Tawassul Yang Wajib Dijauhi

Dahulu, telah dijelaskan dan dibincangkan pengertian tawassul.

Juga dihuraikan beberapa jenis  dan kaedah bertawassul yang berdasarkan nas al-Quran dan sunnah sebagaimana huraian sebahagian para ulama'.

Namun dalam amalan tawassul, terdapat juga kaedah tawassul yang tidak mengikut hukum syarak.

Kaedah yang tidak mengikut hukum syarak dikhuatiri membawa kepada kerosakan aqidah.

Tawassul yang Wajib Dijauhi

Berdoa kepada ahli kubur dan mayat yang sudah disempurnakan urusan jenazahnya merupakan amalan tawassul yang berlaku dalam budaya sebahagian masyarakat.

Amalan ini tidak bersumberkan kepada nas syarak. Berdoa adalah ibadah dan hanya kepada Allah SWT

Kita berdoa kepada Allah SWT agar Allah SWT mengampuni dosa kita dan orang lain. Dalam amalan menziarahi kubur, kita digalakkan berdoa. Namun, doanya tetap kepada Allah SWT.

Doanya agar Allah SWT mengampuni dan merahmati seseorang yang sudah meninggal dunia. Amalan menziarahi kubur adalah baik. Namun amalan berdoa kepada ahli kubur dengan tujuan mereka sebagai ahli kubur mengabulkan doa permintaan kita adalah salah.

Apabila dirujuk al-Quran, tidak didapati suatu nas al-Quran yang menjelaskan dan mengharuskan permintaan doa kepada ahli kubur. Ziarah kubur mempunyai beberapa tujuan. 

Antara yang utama iaitu:-
  • Mengingatkan diri kita dan menginsafi adanya kematian. Dengan menziarahi kubur, kita akan ingat bahawa satu hari nanti kita juga akan terbujur kaku dan ditempatkan dalam ruang yang sempit. Dengan ingat kepada mati, kita akan lebih bertaqwa.
  • Berdoa kepada Allah SWT agar si mati dirahmati dan diampuni. Berdoa kepada Allah SWT, bukan kepada ahli kubur.
Tawassul di Kubur Tuan Syeikh

Dikisahkan seorang hamba Allah SWT duduk beriktikaf di dalam sebuah masjid. Di tepi masjid tersebut terdapat sebuah kubur wali Allah SWT.


Tidak lama kemudian, datang seroang lelaki A ke masjid dan terus menuju ke arah kubur. Selepas tawaf beberapa kali di kubur tersebut, lelaki itu berdoa kepada tuan Syeikh di dalam kubur agar dia membantu isterinya yang sedang sakit untuk melahirkan anak.

Lelaki A berdoa:-

“Wahai tuan Syeikh yang mempunyai keramat dan keberkatan! 

Saya berdoa kepada tuan agar memudahkan proses kelahiran anak saya. Tolonglah agar isteri saya tidak menghadapi kesakitan dan kepayahan melahirkan anak. 

Peliharalah anak kami daripada bahaya...”

Selepas berdoa kepada tuan Syeikh, lelaki A terus beredar. Tidak lama kemudian datang pula lelaki B. Dia juga tawaf beberapa kali dan akhirnya berdoa kepada tuan Syeikh agar anaknya yang sedang menghadapi peperiksaan dibantu.

Mendengar doa lelaki B itu, hamba Allah SWT yang sedang beriktikaf itu berkata:-

“Minta maaf. Tuan Syeikh tidak ada di dalam kuburnya. Tuan Syeikh ke hospital membantu seorang wanita melahirkan anaknya.”

Kisah ini menggambarkan bagaimana masih wujud kepercayaan untuk meminta hajat dan doa kepada makhluk. Doa ialah ibadah dan ia mesti dilakukan menurut apa yang diperintahkan.

Tawassul yang Menjadi Khilaf Ulama'

Namun ada sejenis tawassul yang diamalkan dalam masyarakat. Tawassul dengan keberkatan dan kesolehan seseorang.

Tawassul ini boleh dibahagikan kepada dua keadaan iaitu:-

Tawassul dengan orang soleh

Yakni kita meminta kepada orang soleh berdoa kepada Allah SWT supaya hajat kita dimakbulkan oleh Allah SWT.

Meminta seseorang mendoakan kita merupakan satu sunnah Nabi Muhammad SAW. Kita boleh berjumpa dengan seorang ulama' untuk meminta beliau berdoa kepada Allah SWT untuk kebaikan kita.

Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai kuasa untuk mengampunkan dosa namun Baginda SAW diberi izin oleh Allah SWT untuk berdoa memohon keampunan bagi seseorang.


Dalam riwayat sunnah, Nabi SAW berpesan kepada seorang sahabat yang akan pergi menunaikan ibadah di Makkah agar tidak melupakan Baginda SAW di dalam doanya.

Maka menjadi keharusan dan kebaikan untuk meminta mana-mana insan lebih-lebih lagi insan yang soleh untuk mendoakan kebaikan bagi kita.

Tawassul dengan menyebut keberkatan seseorang

Contohnya kita berdoa:-

“Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu ya Allah dengan berkat Syeikh polan dan polan agar Engkau merahmati dan mengampuni dosaku.”

Tawassul dalam keadaan menyebut nama seseorang seperti nama Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, dan sebagainya, mempunyai perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama'. Ada ulama' yang mengharuskan doa dan tawassul sebegitu. 

Namun ada ulama' yang mengharamkannya.

Kedua-dua pihak berhujah dengan pelbagai hujah. Hujah mereka panjang dan sudah tentu ada jawapan pula bagi setiap hujah. Dalam hal ini, solusi yang dicadangkan ialah:-
  • Pihak yang bertawassul dengan nama seseorang tidak wajar menuduh pihak lain sebagai membenci orang tersebut
  • Pihak yang tidak mengharuskan tawassul dengan menyebut nama seseorang tidak wajar menuduh pihak yang bertawassul sedemikian dengan tuduhan syirik, kafir dan sebagainya
Sesuatu yang menarik bagi meleraikan kekusutan ini ialah apa yang diungkapkan oleh Hasan al-Banna dalam usul ke-15 daripada Usul 20

Beliau menegaskan:-
“Dan doa apabila diringi dengan tawassul kepada Allah dengan seseorang daripada makhluknya adalah termasuk perkara cabang khilaf dalam kaedah berdoa, dan ia bukanlah daripada masalah aqidah.”

Kaedahnya mudah jika kita semua ada rasa insaf, berlapang dada dan menghormati sesama kita. Dengan mengetahui perbezaan pandangan para ulama', kita perlu berlapang dada.

Satu perkara yang menarik, sikap kita ingin mengamalkan perkara yang tidak disukai oleh orang lain wajar diubah.

Oleh sebab itu, bertawassullah dengan apa yang disepakati oleh para ulama'. Jika ia tidak disepakati, amalkanlah secara individu supaya insan lain tidak marah. Namun apa yang disepakati oleh ulama' keharamannya, amat wajar untuk kita bertegas.

Naudzubillah!

Wallahua'lam