Buku Pertama Dan Terakhir

Satu kalimat yang anda ucapkan sangat besar kesannya kepada orang lain. 

Jika ia berbentuk celaan, ia akan terus kekal di benak orang yang mendengarnya hingga ke akhir hayat. Namun jika ia sebuah motivasi, maka kata-kata itu mungkin boleh mengubah hidup seseorang menjadi lebih sempurna.

Kisah tersebut mudah-mudahan menyedarkan kita tentang kesan dan impak kata-kata.

Ketika Syria masih berada di bawah jajahan Turki Uthmaniah, lahir seorang ulama' yang sangat handal. 

Beliau ialah Syeikh Sulaim al-Bukhari (wafat 1928 M), tokoh yang membawa reformasi moden di Syria

Nama beliau seringkali dijajarkan bersama tokoh-tokoh terkenal seperti Syeikh Tahir al-Jazairi, Syeikh Jamaludin al-Qasimi dan ulama'-ulama' besar yang lain.

Namun, berbeza dengan para ulama' tersebut, Syeikh Sulaim al-Bukhari tidak menulis buku.

Padahal ilmunya sangat banyak dan ucapannya sangat fasih. Hingga beliau wafat pada tahun 1928 Masehi, beliau tidak meninggalkan buku-buku yang mengabadikan ilmu dan kepakarannya untuk umat.

Menurut Syeikh Ali al-Tantawi, ini disebabkan sebuah kejadian yang telah menimpa dirinya semsa beliau muda dahulu. Apabila masih bergelar pelajar di sebuah sekolah agama, Syeikh Sulaim pernah mengarang sebuah buku kecil tentang ilmu mantik.

Buku itu ditulis dengan bahasa yang sangat mudah dan senang dibaca.

Beliau berjaya menjelaskan perbahasan-perbahasan sukar ilmu mantik dengan huraian yang mudah difahami.

Namun, apabila beliau memperlihatkan buku itu kepada gurunya, bukan kata-kata pujian yang diterima, sebaliknya gurunya ini merendahkan dan menghinanya. 

Dengan kasar, guru ini berkata:-

“Wahai murid yang tertipu. Engkau ingat dirimu sudah layak menulis sebuah buku? 
Engkau belum tahu ini dan itu.”

Gurunya lalu mengambil buku itu dari tangannya, lalu membakarnya. Kejadian ini sungguh terkesan dalam hati Syeikh Sulaim

Jadilah buku tersebut pertama dan juga yang terakhir ditulis oleh beliau.

Kata-Kata Negatif

Kisah ini saya ambil daripada sebuah buku yang bertajuk Uluw al-Himmah, karya Syeikh Muhammad Islam al-Muqaddam. Beliau menukilkannya daripada Syeikh Ali al-Tantawi, tokoh ulama' dan sastera di Syria.

Mengucapkan kata-kata pujian dan sokongan sangat mudah. 

Namun hariannya, lidah kita seringkali sangat berat mengucapkannya. Kita lebih ringan mengucapkan kata-kata cemuhan dan sindiran, padahal kesannya sangat mendalam di hati pendengarnya.


Ibu bapa yang selalu mengeluarkan kata-kata negatif kepada anaknya akan membuatkan anak-anak berfikiran negatif. Mereka takut mencuba perkara-perkara baru yang dilihat tidak kreatif. Apabila besar nanti, anak itu tidak akan memiliki kepercayaan diri untuk menghadapi cabaran hidup.

Seorang guru yang malas memberikan kata-kata motivasi dan pujian, hanya akan melahirkan murid-murid yang pasif dan lembap. Pada masa hadapan nanti, mereka tidak akan menjadi pemimpin-pemimpin kreatif yang akan membawa kebaikan kepada seluruh rakyat.

Kerosakan yang dibawa oleh orang seperti ini lebih besar daripada kebaikannya. Sedapat mungkin, jauhkan diri dan keluarga anda daripada mereka kerana jiwa manusia seringkali meniru orang yang berada di sekitarnya.

