Bolehkah Kita Hidup Tanpa Telefon Bimbit?

Telefon bimbit sudah menjadi sesuatu yang sukar untuk dipisahkan daripada kehidupan seharian kita. Sekitar 10-15 tahun yang lalu, ia menjadi simbol status orang yang memilikinya, lantaran kos yang tinggi untuk alat telefon dan langganan perkhidmatannya.


Waktu itu, tidak ramai yang membawa telefon bimbit ke sana ke mari melainkan mereka yang berkemampuan. Sekarang, situasi sebaliknya boleh dilihat. Amat jarang kita jumpa orang yang tidak mempunyai telefon bimbit.

Kalau dahulu, kebanyakan pemiliknya terdiri daripada ahli-ahli perniagaan, kini para pekerja sektor awam dan swasta, mahasiswa, petani, pekerja binaan, pemotong rumput, malah pelajar sekolah pun sudah memilikinya.

Ini menunjukkan kos bukanlah satu isu dalam pemilikan telefon bimbit.

Para penyedia perkhidmatan memberikan pelbagai kaedah dan tawaran, manakala harga telefon itu sebdiri sudah menjadi semakin murah. Dengan ini, sama ada kita sedar ataupun tidak, telefon bimbit sudah menjadi sebahagian daripada keperluan hidup kita seharian.

Hidup Lebih Mudah


Namun, pernahkah kita terfikir, bolehkah kita hidup tanpa telefon bimbit?

Atau dengan maksud lain, adalah kita benar-benar perlu menggunakan telefon bimbit?

Mungkin ada yang menganggap soalan ini sebagai sesuatu yang tidak masuk akal. Hakikatnya, manusia pernah hidup tanpa telefon bimbit. Malah, manusia dahulukala pernah hidup tanpa kecanggihan teknologi yang kita kecapi sekarang.

Akan tetapi kehidupan manusia telah jauh berubah. Tamadun manusia zaman sekarang berbeza dengan apa yang ada dahulu.

Tuntutan-tuntutan kehidupan masa kini jauh lebih mencabar, yang memerlukan peningkatan keupayaan manusia yang jauh lebih tinggi berbanding dahulu. Teknologi yang dibangunkan oleh manusia bertujuan untuk meningkatkan keupayaan tersebut.

Jadi, penggunaan teknologi, sama ada dalam bentuk alat atau kaedah bertujuan untuk mencapai matlamat-matlamat yang telah dikenalpasti bagi sesuatu teknologi.

Oleh sebab itu, kita mungkin boleh mula bertanya, untuk apa kita menggunakan telefon bimbit?

Tujuan utama bagi kebanyakan orang ialah untuk berkomunikasi, agar boleh menghubungi dan dihubungi. Selain dalam bentuk suara, pesanan ringkas (SMS), pesanan multimedia (MMS) serta panggilan video dan e-mel sudah pun menjadi cara kita berkomunikasi menggunakan telefon bimbit.

Seringkali dengan hanya membuat ‘missed call’ sudah boleh menyampaikan maksud tertentu yang telah dipersetujui, sebagai contoh:-

“Saya sudah sampai dan sedang menunggu di bawah.”

Kita juga menggunakan telefon bimbit untuk mendapatkan maklumat dengan melanggan perkhidmatan tertentu seperti penyampaian berita terkini, doa harian dan sebagainya.


Ada juga yang melayari internet melalui telefon bimbit. Semakin ramai menggunakan telefon bimbit untuk membantu merancang perjalanan aktiviti seharian dengan fungsi kalendar, penggera dan sebagainya bagi mengingatkan waktu mensyuarat, tugas yang perlu dilaksanakan dan seumpamanya. 

Satu fungsi telefon yang popular adalah untuk merakam atau memainkan rakaman audio visual seperti bacaan al-Quran, zikir dan selawat. Lagu (seharusnya yang tidak melalaikan!), foto dan video.

Malah siaran radio dan televisyen juga mampu dicapai dengan telefon bimbit.

Cuma Alat, Bukan Matlamat


Prof. Sidek Baba, profesor dalam bidang pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pernah mengatakan bahawa teknologi ialah alat, bukan matlamat.

Kata-kata beliau boleh diangap sebagai satu peringatan kepada kita bahawa kita harus jelas tentang tujuan kita menggunakan sesuatu teknologi. 

Tujuan tersebut ialah matlamat yang ingin kita capai dengan menggunakan teknologi sebagai alat atau kaedah ke arah mencapai matlamat tersebut. Dengan kata lain, matlamat kita yang mengawal penggunaan teknologi kita.

Dalam hal ini, matlamat kita mesti jelas.

Atau dengan kata lain, kita mampu menjawab soalan:-

“Mengapa kita mahu menggunakan sesuatu teknologi?”

Ini mengingatkan kita kepada hadith Rasulullah SAW yang sangat terkenal, maksud hadith berbunyi:-
“Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang diniatkan.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Jadi, apa niat, tujuan dan matlamat kita?


