Misteri Syaitan Dirantai

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan syaitan dirantai pada bulan Ramadhan, sedangkan kita menyaksikan ada orang yang tidak berpuasa pada bulan Ramadhan, tempat-tempat maksiat masih dibuka dan sebagainya.


Hadith yang berkaitan itu ialah hadith riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Apabila bulan puasa tiba, maka terbuka pintu-pintu syurga, tertutupnya pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dirantai.”
Daripada hadith tersebut, dapat difahami dalam pengertian tersirat (majazi) dan secara tersurat (hakiki).

Dalam pengertian majazi, hadith tersebut terkandung makna bahawa bulan Ramadhan adalah bulan ibadah dan untuk mendekat diri kepada Allah SWT. Allah SWT melimpahkan ganjaran luarbiasa serta dibuka pintu-pintu keampunan-Nya ketika bulan Ramadhan.

Dengan melakukan sedikit amalan sahaja, manusia memperoleh ganjaran yang banyak dan dapat menyebabkan mereka ke syurga.

Sehinggakan syurga pada bulan tersebut bagaikan selalu terbuka. Neraka pula bagaikan tertutup, oleh kerana banyaknya pengampunan daripada Allah SWT. Oleh kerana manusia ketika itu mempunyai kesedaran yang tinggi, syaitan-syaitan pula bagaikan terbelenggu atau dirantai.

Jika hadith ini difahami secara hakiki pula, kita boleh mengatakan bahawa kederhakaan yang timbul akibat godaan syaitan dan rayuan nafsu. Pada bulan Ramadhan, syaitan memang terbelenggu, tetapi nafsu manusia tidak dibelenggu.

Maka akan ada manusia yang nafsunya tidak dapat dikawal, mereka pula akan tetap melakukan kederhakaan dan maksiat kepada Allah SWT.

Ulama'-ulama' menjelaskan bahawa ada perbezaan antara godaan syaitan dan rayuan nafsu


Syaitan menggoda dengan tujuan merugikan manusia.

Syaitan dapat mengubah rayuannya dari semasa ke semasa jika rayuan pertamanya gagal. Berbeza dengan nafsu, yang hanya ingin memuaskan dirinya sehingga apabila dia menginginkan sesuatu, dia tidak akan mengubahnya dan terus mendesak sehingga keinginannya tercapai.

Rahsia Allah SWT

Para ulama' berbeza pendapat dalam menentukan maksud syaitan dirantai pada bulan Ramadhan. Ada ulama' berpandangan bahawa yang dirantai itu hanya syaitan tertentu sahaja. Namun ada juga yang berpandangan semua syaitan dirantai.

Terdapat manusia yang berbuat maksiat dan dosa tanpa godaan syaitan kerana mereka (manusia) sendiri sudah menjadi ‘syaitan’.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar RH, syaitan dirantai boleh ditakrifkan dengan maksud syaitan tidak boleh menggoda umat Islam sepertimana yang dilakukan pada bulan selain Ramadhan kerana umat Islam begitu sibuk dengan ibadat puasa, membaca al-Quran dan mengingati Allah SWT.

Menurut Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi dalam kitabnya Anta Tas’al wa Islam Yujib:-
“Maksud hadith Rasulullah SAW tersebut ialah agar kita membuat suatu situasi dan keadaan yang menjadikan syaitan-syaitan terbelenggu atau terantai dan tidak menggoda manusia untuk melanggar hukum dan melakukan dosa. 



Sehinggakan yang ada hanyalah amal-amal yang baik, dan pintu syurga pun terbuka.”
Tidak Perlu Perbahasan

Ada ulama' yang mengatakan bahawa hadith tersebut menyatakan tentang perkara-perkara yang tidak diterangkan secara terperinci oleh syarak dan kita hendaklah menerimanya tanpa perbahasan


Ini lebih selamat untuk agama seseorang.

Apabila Abdullah iaitu anak kepada Imam Ahmad bin Hanbal bertanya kepada bapanya tentang segelintir manusia yang diserang histeria pada siang hari Ramadhan, Imam Ahmad menjawab:-
“Inilah yang disebut dalam hadith dan kami tidak membincangkannya.”
Tambahan pula, apa yang jelas tentang maksud hadith ini adalah mereka terhalang daripada menggoda manusia kerana begitu ramai umat Islam yang mendekatkan diri kepada Allah SWT pada bulan ini.

Oleh sebab itu, maksud sebenar ‘syaitan dirantai’ hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. 

Ini tidak bererti kejahatan tidak berlaku atau manusia berhenti membuat dosa pada bulan Ramadhan.

Wallahua'lam