Ramadhan Bulan al-Quran

Alhamdulillah, ketibaan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan disambut oleh Mukmin dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan kerana bulan ini dipenuhi rahmah, pahala, keampunan dan pembebasan daripada api neraka.

Ramadhan bulan al-Quran, bulan yang padanya permulaan diturunkan al-Quran

Maka disyariatkan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran pada bulan yang mulia ini. 

Hidupkan bulan ini dengan tilawah, tadarus serta mengamalkan al-Quran sepenuhnya kerana pada bulan ini syaitan-syaitan penghasut manusia telah dibelenggu. 

Inilah peluang kita untuk meraih taqwa dan ganjaran pahala amal ibadat yang telah dijanjikan oleh Allah SWT untuk hamba-hamba-Nya yang beriman.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:-
“Bulan Ramadhan, bulan yang padanya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).” 
Surah al-Baqarah 02:185
Kelebihan membaca al-Quran telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam beberapa hadith antaranya:-

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:-
‘Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah, maka baginya satu hasanah (satu kebajikan). 


Dan hasanah itu pula digandakan sebanyak 10 kebajikan seumpamanya. 

Aku tidak katakan ‘Alif Lam Mim’ itu sebagai satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.’ 

Hadith Riwayat at-Tirmizi, no. 2910
Daripada Abu Umamah al-Bahili RA katanya:-
“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):-


‘ Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari kiamat dengan memberi syafaat (pertolongan) kepada tuan (pembacanya)’” 

Hadith Riwayat Muslim, no. 804
Allah SWT telah mengarahkan supaya hamba-hamba-Nya membaca al-Quran dan menyatakan inilah jalan (sifat) orang yang soleh, sebagaimana ayat-Nya yang bermaksud:-
“Sesungguhnya orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka secara bersembunyi dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi. 


Agar Allah menyempurnakan kepada mereka pahala mereka dan menambahkan kepada mereka daripada kurniaan-Nya. 

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.”

Surah al-Fatir 35: 29-30
Membaca al-Quran itu ialah satu perniagaan yang sangat menguntungkan pada setiap tempat dan masa (sepanjang tahun). Tetapi dalam bulan Ramadhan, ia mempunyai kedudukan dan tempatnya yang sangat tinggi. 

Nabi SAW memberi penekanan yang lebih kepada al-Quran dalam bulan ini kerana beberapa sebab.


1. Wahyu Pertama

Permulaan turunnya al-Quran adalah pada bulan Ramadhan, pada malam malaikat Jibril AS datang membacakan surah al-‘Alaq, ayat 1-5 kepada Baginda SAW.

Kisah turunnya Jibril AS membawa wahyu yang pertama ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah RA dengan katanya:-
“Keadaan Rasulullah SAW pada permulaan mendapat wahyu ialah melalui mimpi yang benar dalam tidur. Baginda SAW dapat melihatnya dengan jelas seperti bermulanya waktu Subuh, kemudian Baginda suka bersendirian. 


Rasulullah SAW mula bersendirian di Gua Hira’ untuk beribadat atau ‘tahannuth’ (tidak ada ulama' yang menceritakan apakah bentuk atau jenis ibadat yang dilakukan sebelum turunnya wahyu) untuk beberapa lama (Baginda berada di sana) sehinggalah kebenaran (wahyu) datang kepadanya ketika Baginda berada di dalam Gua Hira’.”
Baginda SAW bersabda yang bermaksud:-

“Malaikat datang dan berkata: ‘Bacalah!’

Dan aku berkata: ‘Aku tidak tahu membaca.’

Jibril lalu memelukku dengan begitu kuat sehingga aku tidak tertahan lagi. Kemudian dia melepaskan aku dan berkata lagi: ‘Bacalah.’

Aku berkata lagi: ‘Aku tidak tahu membaca.’

Dia sekali lagi memelukku dengan begitu kuat sehingga aku tidak tertahan lagi. Lalu dia melepaskan aku dan berkata lagi: ‘Bacalah.’

Aku berkata lagi: ‘Aku tidak tahu membaca.’

Untuk kali ketiga dia memelukku dengan begitu kuat sehingga aku tidak tertahan lagi. Lali dia melepaskan aku dan berkata:-
‘Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Maha Mencipta (semua makhluk). Dia menjadikan manusia daripada tanah liat. Bacalah! Dan Tuhanmu adalah Yang paling Mulia.’
Rasulullah SAW kembali ke rumahnya bersama-sama wahyu tersebut dengan hati yang berdebar dan ketakutan, isterinya, Saidatina Khadijah RA telah menenangkannya...”

(Rujukan: HR al-Bukhari, no 3)

2. Dari Lohmahfuz ke Baitul Izzah

Pada bulan Ramadhan juga, al-Quran diturunkan dari Lohmahfuz ke langit dunia.

Sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Abbas RA, dan telah disebut oleh para ulama' salaf bahawa al-Quran itu diambil dari Lohmahfuz dan diturunkan ke Baitul Izzah di langit dunia (yang paling bawah) pada malam Lailatulqadar

Kemudian al-Quran turun kepada Nabi SAW mengikut kesesuaian masa dan peristiwa, yang berlangsung selama 23 tahun sebagaimana yang telah dicatat dalam kitab Asbab al-Nuzul (sebab-sebab turun ayat al-Quran).

Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan, pada malam Lailatulqadar iaitu malam yang diberkati. Ini sebagaimana dalam ayat di atas dan ayat-ayat al-Quran yang berikutnya yang bermaksud:-
“Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami yang memberi peringatan.” 
Surah ad-Dukhan, 44:3
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan.” 
Surah al-Qadr 97:1
Mereka berbeza pendapat tentang tarikh sebenar turun al-Quran dari Lohmahfuz ke langit dunia kepada tiga pendapat iaitu pada 17, 21 dan 24 Ramadhan.


Dalil bagi pendapat yang mengatakan pada 24 Ramadhan bersandarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Wathilah bin al-Asqa’ RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda  yang bermaksud:-
“Diturunkan Suhuf Nabi Ibrahim pada malam pertama Ramadhan, Taurat pula diturunkan pada enam Ramadhan, diturunkan Injil pada tiga belas Ramadhan, manakala al-Furqan (al-Quran) pula diturunkan pada dua puluh empat Ramadhan.” 
Hadith Riwayat Imam Ahmad. Hadith ini dinilai hasan oleh Syeikh al-Albani dan sahih oleh Syeikh Ahmad Shakir)
3. Tadarus Bersama Jibril AS

Malaikat Jibril AS bertemu Rasulullah SAW untuk mengulangkaji (tadarus) al-Quran pada setiap kali malam pada bulan Ramadhan.

Daripada Ibn Abbas RA:-
‘Rasulullah SAW seorang manusia yang paling pemurah dan sifatnya ini berganda-ganda (menjadi lebih pemurah) pada bulan Ramadhan dan apabila Jibril datang menemuinya. 


Pertemuan ini pada setiap malam Ramadhan untuk mengulangkaji al-Quran. 

Maka sifat pemurah Rasulullah SAW lebih laju daripada angin yang kencang.” 

Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 6 dan Muslim, no. 2308
Nabi SAW menceritakan bahawa Jibril membacakan al-Quran kepadanya setiap tahun sekali pada bulan Ramadhan, dan pada tahun kewafatan Baginda SAW sebanyak dua kali. 

(Rujukan: HR al-Bukhari, no. 264 dan Muslim, no. 2450)

Maka dalam bulan Ramadhan, Nabi SAW dan Jibril AS mengkhususkan waktu mengulangkaji ayat-ayat al-Quran yang telah diturunkan kepada Baginda SAW.

Baginda SAW membacanya sambil didengar oleh Jibril AS yang akan memberitahu Baginda SAW apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT daripada ayat-ayat tersebut dan juga apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk dinasakhkan.

Jibril AS juga menerangkan makna-makna ayat al-Quran dan membincangkannya dengan Rasulullah SAW.

Maka para ulama' telah membuat kesimpulan bahawa disyariatkan agar mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadhan kerana setiap tahun, Rasulullah SAW dan Jibril AS telah mengulangkaji semua ayat-ayat al-Quran yang telah diturunkan kepada Baginda SAW sebelumnya.

Malah pada Ramadhan tahun terakhir sebelum kewafatan Baginda SAW, mereta telah mengulangkaji sebanyak dua kali.


Inilah dalil yang menunjukkan bahawa setiap Muslim digalakkan mengkhatamkan al-Quran seluruhnya sekurang-kurangnya sekali atau lebih pada setiap Ramadhan. Bahkan yang sunnahnya mengkhatamkan al-Quran sekali pada setiap bulan, bagi yang mampu pula pada setiap minggu, bahkan jika mampu lagi pada setiap tiga hari, sebagaimana hadith Rasulullah SAW

(Rujukan: HR al-Bukhari, no. 5052 dan Muslim, no. 1159)

Kerana itulah para ulama' salaf telah mengkhususkan satu bahagian besar dari waktu mereka pada bulan Ramadhan untuk membaca al-Quran. Sehinggakan Imam al-Zuhri telah berkata:-
“Apabila tiba bulan Ramadhan, maka ia waktu untuk al-Quran dan memberi makan (orang berbuka puasa).”
Kitab Al-Tamhid, jilid 6, halaman 111
Diriwayatkan bahawa Imam Malik RA pula, apabila tiba bulan Ramadhan, beliau berhenti daripada membaca (mengajar) hadith dan menggantikannya dengan membaca al-Quran al-Karim dari mashaf.

Begitu juga para ulama' yang lain, memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan. Sebahagian mereka mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh tiga malam, sebahagian lagi setiap minggu khatam sekali dan sebahagian yang lain pula dalam tempoh 10 hari sekali, mereka membacanya ketika dalam solat dan luar solat.

Imam as-Syafi'e RH akan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan.

Ibn Rajab berkata:-
“Larangan mengkhatamkan al-Quran kurang dari tiga hari ialah bagi mereka yang menjadikannya satu amalan biasa yang berterusan. 


Adapun pada waktu-waktu yang terdapat keutamaan seperti pada bulan Ramadhan, khususnya pada malam-malam yang dijangkakan Lailatulqadar ataupun ketika berada di tempat-tempat yang mempunyai kelebihan seperti di Makkah bagi orang luar yang memasukinya, maka disunatkan memperbanyakkan membaca al-Quran sebagai mengambil peluang masa dan tempat.”

Kitab Lataif al-Ma’arif
Puasa dan al-Quran Pemberi Syafaat

Maka dapat disimpulkan bahawa pada bulan Ramadhan, al-Quran diturunkan dari Lohmahfuz ke langit dunia, permulaan turunnya al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW, juga sewaktu Rasulullah SAW dan Jibril mengulangkaji ayat-ayat al-Quran dan menyemaknya. Sebab-sebab inilah yang menjadikan para ulama' sangat mengambil berat dan menumpukan kepada bacaan al-Quran al-Karim pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Puasa dan al-Quran merupakan dua amal ibadat yang datang bersama, sebagaimana hadith Nabi SAW yang bermaksud:-
“Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada seorang hamba itu pada hari kiamat nanti. Berkata puasa:-


‘Wahai Tuhanku, aku telah menghalangnya daripada makan minum dan menahan nafsu syahwatnya pada siang hari, maka jadikanlah aku pembantunya.’

Berkata pula al-Quran:- 

‘Wahai Tuhanku, aku telah menghalangnya daripada tidur pada malam hari, maka jadikanlah aku pembantunya.’

Maka kedua-duanya akan memberi syafaat kepada orang yang beramal dengannya.” 

Hadith Riwayat Imam Ahmad, no. 3882

Kepada mereka yang telah mensia-siakan peluang ini dan melampaui batasan hukum Allah SWT, suka bertangguh-tangguh untuk melakukan amal ibadat, tidak memenuhi bulan Ramadhan dengan amal ibadat yang sepatutnya, tidak membaca dan beramal dengan al-Quran dan tidak menggunakannya sebagai jalan dan panduan hidup, maka bagaimana mereka mahu al-Quran dan amalan-amalan lain menjadi pembantu dan memberi syafaat pada hari kiamat kelak?

Jadikan Ramadhan tahun ini lebih baik penghayatannya berbanding Ramadhan yang sebelumnya.

Wallahua'lam