Motivasi daripada seorang Ayah

Saya kongsi sedikit kisah dari seorang pendakwah, yang masih teringat orang yang selalu menyokongnya mempelajari bahasa Arab yang tidak lain tidak bukan ialah ayah beliau sendiri (semoga Allah SWT merahmatinya dan menempatkan ayah beliau di dalam syurga Firdaus).

Ayah beliau bukanlah ulama' ataupun ustaz. Malah ayah beliau tidak mengerti bahasa Arab kecuali hanya beberapa kalimat sahaja.

Namun begitu, setiapkali melihat pendakwah ini membaca kitab-kitab Arab di rumah, ayah beliau selalu memujinya.

Ayah beliau melarang ibu pendakwah ini menyuruhnya melakukan kerja-kerja rumah apabila pendakwah ini dilihat oleh ayahnya sedang sibuk membaca.

Apabila beliau meminta untuk dibelikan kamus Arab, ayahnya tidak teragak-agak untuk memberikannya wang.

Padahal seingat pendakwah itu, usianya belum pun mencecah 12 tahun. Semua itu membuatkannya lebih terdorong untuk mempelajari bahasa Arab dan ilmu-ilmu agama yang lain.

Namun apa komen seorang ustaz lain apabila ayah beliau menceritakan semua ini kepadanya?

Ustaz itu berkata:-

“Jangan biarkan anak kamu membaca kitab sendiri. Orang yang membaca tanpa guru, maka gurunya ialah syaitan!”

Alhamdulillah, ustaz itu tidak menjadi guru beliau. Ucapannya tidak dapat menghalang beliau daripada meneruskan bacaan.

Namun beliau boleh membayangkan, jika beliau menurut ucapan ustaz itu, nescaya saat ini beliau tidak akan mampu membaca kitab-kitab Arab dan tidak mengetahui ilmu-ilmu agama melainkan perkara-perkara asas sahaja.

Tokoh-Tokoh Besar

Tokoh-tokoh besar tidak pernah memadamkan semangat orang lain. Sebaliknya, mereka selalu memberi sokongan dan galakan kepada setiap orang yang menuju  ke arah perbaikan diri dan masyarakat.

Salah seorang tokoh itu ialah Syeikh Tahir al-Jazairi (wafat 1920 Masehi), seorang ulama' besar dan sasterawan terbilang di Syria. Fikiran dan aktiviti dakwahnya berjaya melahirkan kebangkitan agama Islam di negeri Syam.

Syeikh al-Jazairi tidak pernah sekalipun melemahkan semangat orang lain. Malah beliau selalu menemukan cara untuk membakar semangatnya menjadi lebih membara.

Suatu hari beliau berpesan kepada seorang muridnya yang mengajar bahasa Arab

Beliau berkata:-
“Jika seseorang yang datang kepada kamu dan ingin menguasai ilmu nahu dalam masa tiga hari, maka jangan katakan kepadanya: ‘Itu tidak mungkin!’ 

Ini kerana ucapan ini akan melemahkan semangatnya. Akan tetapi, ajarkan dia dan tanamkan kepadanya kecintaan kepada ilmu nahu. Mudah-mudahan setelah itu ia menjadi semakin tekun mempelajarinya.”

Mudahkan, Jangan Disusahkan

Sunguh indah sekelompok umat yang setiap anggota dan ahlinya saling membantu dalam kesabaran. Setiapkali seseorang antara mereka melangkah kepada kebaikan, semua orang memberi sokongan dan galakan, sehingga setiap kebaikan yang terlaksana, pahalanya akan dikongsi oleh semua umat.

Sikap inilah yang diinginkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada umat Islam. Setiapkali mengutus seseorang untuk suatu urusan, Baginda SAW selalu berpesan:-
“Sebarkanlah kegembiraan, bukan kesempitan. Mudahkanlah urusan dan jangan disusahkan.” 
Hadith Riwayat Muslim
Semoga kita menjadi orang yang selalu menebarkan kemudahan dan kegembiraan di hati saudara-saudara kita.

Aamiiin ya Rab al-‘Alamin.

Wallahua'lam