Remeh-Temeh Tentang Puasa

Ketika menjalani ibadah berpuasa, seseorang itu hendaklah sentiasa berhati-hati dan menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mencacatkan ibadah puasa yang dikerjakan.

Berikut merupakan sedikit daripada hukum fiqah yang dikutip dari pandangan ulama':-

Hukum Air Memasuki Telinga

“Apakah hukumnya jika seseorang yang berpuasa memasukkan air ke dalam telinganya dengan sengaja? Bagaimana pula jika tidak sengaja?”

Dalam permasalah ini, sekiranya air yang dicurahkan itu sampai ke otaknya, maka puasanya boleh terbatal

Tetapi jika dilakukan dengan tidak sengaja, tanpa disedari atau dipaksa, maka tidaklah membatalkan puasa.

Hukum Mengenai Suntikan

“Ramai orang yang keliru tentang suntikan yang dilakukan ketika seseorang berpuasa sama ada dibolehkan atau tidak. Bagaimana pula hukumnya kalau menerima suntikan sebagai ganti makanan yang memberi tenaga ketika berpuasa?”

Suntikan biasa tidak membatalkan puasa. Ini berdasarkan pendapat kebanyakan ahli ilmu. Imam Nawawi RH menyatakan tentang hal ini dalam kitab al-Majmuk yang menyebut:-
“Jika dimasukkan ubat ke dalam daging betis atau ditusuk dengan pisau dan lainnya sehingga sampai ubat tersebut kepada otak, nescaya tidak membatalkan puasa tanpa khilaf. Ini disebabkan bahagian itu tidak termasuk dalam anggota rongga yang terbuka.”
Adapun suntikan sebagai ganti makanan, hukumnya tidak disepakati oleh para ulama' masa kini. Jumhur ulama' berpendapat puasa batal kerana dikira sebagai makan dan minum. 

Inilah pendapat mazhab as-Syafi'e, Maliki, Hanbali dan lain-lain.

Itu kerana hikmah puasa iaitu menahan diri daripada makan dan minum telah hilang daripadanya kerana suntikan tersebut telah membuatkannya tidak merasa lapar pada siang hari bulan Ramadhan.

Pendapat ini telah ditarjihkan oleh banyak ulama' antaranya Syeikh Muhammad al-Syaibah dalam kitabnya Tabyin al-Masalik.


Hukum Menelan Kahak

“Apakah hukumnya jika seseorang yang sedang berpuasa menelan air liurnya sendiri? Bagaimana pula kalau sekiranya dia menelan kahak?”

Menelan air liur tidaklah membatalkan puasa walaupun kuantitinya banyak. Ini disebabkan kesukaran untuk mengawalnya. Tetapi hendaklah dengan syarat air liur itu tidak bercampur dengan darah atau benda-benda lain dalam kuantiti yang banyak.

Sekiranya air liur itu bercampur dengan benda-benda lain dalam kuantiti yang sedikit, maka tidaklah merosakkan puasanya. Begitu juga sekiranya dihimpunkan air liur itu ke dalam mulutnya kemudian ditelan, tetap tidak membatalkan puasa.

Adapun jika orang yang berpuasa menelan kahak, puasanya boleh terbatal. Namun terdapat pengecualian bagi orang tua yang merasa sukar untuk meludahkan kahak tersebut.

Hukumnya tidaklah membatalkan puasa menurut pandangan mazhab as-Syafi'e dan satu riwayat dari Imam Ahmad bin Hambal.

Syariat Islam itu adalah amat mudah untuk diikuti dan tidak menyukarkan urusan ibadah umatnya.

Hukum Mengenai Sisa Makanan

“Bagaimana pula hukumnya tentang sisa-sisa makanan yang melekat di celah-celah gigi yang tertelan bersama air liur?”

Mengikut kebanyakan ahli ilmu termasuk mazhab Maliki, mazhab Syafi'e dan mazhab Hambali, puasanya tidak batal sekiranya susah untuk membezakan antara air liur dan sisa makanan tersebut.

Juga tidak membatalkan puasa sekiranya susah untuk meludahkannya kerana terdapat halangan dan tanpa kecuaiannya.

Hal ini sekiranya sisa makanan itu sedikit. Jikalau sisa makanan itu banyak kuantitinya, maka keadaan itu membolehkan puasanya terbatal.

Hukum Air Masuk ke Hidung

“Apakah hukumnya jika debu tanah atau pasir di jalanan, lalat dan sebagainya masuk ke dalam rongga ketika seseorang berjalan? Adakah puasanya terbatal jika air masuk ke dalam hidung ketika berwuduk sampai ke dalam rongga?”

Puasanya tidak batal kerana hal ini termasuk dalam kaedah umum al-bahwa (perkara yang sukar untuk dielakkan).


Air berkumur atau air yang dimasukkan ke dalam hidung apabila masuk ke dalam rongga tidak membatalkan puasa. Tetapi jika sekiranya dimasukkan air secara berlebihan ketika berwuduk, maka hal ini boleh membatalkan puasa.

Hukum Mengenai Air Hujan

“Apakah hukumnya jika seseorang yang berpuasa itu sengaja mendongak ke langit dan dengan tiba-tiba air hujan masuk terus ke dalam halkumnya?”

Hukum puasanya dianggap batal kerana dia mampu untuk mengelaknya daripada berbuat demikian dan perbuatan tersebut dilakukan dengan sengaja.

Seandainya air hujan itu dengan tidak sengaja memasuki mulutnya dan terus masuk ke dalam halkumnya tanpa disedari, maka puasanya dianggap tidak batal. 

Dia boleh meneruskan puasanya seperti biasa.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment