Agar Selalu Sihat Seperti Rasulullah SAW

Rasulullah SAW mula berperang ketika usianya 55 tahun, tidak seperti semasa remajanya (hanya menyediakan bekalan perang), iaitu di dalam perang Badar.

Baginda SAW turun padang secara langsung, memegang pedang dan berdepan dengan musuh-musuh Islam.

Ertinya, pada usia 55 tahun, Baginda SAW adalah seorang yang sangat sihat, tangkas dan cergas

Perut dan dadanya sentiasa separas.

Ironinya, ramai umat Islam sudah tidak sihat seperti Nabi Muhammad SAW ketika usia mereka menjangkau 50-an.

Ramai yang sudah sakit-sakit, dengan kadar kolestrol, tekanan darah dan paras gula yang tinggi.

Usahkan berperang, untuk berjalan pun adakalanya sudah keletihan dan tidak berdaya.

Apakah punca jadi begitu?

Salah satu sebab yang paling besar ialah tidak cakna dalam menjaga kesihatan, terutamanya dalam mengawal pemakanan atau diet harian. Sedangkan mengikut hukama, perut itu sarang penyakit. Jika kita dapat ‘menjaga’ perut, ertinya kita dapat menjaga kesihatan.

Malangnya, kini umat Islam sudah tidak prihatin lagi untuk mengawal jumlah kalori, bahan makanan, waktu serta cara makan yang betul.

Sedangkan perkara ini sangat diambil berat oleh Rasulullah SAW. Dalam al-Quran dan al-Hadith begitu banyak menyentuh tentang makan dan pemakanan

Ini secara tidak langsung menunjukkan betapa pentingnya soal makan dan pemakanan dalam Islam.

Tujuan Makan

Makan bukan sekadar untuk kenyang, tetapi lebih daripada itu, makan adalah untuk mendapat tenaga. Tujuan tenaga ialah untuk melakukan aktiviti hidup. Aktiviti hidup seseorang menentukan sama ada seseorang itu baik atau sebaliknya. Orang yang baik akan melakukan amal soleh.

Manakala orang yang jahat akan melakukan kemaksiatan

Dalam Islam, makanan ada kesan pada pembentukan aktiviti manusia.

Makanan memang memberi pengaruh besar.

Ia dapat menguatkan mental dan fizikal. Tetapi jika tidak dijaga, ia boleh memudaratkan.

Namun, yang paling penting makanan memberi kesan kepada jiwa dan hati kita.

Apabila makanan tidak halal dimakan, hati akan gelapHati yang gelap akan menghalang kebaikan.

Sekalipun ilmu yang berada dalam diri banyak tetapi apabila hati terhijab, ilmu tersebut tidak akan membuahkan amal

Atau, sekalipun beramal tetapi niatnya tidak ikhlas.

Makanan yang haram juga menyebabkan doa tertolak. Padahal doa itu adalah senjata orang Mukmin. Tanpa senjata, seseorang itu akan diratah oleh musuhnya. Begitulah tanpa doa, orang Islam akan mudah ditipu oleh syaitan, hawa nafsu, kekafiran dan kemunafikan.

Jadi makanan ini penting. Jangan bersikap ‘membujur lalu, melintang sapu’ sahaja. Perlu diteliti status halal, kebersihan dan kebaikannya sama ada dari segi fizikal, mental dan spiritualnya.

Selain aspek halal, juga perlu diteliti bagaimana cara memperolehnya. 

Contohnya, ayam memang halal, tetapi bagaimana cara mendapatkan ayam tersebut?

Apakah dibeli dengan wang yang halal?

Bagaimana pula cara memprosesnya?

Mungkin sesetengah pihak, hal-hal ini sangat leceh dan menyusahkan. Namun, inilah sikap orang Mukmin, yakni sangat berhati-hati dengan apa yang hendak dimasukkan ke dalam mulutnya.

Rasulullah SAW Contoh Terbaik

Dalam al-Quran ada menyebutkan apabila makan, jangan berlebihan

Berlebihan itu sangat merosakkan. Ya, makanan halal sekalipun, tidak boleh diambil secara berlebihan. Akibat kenyang keterlaluan, badan akan lesu, mata akan mengantuk.

Ini bukan sahaja melemahkan fizikal bahkan otak akan lembap dan jiwa akan lemah. Apabila hati sudah lemah, seseorang akan menjadi lalai dan malas melakukan ibadah. 

Hendaknya, hanya rehat-rehat dan bermalas-malasan sahaja. 

Oleh sebab itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Wadah (bekas) yang paling dibenci Allah ialah perut yang ketat (penuh) dengan makanan sekalipun halal.”
Cuba lihat bagaimana Rasulullah SAW makan, Baginda SAW makan hanya apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Baginda SAW tidak makan dengan bersandar.

Cara makannya penuh dengan sifat-sifat kehambaan, yakni sentiasa tawadduk.


Baginda SAW juga sering berpuasa. Baginda SAW makan dengan penuh adab dan sentiasa makan berjemaah. Justeru, tidak hairanlah jika kesannya,

Baginda SAW menjadi orang yang sangat sihat, berjalan dengan laju, mudah bangun malam dan sentiasa bersemangat dan bertenaga untuk melakukan aktiviti dakwah dan jihad.

Sungguh, Baginda SAW telah mendapat barakah daripada apa yang dimakannya. Sehingga dengan itu, Baginda SAW diberikan kelebihan untuk sihat dan taat; hasil makan yang dimakannya. 

Kadangkala, apa yang dimakannya cuma sedikit, tetapi sedikit itu sudah mencukupi. Kadangkala, Baginda SAW mendapat rezeki yang banyak, maka banyak pula yang dihadiahkan dan disedekahkan kepada orang lain.

Budaya ‘Fast Food’

Bagaimana pula dengan ‘fast food’ yang kebanyakannya sudah menjadi satu yang ‘trendy’ di kalangan remaja?

Fast food tidak salah. Islam membenarkan kita memakan makanan dari mana jua, Barat, Cina, India dan sebagainya. Apa yang penting ialah apakah bahannya halal, dan bila kita memakannya, makanlah secara yang beradab.

Namun, jangan sekali-kali membazir.

Kebanyakan fast food jenama luar negara selalunya mahal dan kandungan lemak dan minyaknya sangat tinggi. 

Jika ada makanan tempatan yang lebih baik, lebih bersih malah lebih berzat, kenapa tidak diutamakan?


Jagalah kesihatan melalui menjaga pemakanan. Orang Mukmin yang dicintai Allah SWT ialah dia yang sihat iman dan badannya. Menjaga pemakanan sudah menjadi keperluan yang sangat tinggi dalam kehidupan.

Jumlah pesakit yang disebabkan makanan yang berlebihan sudah begitu tinggi termasuk di negara-negara umat Islam khususnya. 

Sepatutnya, hal ini tidak berlaku jika umat Islam benar-benar mencintai dan meneladani Rasulullah SAW dalam aspek pemakanan seharian mereka.

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment