Kisah Nabi Idris A.S - Ajalnya Di Langit Keempat

Nabi Idris AS dipuji oleh Allah SWT dengan sebutan al-Siddiq (Nabi yang benar). Baginda AS juga telah diangkat darjatnya ke tingkat yang tinggi. 

Nama sebenar Baginda AS ialah Khanaukh.

Baginda AS ialah penghulu kaumnya dari keturunan Nabi Adam AS yang pertama menerima tugas sebagai Nabi selepas Nabi Shith AS dan Nabi Adam AS

Manakala malaikat sangat mencintainya kerana Baginda AS merupakan orang yang selalu memperbanyakkan ibadah kepada Allah SWT.

Diangkat Darjat ke Tingkat yang Tinggi

Allah SWT berfirman dalam surah Maryam ayat 56 dan 57 yang bermaksud:-
“Katakanlah dalam Kitab (al-Quran) ini perihal Idris. Sesungguhnya dia orang yang benar (al-Siddiq) dan seorang Nabi. 
Kami telah mengangkat (darjatnya) ke tingkat yang tinggi.”
Dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim menyebut bahawa Rasulullah SAW bertemu dengan Nabi Idris AS di kawasan langit yang keempat iaitu ketika Baginda SAW melakukan perjalanan Israk dan Mikraj.

Dalam Qasas al-Anbiya’, Imam Ibn Kathir menyebut kisah yang diriwayatkan daripada Hilal bin Yasaf, beliau berkata:-

Ibn Abbas bertanya kepada Ka’ab dan saya ada bersama ketika itu:-

‘Apakah maksud ayat Allah Taala terhadap Idris; dan Kami angkatnya ke tempat yang tinggi?’

Ka’ab berkata:-

‘Adapun Idris, sesungguhnya Allah mewahyukan kepada: ‘Sesungguhnya Aku mengangkat (amalan) bagimu setiap hari seumpama amalan seluruh anak Adam, dan Aku suka sekiranya engkau menambah amalan.’

Maka datanglah malaikat kepada Nabi Idris AS

Nabi Idris AS berkata:-

‘Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku begini-begini, bolehkah engkau sampaikan kepada malaikat maut agar dia menangguhkan ajalku sehingga aku dapat menambah amalan?’

Malaikat itu pun membawa Nabi Idris AS dengan dua sayapnya naik ke langit. Apabila mereka tiba di langit keempat, mereka bertemu dengan malaikat maut yang sedang turun. Lalu malaikat itu berbicara dengan malaikat maut tentang permintaan Nabi Idris AS yang dikatakan kepadanya.

Malaikat maut bertanya: ‘Di mana Idris?’

Malaikat itu menjawab: ‘Ia ada di belakangku.’

Malaikat maut berkata: ‘Amat menghairankan. Aku telah diutus untuk mencabut nyawanya di alngit keempat tetapi aku berfikir, ‘Bagaimana aku hendak mencabut nyawanya di langit keempat sedangkan dia berada di bumi?’ 

Lalu malaikat maut mencabut nyawanya di sana.”

Maka demikianlah maksud Allah SWT dalam surah Maryam ayat 57 yang bermaksud:-
“Dan Kami mengangkatnya ke tempat yang tinggi.”
Menurut Hasan al-Basri ketika mentafsirkan ayat tersebut iaitu ‘diangkat ke tempat yang tinggi’ bermaksud diangkat ke syurga.

Mujahid pula berpandangan bahawa Nabi Idris AS diangkat dalam keadaan masih hidup sebagaimana halnya Nabi Isa AS.

Dicintai Allah SWT, Dihormati Manusia

Menurut Dr. Hamid Ahmad al-Tahir dalam kitabnya Qasas al-Anbiya'’ li al-Atfal, Nabi Idris AS tidak hanya menjalankan ibadah begitu sahaja, tetapi Baginda AS beruasaha untuk memberikan ibadah dan pengabdian yang terbaik kepada Allah SWT iaitu dengan melakukan solat tepat pada waktunya, menjalankan ibadah puasa dan selalu ingat kepada golongan fakir dan miskin.

Ketika Nabi Idris AS mencapai kualiti ilmu pengetahuan yang tinggi dan pengabdian yang sempurna kepada Allah SWT, penduduk di setiap negeri yang disinggahinya pun mencintainya, sehinggakan semua masyarakat di setiap wilayah dan negara yang disinggahinya berusaha memperlihatkan kepada dunia bahawa Nabi Idris AS berasal dari negeri mereka.


Contohnya, masyarakat Mesir memanggil Nabi Idris AS dengan sebutan ‘Hurmus al-Haramisah’ dan mereka mengatakan:- 

‘Nabi Idris AS lahir di Memphis, ibu Kota Mesir zaman Firaun.’ 

Mereka juga mengatakan:- 

‘Sesungguhnya Baginda AS telah mengelilingi pelbagai negara, kemudian Baginda AS kembali semula ke Mesir.’

Orang Yahudi pula memanggil dengan sebutan ‘Akhnukh’. Mereka mengatakan:-

‘Akhnukh (Idris AS) ialah seorang Nabi. 
Baginda banyak melakukan ibadah kepada Allah SWT dan Allah SWT sangat mencintainya.’

Oleh sebab itu Allah SWT berkenan mengangkat Baginda AS ke langit.

Para penduduk Yunani pula memanggil Nabi Idris AS dengan sebutan ‘Urin’ ketiga. Mereka mengangkatnya menjadi salah seorang hakim yang sangat dihormati.

Semua ini menunjukkan Nabi Idris AS sangat dicintai masyarakat dan penduduk pelbagai penjuru dunia kerana Baginda AS telah mengajarkan pelbagai ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada mereka.

Baginda AS mengajar mereka cara menyembah Allah SWT dengan cara yang terbaik dan berdoa kepada-Nya.


Para malaikat sangat mencintai Nabi Idris AS kerana Baginda AS seorang yang gemar membaca kitab-kitab Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Shith AS berupa suhuf (lembaran-lembaran). Selain itu Allah SWT menurunkan kepada Baginda AS 30 sahifah.

Baginda AS membacanya siang dan malam. 

Mulut Baginda AS tidak pernah berhenti dari mengucapkan tasbih menyucikan Allah SWT.

Nabi Idris AS juga menjahit pakaiannya sendiri, sambil sentiasa berzikir kepada Allah SWT sewaktu menjahit pakaiannya, maka dibuka semula jahitan tersebut dan menjahitnya kembali sambil berzikir kepada Allah SWT.

Mewariskan Ilmu

Allah SWT mengangkatnya ke tempat yang tinggi iaitu Allah SWT mengangkat darjat Nabi Idris AS. Di dunia manusia sangat mencintainya, mengingatinya dengan segala amalan dan perbuatan baiknya.

Sedangkan di langit, Allah SWT mengangkat darjatnya di sisi Allah SWT hingga dekat dengan-Nya. Nabi Idris AS sangat dekat dan sangat dicintai Allah SWT

Semua ini merupakan penghormatan dan kemuliaan kepada Nabi Idris AS.

Sebelum Nabi Idris AS wafat, Baginda AS mengajarkan kepada anak-anaknya cara untuk menjadi seorang hamba yang beribadah kepada Allah SWT. 

Baginda AS juga memberikan wasiat kepada mereka agar selalu menjada keimanan kepada Allah SWT dan tidak berlaku kufur kepada-Nya. Selain itu, Nabi Idris AS juga mengajar pelbagai ilmu pengetahuan yang bermanfaat yang telah Baginda AS pelajari. 

Baginda AS juga telah mewasiatkan kepada mereka agar berjuang memerangi anak cucu Qabil yang menyembah berhala dan kufur kepada Allah SWT.


Dalam sebuah hadith riwayat Muslim daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bercerita panjang mengenai peristiwa Israk dan Mikraj yang Baginda SAW alami, antaranya:-

“Sesudah itu kami dibawa naik ke langit keempat, Jibril ditanya: ‘Siapakah anda?’

Jibril menjawab: ‘Aku Jibril.’

Ditanya lagi: ‘Siapa bersama kamu?’

Jibril menjawab: ‘Muhammad SAW.’

Jibril ditanya lagi: ‘Adakah dia sudah diutus?’

Jibril menjawab: ‘Ya, dia sudah diutus.’

Setelah itu barulah pintu dibukakan untuk kami. Tiba-tiba aku bertemu dengan Nabi Idris AS. Baginda AS mengucapkan selamat datang kepadaku, serta mendoakan semoga aku beroleh kebaikan.”

Allah SWT berfirman dalam surah Maryam ayat 57 yang bermaksud:-
“Kami naikkan dia (Idris AS) ke tempat yang tinggi.”
Wallahua'lam