Laksana Fatamorgana

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nur ayat ke-39:-


Maksud:-
“Dan orang kafir pula, amal-amal mereka laksana fatamorgana di tanah yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah daripada amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan dia mendapati ketetapan Allah di sisinya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya), dan (ingatklah) Allah amat segera hitungan hisab-Nya.”
Tepat sekali perumpamaan al-Quran tentang amalan dan pekerjaan orang kafir terhadap kehidupan, apabila ia diumpamakan sebagai bayangan air ataupun fatamorgana di tengah-tengah panas terik.

Dalam kamus Arab seperti al-Mufradat oleh al-Asfahani, perkataan قِيعَةٍ dalam ayat ini merujuk kepada kata jamak daripada perkataan قيعان yang bermaksud tanah yang amat luas yang akan memantulkan bayang-bayang seperti fatamorgana


Biasanya keadaan ini berlaku pada waktu tengahari yang amat panas terik.

Maknanya apabila seseorang yang berasa dahaga berjalan di tempat seperti padang pasir yang luas lalu dia melihat fenomena pembalikan ini, maka dia akan berusaha menuju ke situ untuk minum bagi menghilangkan dahaga.

Perkara yang sama menimpa orang kafir dan munafik apabila dia melakukan kebaikan dengan harapan dibalas di akhirat oleh Allah SWT

Perkara yang sama dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat ke-23 yang bermaksud:-
“Lalu Kami bawakan kepada mereka segala amalan yang dikerjakan, Kami jadikan ia seperti debu-debu yang berterbangan.”
Tertipu dengan Amalan Sendiri

Ayat ini merupakan suatu perumpamaan yang Allah SWT datangkan untuk menggambarkan kedudukan amalan orang kafir.

Golongan yang kufur kepada Allah SWT menyangka amalan kebaikan yang mereka usahakan di dunia ini akan mendapat balasan yang setimpal di sisi Allah SWT. Padahal hakikatnya, segala kebaikan yang dilakukan itu, tidak memiliki nilai sedikit pun di sisi Allah SWT.

Menurut Ibn al-Jawzi dalam tafsir Zad al-Masir, orang kafir menjangkakan Allah SWT akan menerima kebaikan yang dilakukan seperti seorang pengembara yang menyangka dia sudah menemui kawasan takungan air setelah kehabisan bekalan di padang pasir.

Sebagaimana si kafir ini mengharapkan keredhaan Allah SWT, maka begitulah jua si pengembara yang tertipu melihat fatamorgana, iaitu bayangan matahari yang kelihatan seperti kawasan yang mengandungi air.


Antara sebab amalan-amalan ‘baik’ itu ditolak oleh Allah SWT adalah disebabkan oleh kekufuran dan sikap riyak iaitu menunjuk-nunjuk yang menjadi nadi kepada perbuatan baik yang dilakukan.

Golongan kafir termasuk juga munafikin, secara prinsipnya menolak keimanan kepada Allah SWT. Mereka bergantung sepenuhnya kepada akal untuk mengatakan kepada orang yang beriman bahawa orang yang mengambil akhirat adalah rugi kerana tidak mengecap sepenuhnya nikmat di muka bumi.

Kepercayaan mereka dibangunkan atas rasa syirik, iaitu berbilang-bilang sembahan. Walaupun orang munafik menampakkan zahir sebagai Muslim, tetapi hakikatnya mereka adalah kafir. 

Allah SWT berfirman dalam surah at Taubah ayat 54, maksudnya:-
“Dan tidak ada yang menghalangi mereka, untuk diterima derma-derma mereka melainkan kerana mereka kufur kepada Allah dan Rasul-Nya, dan (kerana) mereka tidak mengerjakan sembahyang melainkan dalam keadaan malas, dan mereka pula tidak mendermakan hartanya melainkan dengan perasaan benci.”
Pandangan Singkat tentang Kehidupan

Golongan kafir dan munafik melakukan sesuatu kebaikan ataupun meninggalkan sesuatu larangan kerana  mengharapkan penghargaan dan pengiktirafan daripada manusia semata-mata, lantaran pandangan singkat mereka terhadap kehidupan.

Mereka tidak meyakini adanya pertemuan dengan Allah SWT yang akan menghisab segala amalan di dunia dahulu, sama ada daripada sekecil-kecilnya, sehingga kepada amalan yang paling besar. 

Amat malang bagi golongan yang mendustakan akhirat, kerana Allah SWT telah menggambarkan penderitaan mereka dalam beberapa ayat, contohnya menerusi surah al-Kahfi ayat ke-49 yang bermaksud:-
“Dan kitab-kitab amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu berasa takut akan apa yang tersurat dalamnya dan mereka akan berkata:-

‘Aduhai celaka Kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? 
Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!’

Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim terhadap seseorang pun.”

Ibn Kathir dalam mengulas ayat ini menjelaskan, umat Islam hendaklah menjaga diri mereka daripada gaya hidup golongan yang kafir yang gagal menggunakan mata hati untuk mengikuti kehendak Allah SWT yang telah menjadikan mereka. 

Sebaliknya mereka menghendaki Allah SWT yang mengikuti tuntutan syahwat dan hawa nafsu mereka.

Wallahua'lam