Peminangan Pendahuluan Pernikahan

Peminangan yang lebih berkat kepada seorang gadis adalah sebagaimana yang mengikut sunnah iaitu dengan memuliakan hak wali.

Praktikalnya, ia bermaksud menyatakan hasrat melalui perantaraan wali atau dalam pengetahuan wali.

Ramai remaja hari ini berpandangan:-

“Sekarang zaman moden, remaja boleh bertunang sesama sendiri tanpa perlu melibatkan orang tua. Lagipun, wali hanya diperlukan dalam majlis akad nikah bukannya dalam pertunangan.”

Seroang remaja bertanya:-

“Apakah sudah dikira bertunang apabila seorang lelaki menyatakan hasratnya untuk menjadi suami dan bernikah dengan seorang perempuan melalui teknologi sekarang seperti telefon bimbit ataupun internet?

Saya musykil tentang perkara ini kerana ramai sahabat menyakan mereka sudah bertunang hanya melalui panggilan telefon atau SMS.”

Jawapan saya yang sederhana:-

“Apabila seorang lelaki menyatakan hasrat, ini baru proses sebelah pihak atau disebut sebagai peminangan.”

Adakah mereka sudah dikira bertunang?

Belum lagi kerana perlu melihat persetujuan pihak satu lagi pula. Adakah perempuan itu sebulat hati menerima ataupun masih berbelah bahagi?

Jika dia sebulat hati menyatakan persetujuan, barulah kedua-dua pihak; lelaki dan perempuan ini dikira telah berjanji untuk berkahwin atau disebut bertunang.

Ya, barangkali mereka dikira bertunang namun alangkah beradabnya jika bertunang melibatkan komitmen keluarga. Bukan itu sahaja, bahkah digalakkan menggunakan khidmat orang tengah dan memuliakan wali dalam urusan.

Ini adalah contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan golongan salafussoleh

Hasrat boleh dinyatakan melalui apa-apa medium sekalipun.

Perlu diingatkan juga, keindahan Islam ini bukan sekadar pada hukum-hakamnya atau syariah, malah terzahir juga melalui aqidah dan akhlaknya. Aqidah Islam menyakini bahawa Rasulullah SAW ialah contoh terbaik dalam setiap tindakan dan amalan.

Akhlak Islam pula memuliakan ibu bapa dan menghormati keluarga. Tidak kira sama ada mereka berbuat baik atau tidak kepada kita, kita tetap perlu berakhlak mulia terhadap mereka kerana ia perintah Allah SWT.

Peminangan yang Mengikut Sunnah

Apabila Rasulullah SAW ingin menikahi Saidatina Aisyah RA (satu-satunya wanita yang dinikahi ketika masih gadis), Rasulullah SAW menyatakan hasratnya itu kepada bapa Saidatina Aisyah RA; Saidina Abu Bakar RA.

Keelokan peribadi dan besarnya potensi Saidatina Aisyah RA diketahui dan dikenali melalui orang tengah iaitu Khawlah binti Hakim RA, bukannya melalui berkawan-kawan dengan Saidatina Aisyah RA sendiri.

Manakala dalam peminangan terhadap janda, Rasulullah SAW banyak menggunakan khidmat orang tengah dan merujuk walinya sendiri.

Namun, Baginda SAW juga pernah menyatakan hasratnya secara langsung kepada calon tersebut seperti pinangan Baginda SAW terhadap Ummu Hani’ binti Abu Talib

Walau bagaimanapun pinangan Baginda SAW itu ditolak.


Definisi Peminangan

Beberapa orang ahli fiqah berbeza pendapat dalam mendefinisikan peminangan

Antaranya adalah seperti berikut:-

Sayyid Sabiq:-
“Peminangan sebagai permintaan untuk mengadakan pernikahan oleh dua orang melalui perantaraan yang jelas. 

Peminangan merupakan syariat Allah SWT yang harus dilakukan sebelum bernikah agar kedua-dua calon pengantin saling mengetahui.”
Dr. Wahbah al-Zuhaili:-
“Peminangan ialah pernyataan seorang lelaki kepada seorang perempuan bahawa dia ingin menikahinya, baik terus kepada perempuan tersebut ataupun kepada walinya.”
Amir Syarifuddin:-
“Penyampaian kehendak untuk melangsungkan ikatan perkahwinan. 

Peminangan disyariatkan bagi perkahwinan dan waktu perlaksanaannya adalah dalam tempoh sebelum berlangsungnya akad nikah.”
Al-Hamdani:-
“Peminangan ertinya permintaan seorang lelaki kepada anak perempuan orang lain atau seseorang perempuan yang ada bawah perwalian seseorang untuk dikahwini, sebagai pendahuluan sebelum menikah.”
Daripada beberapa pendapat di atas, dapat disimpulkan bahawa peminangan ialah proses menyatakan hasrat untuk mengadakan pernikahan yang dilakukan secara langsung ataupun melalui wali.

Ia dianggap satu ikatan apabila kedua-dua pihak saling bersetuju.

Dasar dan Hukum Peminangan

Dari al-Mughirah RA, sesungguhnya dia pernah meminang seorang perempuan, lalu Nabi Muhammad SAW bersabda kepadanya (yang bermaksud):-
“Lihatlah perempuan itu dahulu kerana sesungguhnya melihat itu lebih cepat membawa kepada kekalnya cinta antara kedua-duanya.” 
Hadith Riwayat an-Nasa'i dan at-Tirmizi

Wali tidak boleh memaksa tetapi dia boleh mencadangkan calon yang baik kepada puterinya seperti Nabi Syuaib AS yang berkenan kepada Nabi Musa AS sebagai calon menantu.

Namun begitu, wali tidak boleh memaksa puterinya menerima calon yang tidak disukai, sama ada puterinya itu gadis ataupun janda.

Pernah terjadi suatu kisah seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadith.

Daripada Abdullah bin Buraidah daripada Saidatina Aisyah RA bahawa seorang wanita pergi menemui Saidatina Aisyah RA

Beliau berkata kepadanya:-

“Bapaku telah mengahwinkan aku dengan anak saudaranya untuk menghilangkan kehinaanya sedangkan aku tidak menyukainya.”

Maka Saidatina Aisyah RA berkata:-

“Duduklah sehingga Rasulullah datang.”

Setelah Rasulullah SAW datang, Saidatina Aisyah RA memberitahu Baginda SAW lalu Rasulullah SAW mengutuskan seseorang kepada bapa wanita itu dan menjemputnya datang, Rasulullah SAW memberikan hak membuat keputusan kepada wanita itu, wanita itu berkata:-

“Wahai Rasulullah! Saya telah redha dengan apa yang dilakukan oleh bapaku, tetapi saya cuma ingin mengetahui, adakah ada hak bagi wanita untuk membuat ketetapan?”

Dalam riwayat lain:-

“Saya inginkan kaum wanita mengerti bahawa bukan bapa yang berhak untuk membuat ketetapan.”

(Rujukan: Riwayat an-Nasa'i)

Nasihat Buat Remaja

Buat para remaja, muliakan ibu bapa mu. Raikan ibu bapa si dia. 


Dahulukan mereka dalam urusan peminangan dan pertunangan. Insya-Allah, urusanmu ini lebih berkat dan mengikat. Moga keberkatannya berpanjangan sepanjang alam perkahwinan pula. 

Ingatlah sesungguhnya sukar mencari bahagia tanpa restu orang tua.

Wallahua'lam