Muamalat Majikan dan Pekerja

Terlalu banyak ciri dan disiplin dalam kerjaya diajar oleh Islam sama ada tanggungjawab sebagai pekerja ataupun majikan.

Perkara ini penting bagi menghasilkan kesan emosi yang stabil dalam kalangan pekerja, malah merupakan antara perkara yang mampu menambah keberkatan dalam pekerjaan.

Percaya dan Sokongan

Proses kepercayaan dan hormat adalah sesuatu yang dicapai, bukan sesuatu yang boleh dipaksa, bak kata Francis Duggan:-

“Respect is what you earn not command.”

Justeru, seorang ketua akan mudah dihormati oleh orang bawahan apabila dia menghormati pekerja, terutamanya jika ketua terbabit ialah orang yang terlibat dalam perlantikan pekerjanya.

Apabila seseorang ketua telah memilih seseorang pekerja, maka berikan keyakinan kepada pekerja tersebut untuk menjalankan tanggungjawabnya; elakkan mencampuri prosesnya kecuali ia jelas salah dan silap.

Tidak boleh dinafikan, cara seseorang menyiapkan tugasan berbeza dengan yang lain.

Kita tidak boleh berharap dia menyiapkannya sebagaimana cara dan kaedah yang digunakan oleh seseorang yang lain.

Perbezaan metode perlu dihormati selagi mana ia mampu sampai kepada matlamat dan kos yang sama.

Pada masa yang sama, pekerja pula perlu memberikan lebih keyakinan kepada ketua dalam memutuskan keputusan. Kerana itu, seorang ketua semestinya lebih berpengalaman dan berilmu berbanding pekerja.

Itu sifat sunnatullah yang perlu dijaga bagi menghasilkan output kerja dan muamalat yang cemerlang. Oleh sebab itu, sebarang pelantikan yang dipengaruhi oleh sebarang unsur kronisme, nepotisme dan rasuah ditegah dalam Islam.

Oleh itu boleh saya tegaskan, etika kerja yang bertepatan dengan Islam adalah bersangka baik dan percaya terlebih dahulu sebelum berprasangka.

Sebarang kesilapan kadangkala boleh menyebabkan kemarahan ketua, namun perlu disedari kerana kurang mahirnya pekerja itu, ketua tersebut boleh menjadi ketua.

Jika semua orang telah mempunyai kepintaran dan skil memimpin dan mengurus seperti ketua, seorang ketua sukar menduduki tempat tersebut.

Inilah nilai kerja dalam Islam; menyedari si kaya tidak akan menjadi atau berterusan kaya kecuali dengan bantuan si miskin, yang pintar pula tidak akan mencapai kedudukan itu kecuali apabila wujudnya golongan yang kurang bijak. 

Kesannya, dia berpeluang mendidik orang lain

Inilah rezeki yang telah ditentukan oleh Allah SWT kepada sesiapa jua yang dikehendaki-Nya.

Proses sokongan inilah yang diperlukan. Jika ia berjaya dilaksanakan, produktiviti kerja pasti bertambah tanpa syak lagi.

Gaji, Kenaikan Pangkat dan Pengiktirafan yang Berpatutan

Penghargaan dan ganjaran sudah menjadi satu lumrah bagi memotivasikan seseorang dan meningkatkan proses produktiviti. Malah dalam Islam, mempercepatkan ganjaran juga amat digalakkan. 

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:-
“Berikan pekerjamu ganjarannya sebelum kering peluhnya.” 
Hadith Riwayat Ibn Majah
Hadith ini bukanlah mewajibkan kita mengganjari pekerja kita sebegitu (sebelum kering keringatnya), tetapi ia satu penegasan terhadap kepentingan ganjaran bagi pekerja.

Pemberian gaji sememangnya berbeza pada zaman kita, iaitu gaji biasanya dibayar secara bulanan ataupun mingguan.

Sekali lagi perlu diingat, etika yang perlu difahami daripada hadith itu adalah betapa perlunya seorang majikan menitikberatkan soal ganjaran pekerja bagi memastikan kualiti dan produktivitinya meningkat.

Majikan juga perlu kerap menyemak ganjaran kepada pekerja, selaras dengan peningkatan keuntungan sesebuah organisasi.

Saya kagum melihat usaha beberapa buah syarikat antarabangsa yang bijak memenangi hati petugas sehingga menyediakan pelbagai anugerah untuk pekerja, bonus tidak berkala atas prestasi cemerlang pekerja, dan sudah tentu bonus tahunan.

Kenaikan pangkat dan nama jawatan juga menjadi satu ganjaran yang amat perlu pada waktu tugasan berjaya dilaksanakan dengan cemerlang. 

Nabi SAW pernah mengisyaratkan sebagaimana disebut dalam sebuah hadith yang bermaksud:-
“Tiga golongan yang aku akan memusuhinya kelak, antaranya; lelaki yang mengambil pekerja dan apabila kerja dilaksanakan (dengan baik), dia tidak memberikan ganjarannya.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari
Menurut kajian pengkaji moden (Juran dan Gryna, 1993; Kassicieh dan Yourstone, 1998; Herberg’s, 1996) mendapati ganjaran selain gaji bulanan, pengiktirafan di khalayak dan kenaikan pangkat, berperanan besar dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti seseorang pekerja.

‘Be Leaders Not Bosses’

Too many bosses, too few leaders

Itu adalah kata-kata yang cukup benar. Agak ramai majikan atau ketua pada hari ini lebih senang dilayan seperti bos; yang digambarkan suka memerintah, mengarah, menegur dengan keras dan tidak turun bersama.

Lihat sahaja bagaimana sifat yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam urusan rumahtangga. 

Baginda SAW turut membantu isteri mengemas rumah, membasuh pakaian sendiri dan sebagainya.

Dalam kepimpinan masyarakat dan negara pula, Baginda SAW sering bermesyuarat, meminta dan menghargai pandangan, bekerja sama dan tidak hanya mengarah, melantik dan membahagikan tugasan dan banyak lagi. 

Itulah sifat leaders yang kini semakin hilang disebabkan lebih ramai suka dilayan seperti boss, diikuti di hadapan namun dikutuk di belakangnya.

Ketua Pegawai Eksekutif bagi ICLIF (Leadership dan Governance Centre), Rajeev Peshawaria berkata:-
“A great leader is someone who inspired you to show every morning dan do your best possible work, somene who made you believe in yourself, some who genuinely cared about your success, and someone whom you wanted to follow willingly.” 
Too Many Bosses, Too Few Leaders, halaman xii
Kata-kata beliau sememangnya tepat dan jitu, dan itulah ciri-ciri yang ada pada diri Nabi Muhammad SAW yang menyebabkan para sahabatnya mampu menjadi sebaik-baik manusia.

Kecilkan Jurang antara Majikan dan Pekerja

Terdapat riwayat yang menyebut Baginda SAW turut memakai baju yang hampir sama dengan sahabat lain, sehingga sukar dikenali oleh rombongan luar. Baginda SAW juga menaiki kenderaan atau berjalan kaki bersama para sahabat.

Baginda SAW juga tidak sentiasa meminta layanan istimewa daripada para sahabatnya sehingga Baginda SAW menolak tawaran makanan percuma daripada para sahabat Baginda SAW.

Lantaran mengelakkan serba salah sahabat menjual makanan kepada Baginda SAW, (kerana semuanya tidak tergamak untuk menjual kerana menyedari Nabi SAW tidak mempunyai wang yang mencukupi ketika itu). 

Akhirnya Baginda SAW membeli makanan daripada orang Yahudi dan mencagarkan baju besi sebagai jaminan hutang yang akan dibayar. Kisah ini ada disebutkan oleh Imam Ibn Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari, Syarh Sahih al-Bukhari.


Baginda SAW juga menolak daripada menerima secara percuma seekor keldai yang ingin dibelinya. Selepas itu pula, Baginda SAW menghadiahkan binatang tersebut kepada sahabat lain.

Baginda SAW juga amat mudah didekati dan kerap berada di masjid dan berdiskusi. Tidak banyak protokol yang kompleks dan tidak sukar ditemui, tanpa perlu melalui setiausaha.

Memang benar, pada hari ini, semua itu perlu bagi menyelaraskan jadual kerja seorang ketua. Cuma berpadalah dalam menyapa pekerja bawahan ketika di jalanan yang bukan dalam konteks pertemuan rasmi. Jangan pula diketatkan dengan sebarang protokol. 

Sewajarnya ketua boleh disapa pada waktu solat di surau pejabat ataupun sewaktu makan.

Bimbing dan Bukan Memalukan

Pendekatan lembut mestilah didahulukan berbanding yang keras, pekerja dan orang bawahan juga seorang manusia yang sukakan teguran secara lembut dan membina; bukan cacian, makian serta kutukan.


Hanya kerana ketua membayar gaji kepada pekerja, tidak sama sekali melayakkan majikan untuk ‘mencederakan’ fizikal mahupun hati kakitangan dengan penghinaan, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan di hadapan khalayak awam.

Panduan Nabi SAW ini doleh dijadikan sandaran bagi mewujudkan satu nilai kualiti dalam berorganisasi, sebagaimana disebut dalam hadithnya yang bermaksud:-
“Tiadalah kelunakan pada sesuatu itu keuali ia akan mencantikkan dan tidaklah dikerasi pada sesuatu itu kecuali akan merosakkan (dan menghasilkan bantahan)” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Wallahua'lam