Adab Santapan Berjemaah

Amalan makan secara berjemaah merupakan salah satu sunnah Rasulullah SAW.

Ibn Umar RA ada menyatakan bahawa Rasulullah SAW menyuruh supaya makan secara beramai-ramai dan melarang daripada makan seorang diri.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Makanlah kamu secara berkumpulan dan janganlah kamu makan secara terpisah. 

Sesungguhnya makanan yang disedikan untuk seorang mencukupi untuk dua orang. 

Makanan yang disediakan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang. 

Makanan yang disediakan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.” 

Hadith Riwayat Muslim
Hadith ini menunjukkan bahawa keberkatan bertambah apabila bilangan orang yang turut serta dalam berkongsi makanan tersebut bertambah.

Imam Ibn Hajar al-Asqalani berkata dalam kitab Fath al-Bari:-
“Sesungguhnya keberkatan semakin bertambah apabila bertambahnya bilangan orang yang turut serta berkongsi makanan tersebut.”
Imam Ahmad RH pernah berkata:-

Apabila makanan yang kalian makan itu terdapat empat perkara, maka sesungguhnya ia telah sempurna. Empat perkara itu adalah:-
  • Menyebut nama Allah pada permulaannya;
  • Memuji nama Allah pada penghujungnya;
  • Banyak tangan yang menyentuh;
  • Makanan  itu daripada sumber yang halal
Adab-Adab Santapan Berjemaah

Adab 1: Menyentuh makanan selepas membaca Basmalah

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Sesungguhnya syaitan akan turut menyertai makan yang tidak disebut nama Allah terlebih dahulu.” 
Hadith Riwayat Muslim

Adab 2: Mendahulukan seseorang yang lebih tua atau lebih soleh mengambil makanan

Huzaifah bercerita bahawa para sahabat tidak pernah mendahului Rasulullah SAW mengambil makanan. Sebaliknya, mereka menunggu Rasulullah SAW memulakannya. 
(Rujukan: HR Muslim)

Adab 3: Mengambil makanan yang terdekat

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Wahai ghulam, sebutlah nama Allah sebelum makan. 

Makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang hampir dengan mu.” 

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Adab 4: Berpada-pada menyantap hidangan

Abdullah bin Umar RA berkata yang bermaksud:-
“Sesungguhnya Rasulullah melarang memakan dua biji buah tamar sekaligus melainkan dengan meminta izin daripada saudara-saudaranya terlebih dahulu.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Adab 5: Digalakkan untuk bercakap-cakap ketika makan

Ishak bin Ibrahim berkata yang bermaksud:-
“Suatu hari aku makan malam bersama Imam Ahmad bin Hambal dan ahli keluarganya. Kami pun tidak berkata-kata apabila mula makan. Imam Ahmad pun berkata:-

‘Makan sambil memuji Allah lebih baik daripada makan sambil diam sahaja.’”
Adab 6: Tidak meniup makanan yang panas

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Apabila seseorang daripada kalian minum, maka janganlah dia bernafas ketika minum.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Menurut ulama', larangan meniup makanan yang panas adalah untuk mengelakkan keluarnya sesuatu daripada hidung dan mulut lalu terjatuh ke dalam makanan. Bahkan tiupan daripada mulut boleh menyebabkan bau-bauan yang mungkin tidak disenangi oleh orang lain.

Semoga Allah SWT memudahkan kita semua untuk mengikuti adab-adab yang diajar oleh Rasulullah SAW ini ketika makan secara berjemaah.


Sesungguhnya agama Allah SWT yang sangat indah ini begitu mengambil berat akan urusan hubungan sesama manusia. Maha Suci Allah dan benarlah Baginda SAW itu adalah pembawa rahmat ke sekalian alam.

Wallahua'lam