Kebaikan Buah Kurma

Teka-Teki Rasulullah SAW 


Suatu hari, Rasulullah SAW telah berteka-teki dengan para sahabat. Baginda SAW bersabda yang bermaksud:-
“Daripada pelbagai jenis pokok, ada pokok yang daunnya tidak pernah gugur dan sifatnya seperti seorang Muslim, apakah pokok tersebut?”

Para sahabat cuba meneka dan menamakan pelbagai jenis pokok yang terdapat di lembah-lembah.


Abdullah bin Umar yang meriwayatkan peristiwa ini berkata:-



“Aku terfikir bahawa jawapannya mungkin pokok kurma, tetapi aku segan untuk bersuara dalam kalangan orang yang lebih dewasa (kerana beliau masih di usia kanak-kanak).”


Para sahabat bertanya:-


“Apakah jawapannya wahai Rasulullah?”


Baginda SAW bersabda lagi:-


“Kurma.”
(Rujukan: Hadith riwayat al-Bukhari, no. 5027 dan at-Tirmizi, no. 2793)

Daun pokok kurma tidak pernah gugur kerana yang gugur ialah pelepah.

Imam an-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menerangkan bahawa perumpamaan pokok kurma dengan seorang Muslim (dalam riwayat al-Bukhari dan at-Tirmizi menyebut Mukmin) ialah isyarat yang menunjukkan banyaknya faedah pokok kurma.

Rasanya enak, ketahanannya walaupun telah kering tetapi masih boleh dimakan, batang pelepah dan daunnya yang boleh dimanfaatkan sebagai tiang, kayu api, tali dan sebagainya.

Demikianlah seorang Muslim yang memiliki pelbagai kebaikan dengan ketaatan dan amalan-amalan solehnya seperti solat, zakat, sedekah, puasa serta akhlaknya yang mulia.

Ada juga yang berpandangan bahawa persamaannya terletak pada aspek sifat pokok kurma yang akan mati sekiranya dipotong kepalanya, sebagaimana matinya manusia sekiranya dipotong kepala.

Ada juga yang menyamakan kurma dengan manusia dalam aspek tidak mengeluarkan hasil melainkan apabila didebungakan pohon kurma dengan kurma betina sebagaimana manusia berkahwin.

Walaupun sekadar teka-teki, tetapi Baginda SAW sebenarnya sedang mendidik para sahabat, bahkan dapat difahami daripada perumpamaan Baginda SAW ini, suatu kehebatan ilmu yang luas berkenaan zat pemakanan manusia yang berkait dengan kurma.


Makanan Ideal

Kurma sangat kaya dengan zat yang diperlukan oleh tubuh badan manusia. Bahkan dalam sepotong hadith yang lain, Baginda SAW bersabda yang bermaksud:-
“Wahai Aishah, mana-mana rumah yang tidak ada kurma, maka penghuninya akan lapar.


Baginda SAW mengulanginya sebanyak dua atau tiga kali. 
(Rujukan: HR Muslim, no. 3812)

Menurut Yusuf Ahmad dalam bukunya Mawsu’ah al-I’jaz al-Ilmi fi al-Quran wa al-Sunnah al-Mutahhirah (Ensiklopedia Mukjizat Sains dalam al-Quran dan Sunnah), kurma merupakan nikmat agung daripada Allah SWT yang dianugerahkan kepada kita.

Ia membekalkan pelbagai zat yang diperlukan oleh badan dan dapat diserap ke dalam sistem tubuh manusia dengan cepat.

Glukosa yang terkandung dalam buah kurma boleh dihadamkan dengan pantas dan masuk ke dalam sel-sel hati, otak, darah, sistem saraf, sistem otot dan semua jaringan yang lain. Dengan ini, tenaga manusia dapat dikembalikan dengan kadar segera apabila memakan kurma.

Kurma juga makanan paling ideal untuk tubuh manusia kerana ia mengandungi kadar gula yang tinggi dalam bentuk glukosa dan fruktosa, di samping protein, lemak, vitamin A, B2 dan C serta beberapa mineral penting yang lain iaitu kalsium, potassium (kalium), fosforus, magnesium, sodium (natrium) dan florin.

Sunnah Berbuka dengan Kurma

Pada bulan Ramadhan, Rasulullah SAW menyarankan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sabda Baginda SAW yang bermaksud:-

“Apabila seseirang daripada kamu berbuka puasa, maka berbukalah dengan buah kurma. Sekiranya tiada kurma, maka minumlah air kerana ia adalah suci.” (HR at-Tirmizi, no. 594)

Ia sangat bertepatan kerana terbukti secara saintifik bahawa kurma membekalkan sumber tenaga segera kepada manusia, bahkan mengawal pemakanan agar tidak berlebihan kerana rasa letih dan kelaparan sudah berkurang dengan ketara. Namun, perlu diingatkan bahawa berbuka dengan kurma semata-mata mencontohi sunnah Rasulullah SAW, bukannya disebabkan faktor-faktor diet atau kesihatan.


Protein buah kurma dibina daripada 23 jenis asid amino yang sebahagiannya tidak perolehi dalam buah-buahan biasa. Florin dan kalsium pula ialah mineral yang sangat baik untuk kesihatan gigi. Manakala kadar magnesium yang tinggi dan kewujudan selenium dalam kurma, mampu mencegah penyakit kanser.

Kurma juga sangat berguna kepada ibu yang mengandung kerana membekalkan vitamin B6, asid folik, kalium dan magnesium yang berfungsi memantapkan jantung dan peredaran darah. Kalsium yang banyak pula berfaedah untuk tulang dan gigi bayi di dalam kandungan.

Allah SWT telah mengisyaratkan perkara ini dalam kisah kelahiran Nabi Isa AS, apabila Siti Maryam diperintahkan memakan kurma ketika dalam proses melahirkan Baginda AS.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan mengugurkan buah kurma yang masak kepadamu. Maka makan, minum dan bersenang hatilah kamu.” 
Surah Maryam 19:25-26
Tahnik

Satu lagi sunnah yang berkait dengan kurma ialah tahnik, iaitu Rasulullah SAW menggosokkan buah kurma lembut yang telah dikunyah oleh Baginda SAW di lelangit bayi yang baru dilahirkan lalu menggerakkannya di dalam mulut bayi tersebut.


Masyarakat Melayu menyebutnya dengan istilah ‘belah mulut’.

Abu Musa berkata:-
“Aku dikurniakan seorang anak, lalu aku membawanya bertemu Rasulullah SAW, lantas Baginda menamakannya Ibrahim dan melakukan tahnik dengan menggunakan buah kurma serta mendoakannya dengan keberkatan.”
Masyarakat Malaysia kebanyakannya membeli dan memakan kurma hanya pada bulan Ramadhan sedangkan Rasulullah SAW menyimpan stok kurma sepanjang tahun di rumah Baginda SAW.

Marilah kita mengamalkan cara pemakanan Rasulullah SAW sebagai penghayatan kepada sunnah Baginda SAW dan juga mendapat manfaat kesihatan.

Wallahua'lam