Di sini terdapat dua perkara yang dapat diutarakan. Pertama, matlamat penggunaan sesuatu teknologi haruslah berlandaskan panduan dan tujuan yang digariskan oleh Islam. Sewajarnya matlamat tersebut bukan sesuatu yang dilarang oleh Allah SWT.

Bertitik tolak daripada itu, secara umumnya, kita boleh menilai tahap kepentingan mencapai matlamat tersebut. 

Paling asas, kita boleh bertanya beberapa soalan seperti berikut:-
  • Adakah kita perlu mencapai matlamat tersebut?
  • Adakah kita perlu mencapainya dengan kadar segera?
  • Adakah kita boleh menangguhkannya, mungkin kerana terdapat perkara lain yang lebih mendesak yang perlu kita beri perhatian?
  • Adakah mungkin bagi kita melupakannya terus kerana sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang begitu penting?
Dengan bertanyakan soalan-soalan seperti ini, kita dapat membuat penilaian terhadap tahap keperluan kita untuk menggunakan sesuatu teknologi, berdasarkan matlamat yang kita ingin capai menerusi penggunaan teknologi tersebut.

Kedua, matlamat tersebut harus berada di kedudukan yang lebih tinggi daripada teknologi yang kita gunapakai. Maknanya, kita menumpukan usaha kita untuk mencapai matlamat tersebut, bukan ‘terperangkap’ dengan alat atau kaedah teknologi yang kita gunakan.

Kita boleh bertanya, adakah terdapat cara atau alatan lain yang boleh kita gunakan untuk mencapai matlamat yang sama, tanpa terikat dengan alat atau kaedah tertentu?

Persoalan ini menjadi penting terutamanya apabila teknologi yang menjadi sebahagian daripada kebiasaan hidup kita tidak dapat kita gunakan.

‘Selesa’ dengan Teknologi?


Penulis pernah terbaca di sebuah laman web, kisah sepasang warga tua yang datang menziarahi anaknya yang tinggal di Putrajaya. Mereka telah keluar bersiar-siar pada sebelah petang, di sekitar Putrajaya dengan memandu kereta.

Malang sekali, mereka telah tersesat jalan dan tidak dapat mencari jalan pulang ke rumah anaknya.

Sepanjang ‘kehilangan’ mereka, pihak keluarganya bimbang dan telah berusaha untuk keluar mencari tetapi tidak berhasil. Kebetulan pula, si ayah tersebut telah tertinggal telefon bimbitnya di rumah anaknya dan tidak dapat menghubungi atau dihubungi sesiapa.

Akhirnya, pasangan tersebut berjaya mencari jalan balik ke rumah anaknya menjelang malam.

Apabila membaca kisah ini, penulis berasa kasihan terhadap apa yang telah berlaku kepada pasangan warga tua tersebut. Namun penulis juga terfikir, mengapakah mereka tidak berhenti untuk bertanya arah jalan pulang ke rumah anaknya, contohnya bertanya kepada pekerja di stesen minyak atau kedai berhampiran?

Sekiranya mereka tidak ingat alamatnya, setidak-tidaknya boleh bertanya tempat terdapat telefon awam atau meminjam telefon pekerja tersebut untuk menghubungi ahli keluarganya. Paling tidak, bertanyakan arah ke balai polis bagi mendapatkan bantuan daripada anggotanya yang berhemah.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan cemas, kita mungkin tidak mampu untuk bertindak dengan sebaiknya. 

Kisah sebegini juga mungkin pernah berlaku kepada kita sendiri, kerana kadangkala akibat dek terlalu ‘selesa’ dengan kecanggihan teknologi terkini, kita terlupa tentang cara-cara lain yang dapat membantu kita mencapai matlamat yang kita inginkan.

Seperti yang disebutkan di atas, memang tidak dapat dinafikan, tuntutan-tuntutan kehidupan masakini memerlukan penggunaan teknologi yang meluas. 

Dari satu segi, kita harus waspada jangan sampai kita sengaja mengada-adakan sesuatu ‘tuntutan’ yang sebenarnya bukanlah satu tuntutan. Ini merujuk kembali kepada matlamat yang jelas disebutkan tadi. 

Kita mengawal teknologi dalam kehidupan kita, bukan teknologi mengawal hidup kita.

Sebagai Muslim, cara kita mengendalikan teknologi sudah tentu berpandukan garis panduan yang telah digariskan oleh Islam. Sewajarnya teknologi mejadi sesuatu yang memudahkan kita, bukannya sesuatu yang mengongkong kehidupan kita.

Teknologi sememangnya perlu, tetapi janganlah terlalu obses. 

Jadi, kembali kepada tajuk artikel ini:-

‘Bolehkah Kita Hidup Tanpa telefon Bimbit?’

Sama-samalah kita fikirkan jawapannya!

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment