Daripada “HERO Ke ‘ZERO’

‘Super’ yang dimaksudkan ialah kualiti diri yang tinggi, unggul dan hebat. ‘Super’ juga bermaksud tahap keimanan luar biasa yang ditunjukkan oleh para sahabat.


Para sahabat Rasulullah SAW antara individu yang menerima tarbiah secara langsung daripada Baginda SAW yang telah menyuntik ciri-ciri ‘super’ seterusnya menjadikan mereka individu hebat. Antara kualiti diri yang dimiliki oleh mereka ialah keimanan yang tinggi, kesungguhan dalam beribadah, kasih sayang sesama Muslim serta pengorbanan dalam kehidupan dan dalam perjuangan. 

Pengorbanan besar yang mereka lakukan ini demi memastikan Islam terus bersinar dan memancar.

Kualiti yang ada pada para sahabat Baginda SAW ini akan dirungkaikan satu persatu agar anda semua dapat mempraktikannya dalam kehidupan seharian.

Minda Mukmin ‘Super’

1. Mempunyai visi dan misi yang jelas

Visi dan misi yang jelas akan membina dan menjana satu kekuatan dalam diri setiap insan yang memilikinya. Visi dan misi yang paling penting ialah pengabdian diri kepada Allah SWT di samping melaksanakan setiap ajaran yang dibawa oleh Baginda SAW.

Tanpa disedari, kita sebenarnya sentiasa mengungkapkan visi dan misi tersebut dalam doa iftitah setiapkali mendirikan solat. Antara ungkapan tersebut adalah:-

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah, Tuhan sekalian alam.”

Inilah visi dan misi ketuhanan dan pengabdian yang telah kita janjikan setiapkali membaca dan menghayatinya.


Antara visi dan misi lain yang boleh diterapkan dalam kehidupan Muslim adalah:-
  • Berusaha keras untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT
  • Membesarkan Tuhan agar tidak ada kebesaran lain di muka bumi ini kecuali kebesaran Allah SWT
  • Membersihkan diri dan menjauhi segala kejahatan supaya mencapai pembersihan zahir dan batin (jiwa)
  • Sentiasa konsisten dalam beribadah
  • Melakukan pengorbanan dan ikhlas dalam melakukannya
Contoh: Kekentalan Bilal bin Rabah RA

Bilal bin Rabah RA mempertahankan aqidah dan pengabdiannya kepada Allah SWT walaupun didera oleh tuannya iaitu Umayyah bin Khalaf al-Jumahi

Berdasarkan fakta sejarah yang dinyatakan dalam kitab al-Sirah al-Nabawiyyah karangan Ibn Hisham (jilid 1, halaman 317-318) menyebutkan bahawa Bilal bin Rabah ketika diikatkan tali di lehernya dan kemudiannya diletakkan batu besar di atas dadanya, beliau masih mempertahankan visinya (keesaan dan keredhaan Allah SWT) dengan menyebut ‘Ahad, Ahad’.

2. Keimanan tanpa sebarang keraguan

Keraguan akan menyebabkan ‘pencemaran’ terhadap iman yang dimliki oleh seseorang. Oleh sebab itu, keraguan ini perlu dibuang dan dibersihkan.

Contoh: Keyakinan Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA

Tatkala orang ramai mencemuh Rasulullah SAW ketika Baginda SAW menceritakan peristiwa Israk dan Mikraj, Saidina Abu Bakar RA yakin sepenuh hati dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Keyakinan yang ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar RA merupakan satu perkara luarbiasa kerana mempercayai sesuatu yang sukar diterima akal. 

Oleh kerana itu, beliau digelar sebagai al-Siddiq.

3. Berani untuk keluar daripada kegelapan kepada cahaya

Jahiliyyah adalah kegelapan manakala Islam adalah cahaya. 

Perubahan daripada kegelapan kepada cahaya bukanlah satu perkara yang mudah. Inilah perkara yang dihadapi oleh para sahabat ketika ingin memeluk Islam.

Mereka berani untuk memeluk Islam walaupun sedar bahaya dan ancaman yang mereka bakal hadapi. Antaranya ialah seorang anak kecil iaitu Ali bin Abi Talib RA dan seorang hamba Zaid bin Thabit RA.

Contoh: Keberanian para Sahabat RA

Ketika penyebaran Islam berjalan secara rahsia, para sahabat berani untuk mempelajari Islam daripada Rasulullah SAW.

Ketika ingin menunaikan solat, mereka akan pergi ke celah-celah bukit dan cuba berselindung daripada pengetahuan kaum mereka. Sekiranya tertangkap, sudah pasti seksaan berat menunggu. 

Namun, keberanian ‘super’ pada diri mereka menghilangkan segala ketakutan yang dirasai.

Contoh: Keberanian Srikandi Islam

Ketika peristiwa hijrah, Asma’ binti Abu Bakar RA mempamerkan keberanian ketika membantu bapanya. Saidatina Asma’ RA bukan sahaja berani berhadapan dengan pihak kafir Quraisy, bahkan beliau sanggup bersabung nyawa merentas padang pasir untuk menghantar bekalan makanan kepada Rasulullah SAW dan ayahandanya. 

Beliau tidak memikirkan padah yang mengundangnya, tetapi memikirkan sumbangan yang boleh diberikan bagi memastikan kejayaan hijrah.

4. Ketegasan dalam berprinsip

Ketegasan dalam berprinsip perlu ada pada seseorang yang ingin menjadi hebat.

Sekiranya prinsip yang dipegang tidak dipertahankan, nescaya musuh mudah meruntuhkannya. Ketegasan dalam berprinsip berbeza daripada sikap ekstrem (melampau) atau beremosi yang didasari nafsu. 

Ketegasan dalam berprinsip perlu berlandaskan aqidah yang benar.

Contoh: Ketegasan Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA

Ketegasan berprinsip Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA ketika memerangi golongan al-Riddah:-
  • Golongan Nabi palsu
  • Golongan yang enggan membayar zakat
  • Golongan yang murtad
Antara tindakan yang diambil oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA:-
  • Menghantar utusan kepada golongan-golongan berkenaan dan menyeru mereka kembali ke pangkuan Islam
  • Memerangi mereka: Beberapa pasukan telah dihantar untuk menentang golongan Nabi palsu, murtad dan yang enggan membayar zakat

5. Semangat juang yang tinggi

Walaupun tentera Islam sudah berada di ambang kekalahan dalam peperangan Uhud, namun mereka telah menunjukkan semangat keperwiraan dan pengorbanan yang hebat, yang tidak ada tolok bandingannya.


Contoh: Semangat juang para Sahabat RA dalam perang Uhud

Abu Talhah RA

Menggunakan tubuh badannya sendiri untuk memagari Rasulullah SAW dan mengangkat dadanya untuk melindungi Rasulullah SAW daripada panahan musuh

Abu Dujanah RA

Berdiri di hadapan Rasulullah SAW sambil membentengi Baginda SAW dengan belakang badannya sedangkan anak panah datang ke arahnya tetapi dia tidak berganjak

Hatib bin Abi Baita’ah RA

Mengekori ‘Utbah bin Abi Waqqas yang telah mematahkan gigi Nabi SAW, lalu dilibas pedangnya sehingga terpenggal leher ‘Utbah. Lalu kuda dan pedang ‘Utbah dirampasnya

Abd Rahman bin ‘Auf RA

Berjuang bermati-matian sehingga mendapat kecederaan pada mulut dan gigi-gigi hadapannya tertanggal

Mus’ab bin Umayr RA

Berjuang dengan sepenuh hati mempertahankan Nabi SAW daripada serangan Ibn Qami’ah al-Laithi

Semangat juang yang tinggi inilah telah menjadikan mereka insan yang hebat dan dijanjikan syurga oleh Allah SWT.

6. Sanggup menghadapi risiko

Antara anak muda yang sanggup berhadapan dengan risiko semata-mata untuk mempertahankan Islam ialah Saidina Ali RA. Beliau menerima arahan daripada Rasulullah SAW dengan yakin bahawa tugasan yang diberikan itu merupakan pemacu kejayaan hijrah Nabi SAW.

Contoh: Saidina Ali RA sang pemberani

Kekentalan peribadi anak muda ini dapat dilihat apabila beliau sanggup tidur di atas katil Rasulullah SAW ketika orang kafir Quraisy telah melakukan persiapan untuk membunuh Baginda SAW

Pada saat-saat genting tersebut, Baginda SAW telah berkata kepada Saidina Ali RA:-
“Tidurlah di atas tempat tidurku, berselimutlah dengan selimut yang berwarna hijau ini. Mereka tidak dapat melakukan apa-apa yang buruk terhadapmu.”
(Rujukan: Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, jilid 1, halaman 482-483)

Tanpa membantah, Saidina Ali RA melaksanakan misi tersebut dengan jayanya.

7. Konsisten dalam setiap perkara

Para sahabat sentiasa konsisten dalam ibadah dan aqidah mereka.

Tatkala diseksa kerana memeluk Islam, mereka terus menyalakan obor iman dan menjaganya daripada padam. Lihatlah bagaimana teruknya, tetapi masih mengekalkan Islam dan iman dalam diri.

Contoh: Istiqamah para Sahabat RA

Uthman bin Affan RA

Bapa saudaranya pernah membungkusnya dalam tikar daun kurma dan kemudian menyalakan api di bawahnya dan disalai

Mus’ab bin Umayr RA

Beliau dihalau keluar dari rumah dan tidak dibenarkan makan sehingga kulitnya mengelupas seperti kulit ular

Sumayyah RA

Telah disula sehingga mati

Yasir RA

Diseksa sehingga mati


8. Kejujuran dan keadilan

Kejujuran dan keadilan merupakan dua perkara wajib yang perlu dihayati oleh setiap Mukmin.

Dua sifat ini telah dibuktikan oleh para sahabat kerana keadilan dan kejujuran mereka. Perkara ini telah disepakati oleh para ulama' apabila membahaskan orang yang adil yang disebut dalam al-Quran, hadith dan ijmak.

Contoh: Kejujuran Saidina Umar al-Khattab RA

Lihat bagaimana Saidina Umar al-Khattab RA yang mentadbir negara selama 10 tahun menegakkan keadilan dan kejujuran secara nyata. Beliau mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan termasuklah anak dan isterinya sendiri

Daripada ‘Zero’ kepada ‘Hero

Begitulah sifat ‘super’ yang ditonjolkan para sahabat. 

Sifat ‘super’ telah mengubah keadaan mereka daripada ‘zero’ kepada seorang ‘hero’. Di samping itu juga, Islam telah tersebar secara meluas hasil usaha dan pengorbanan mereka. 

Terima kasih wahai ahli-ahli syurga sekalian! Semoga kalian diberkati dan dirahmati Allah SWT.

Wallahua'lam