bertanya seperti itu, bererti dia masih ragu-ragu.

Orang yang beriman dan menerima segala yang telah diberitakan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya pasti akan berserah diri dan mengatakan Allah SWT Maha Mengetahui perkara itu.

Kedua, perhubungan roh dengan jasad sesudah mati tidak sama dengan perhubungannya semasa masih hidup. Roh dengan jasad memiliki rahsia yang amat luar biasa dan tidak seorang pun mengetahuinya.

Perhubungan roh dengan jasad selepas kematian tidak mungkin disamakan dengan perhubungannya semasa masih hidup.


Buktinya, seseorang yang tidur dan bermimpi dia pergi, kembali, bermusafir, bercakap dengan orang lain, berjumpa dengan orang yang sudah mati dan orang yang masih hidup, melihat dia memiliki sebuah kebun yang indah atau rumah gelap yang menakutkan, melihat dirinya sedang menaiki kenderaan mewah dan kadangkala sedang menaiki kenderaan yang buruk.

Kesemua ini mungkin sahaja terjadi walaupun dia berada di atas tilamnya tanpa sebarang perubahan. Malah, selimut yang digunakan juga langsung tidak berubah.

Kita yang bermimpi merasa seolah-olah yakin bahawa ia memang benar-benar terjadi. Jadi, perhubungan roh dengan jasad selepas kematian tentu berbeza dengan perhubungannya semasa hidup dan ketika dalam mimpi. Ia memiliki keadaan yang berlainan di luar pengetahuan kita.

Boleh jadi seseorang duduk di dalam kubur dan disoal meskipun dalam kubur yang sempit dan terhad.

Demikianlah keterangan yang disampaikan oleh Nabi SAW dalam beberapa hadith sahih. Baginda  SAW telah pun memberitahu kita keadaan ini dan kita wajib percaya dan beriman.

Firman Allah SWT yang maksudnya:
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad), mereka tidak dikatakan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka. 

Kemudian mereka pula tidak berasa di hati mereka sesuatu keberatan daripada apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”
Surah: al-Nisa 4:65
(Rujukan: Majmu’ Fatawa, Syeikh Ibn ‘Utsaimin, jilid 2, halaman 34)

Kehidupan dalam Kubur

Wajib ke atas setiap umat Islam meyakini apa yang diberitakan oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya atau melalui lidah Rasul-Nya dalam setiap perkara yang berkaitan dengan akhirat, hisab, syurga, neraka, kematian, kubur, seksaan, nikmat dan perkara -perkara ghaib yang telah diterangkan oleh al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Oleh itu, kita wajib beriman, pasrah diri dan meyakini semua itu kerana kita tahu bahawa Tuhan kita adalah Maha Benar terhadap apa yang difirmankan dan apa yang telah diberitakan. 

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?” 
Surah al-Nisa 4:122
Kita juga tahu bahawa Rasulullah SAW adalah orang yang paling jujur dan Baginda SAW tidak mengeluarkan kata-kata menurut hawa nafsunya. Ia adalah wahyu yang telah disampaikan kepadanya.

Jadi, apa sahaja yang telah sabit dalam pelbagai hadith sahih, kita wajib meyakininya.


Meskipun tidak mengetahui hakikatnya yang sebenar.

Kita juga wajib meyakini perkara-perkara yang berkaitan dengan akhirat, syurga dan neraka, kenikmatan dan seksaan yang dirasakan oleh penghuni syurga dan neraka. Begitu juga meyakini bahawa roh dikembalikan kepada jasad ketika diazab atau diberikan nikmat di dalam kubur.

Semua ini adalah benar seperti yang telah dijelaskan oleh pelbagai nas. Setiap orang mestilah menerima ketetapan ini dan meyakini apa yang telah diberitahu oleh al-Quran, hadith sahih atau ijmak ulama'.

Kemudian jika seorang Mukmin di anugerahkan Allah SWT untuk mengenali hikmah dan rahsia itu, maka ia merupakan satu kebaikan, cahaya dan ilmu yang luar biasa. Oleh itu, dia hendaklah bersyukur atas ilmu kurniaan Allah SWT itu sehingga pengetahuannya bertambah dan jiwanya semakin tenteram.

Soalan kepada penghuni kubur adalah benar. Ketika itu rohnya dikembalikan semula kepada jasadnya. Hal ini telah diterangkan dalam beberapa hadith Rasulullah SAW.

Kehidupan di dalam kubur jelas berbeza dengan kehidupan di dunia ini. Manusia akan menjalani satu kehidupan khusus, iaitu alam barzakh yang amat berbeza dengan kehidupan dunia di mana kita memerlukan makanan, minuman dan sebagainya.

Ia adalah satu kehidupan khusus. Si mati akan memahami soalan dan memberikan jawapan terhadap soalan yang diajukan kepadanya. Dua malaikat akan bertanya kepadanya.

Jadi, kita dapat mengetahui bahawa ada kalanya kubur menjadi taman syurga dan ada kalanya menjadi lubang neraka. Seksa dan nikmat dirasakan oleh roh dan jasad di dalam kubur. 

Begitu juga syurga atau neraka.

Berhubung dengan orang yang mati kerana terbakar, lemas atau dibaham binatang buas, rohnya tetap akan merasakan seksa atau nikmat. Ini kerana, roh tetap akan mendatangi jasadnya sama ada di darat, di laut mahupun di dalam perut binatang buas.

Tetapi kebanyakan nikmat atau seksa dikenakan ke atas roh. 

Jadi, roh orang beriman akan masuk ke dalam syurga.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesungguhnya roh orang beriman terbang di atas pokok syurga dan memakan buahnya, manakala roh orang kafir masuk ke dalam neraka.”

Dengan itu, wajib ke atas setiap umat Islam mempercayai apa yang telah diberitakan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Meskipun ada sebahagian maksudnya tidak difahami oleh seseorang. 

(Rujukan: Kitab Majmu’ Fatawa wa Maqalat Mutanawwi’ah, halaman 338)

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment