DNA Bukti Kekuasaan Allah SWT

Kehebatan ciptaan Allah SWT bukan sahaja dapat dilihat pada kejadian alam semesta, bumi, langit, bintang dan matahari serta planet-planet yang besar di alam ini, bahkan ia juga dapat dilihat pada sekecil-kecil perkara yang ada dalam kehidupan.

Kemajuan teknologi sains telah membuktikan bahawa benda-benda hidup di atas muka bumi ini sebenarnya terdiri daripada satu struktur yang kompleks dan terlalu sempurna

Mustahil untuk dikatakan ia terjadi dengan sendiri.

Hal ini sekaligus membuktikan semua kehidupan dicipta oleh satu Kuasa Yang Maha Hebat.

Penemuan terbaru pada abad ini ialah penemuan satu struktur sempurna di dalam sel-sel manusia dan haiwan iaitu DNA

Ia hasil daripada kemajuan bidang genetik dan ini merupakan salah satu tanda kehebatan ciptaan Allah SWT untuk disaksikan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas bagi mereka bahawa al-Quran itu adalah benar. 

Tidakkah cukup bahawa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?” 
Surah Fusillat 41:53
Apakah itu DNA?

DNA ialah singkatan bagi Deoxyribonucleic acid. Ia terletak di dalam nukleus (inti) setiap sel manusia dan haiwan termasuklah bakteria.

Semua sel di dalam badan kita mengandungi DNA kecuali sel darah merah. DNA merupakan intipati setiap sel dan ia mengandungi semua maklumat genetik asas mengenai seseorang individu.

Ia juga dipanggil sebagai molekul warisan kerana DNA mewariskan sifat-sifat organisma induk (ibu bapa) kepada keturunannnya.

Setiap sel manusia mempunyai satu nukleus. Di dalam nukleus terdapat 46 pasang kromosom yang mengandungi 2 juta DNA dan 3 billion sub-unit DNA

Ia diumpamakan seperti sebuah bank data bagi seseorang manusia.

Maklumat yang tersimpan di dalam DNA bertindak untuk mengawal beribu-ribu perubahan fisiologi dan metabolisme yang tidak terkira jumlahnya dalam setiap hari. 

Ia juga bertindak untuk memberikan ciri-ciri fizikal kepada seseorang seperti warna rambut, warna anak mata, ketinggian, warna kulit, bentuk kuku, bentuk hidung dan pelbagai lagi. 

Malahan ia juga memberikan pengaruh kepada perubahan tekanan darah, paras gula dan kolestrol dalam darah seseorang.

Saintis-saintis di seluruh dunia telah menjalankan kajian dengan bersungguh-sungguh untuk menterjemahkan kira-kira 3 billion (3 ribu juta) kod-kod DNA yang terdapat pada satu sel. Hasilnya, sehingga kini kira-kira 85% daripada satu DNA manusia telah ditafsirkan dan diaturkan.

Meskipun ini merupakan satu pencapaian yang agak besar dan hebat, ketua saintis yang mengetuai kajian ini yang bernama Dr. Francis Collins mengakui sehingga kini mereka hanya mencapai tahap pertama dalam menterjemah maklumat di dalam DNA pada satu-satu sel.

Ensiklopedia Gergasi dalam Sel Kecil Manusia

Maklumat-maklumat yang disimpan di dalam DNA agak memeranjatkan.

Jika ditulis dalam helaian kertas, malumat yang disimpan di dalam DNA untuk satu sel boleh menyamai sehingga 1 juta halaman sebuah ensiklopedia. Ini bermakna satu sel pada badan manusia mengandungi kira-kira satu juta halaman muka surat maklumat yang berkaitan dengan fisiologi dan fizikal seseorang.

Segala tindakbalas fisiologi dan metabolisme yang berlaku setiap hari ditentukan oleh maklumat yang terdapat di dalam DNA tersebut.

Sebagai analoginya, 23 jilid Encyclopedia Britannica yang merupakan ensiklopedia terbesar dunia mengandungi 25,000 mukasurat secara keseluruhan.

Maka di dalam molekul nukleus yang saiznya terlalu kecil di tengah-tengah sel, tersimpan satu maklumat yang 40 kali ganda lebih banyak daripada ensiklopedia yang terbesar di dunia, ataupun menyamai 920 jilid ensiklopedia tersebut.

Jika semua jilid-jilid itu disusun di atas lantai, ia akan mencapai ketinggian 70 meter atau bersamaan dengan bangunan setinggi 20 tingkat. Jika ia ditulis di atas kertas-kertas dan kertas itu disambung dan direntangkan, ia boleh menjangkau jarak yang jauh seolah-olah merentasi lautan Atlantik.


Contoh-contoh tersebut adalah sebagai gambaran betapa banyak maklumat-maklumat yang disimpan oleh DNA bagi satu sel. Ia bukanlah sebuah komputer canggih atau sebuah perpustakaan.

Ia hanya satu molekul yang sangat kecil tersimpan di dalam sebuah sel dan tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

Komputer Manusia vs Komputer Allah SWT

Pada zaman kecanggihan teknologi sekarang, manusia menggunakan komputer untuk menyimpan maklumat. Ia dianggap teknologi yang paling maju bagi menyimpan dan menguruskan sesuatu maklumat.

Pada peringkat awal penciptaannya, saiz komputer terlalu besar dan menyamai saiz sebuah bilik. Namun kemampuannya untuk menyimpan sesuatu maklumat sangat terbatas.

Perkembangan teknologi membolehkan saiznya menjadi semakin kecil dan keupayaannya untuk menyimpan maklumat semakin baik sehinggakan banyak maklumat boleh disimpan di dalam sebuah mikrocip yang kecil.


Namun kehebatan teknologi manusia masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan teknologi penyimpanan maklumat di dalam sel yang dicipta oleh Allah SWT.

‘Komputer’ yang Allah SWT ciptakan ini terlalu kecil sehingga tidak mampu dilihat dengan mata kasar. Namun kehebatannya menyimpan maklumat tidak dapat ditandingi oleh mana-mana komputer yang paling canggih diciptakan.

Keruntuhan Sebuah Teori Evolusi

Teori evolusi yang pernah dicanangkan oleh Charles Darwin pada suatu ketika dahulu mendapat sambutan yang cukup hebat dalam kalangan saintis-saintis barat. Mereka sedaya upaya membuat kajian untuk menyokong pernyataan Darwin itu.

Kajian demi kajian yang dibuat menemui kegagalan. Bahkan mereka sanggup menipu dengan membuat penemuan palsu untuk membuktikan pernyataan yang tidak berasas itu. 

Mereka cuma berhujah dengan ‘kebetulan’ kepada setiap kejadian.

Sebagai analogi, satu hari kita menjumpai sekeping disket di atas meja dalam sebuah makmal komputer. Setelah meneroka isi kandungan disket tersebut, alangkah terperanjatnya kerana disket tersebut mengandungi berbillion-billion maklumat tentang manusia secara terperinci. 

Soalan pertama yang menerjah dalam fikiran kita ialah, siapakah yang telah menulis semua maklumat ini dengan sebegitu banyak? 

Adakah maklumat ini tertulis dengan sendiri di dalam disket? 

Tidak mungkin bukan?

Maka soalan yang sama boleh ditanya pada sel. Jika segala maklumat dalam disket ditulis oleh seseorang, maka siapa pula yang menulis di dalam DNA


Bahkan teknologi tulisan di dalam sebuah sel jauh lebih maju dan sempurna.

Adalah sangat mustahil struktur yang begitu hebat ini terjadi dengan sendiri tanpa ada Penciptanya. Tidak hairanlah para saintis yang mendukung teori evolusi tidak mampu memberikan penjelasan terhadap penemuan DNA.

Mereka dengan buntu menyatakan bahawa semua yang terjadi ini hanyalah satu kebetulan untuk mempertahankan teori dangkal itu.

Dalam masa mereka tidak dapat memberikan sebarang penjelasan tentang asal usul DNA, mereka juga terperanjat dengan soalan-soalan yang mematikan akal mereka. 

Contohnya, mengapa DNA antara setiap mahkluk seperti manusia, kucing, burung dan sebagainya mempunyai maklumat genetik berasal daripada sumber yang sama secara kebetulan, sudah tentu DNA untuk semua makhluk juga adalah sama.

Wallahua'lam