“Ketahuilah, jalan menuju Tuhan itu adalah dengan zikir, adab dengan Allah dan Rasul, serta adab sesama makhluk.”
Kali ini, saya akan berkongsi pelajaran adab yang saya peroleh daripada guru saya. Persoalan akhlak dan adab ialah persoalan semasa yang perlu kita hayati bersama kerana kelemahan adab dan akhlak akan membawa kepada keruntuhan tamadun dan peradaban.
Masyarakat akan berhadapan dengan krisis nilai dan budaya, bilamana persoalan adab tidak lagi dititikberatkan.
Sedangkan kesempurnaan akhlak adalah intipati risalah Rasulullah SAW, sepertimana sabda Baginda SAW yang bermaksud:-
“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.”Hadith Riwayat al-Baihaqi
Hadith ini seolah-olah memberi petanda bahawa menyempurnakan akhlak ialah misi kedatangan Rasulullah SAW. Baginda SAW hadir untuk memperbaiki akhlak, mendidik umat supaya beradab mulia serta mengajar pekerti mulia dan terpuji.
Testimoni Ketinggian Akhlak Rasulullah SAW
Allah SWT menyebut dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud:-
“Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang terbaik (uswah hasanah).”Surah al-Ahzab 33:21
“Sesungguhnya engkau (Rasulullah SAW) benar-benar berbudi pekerti agung (khuluqin ‘azim).”Surah al-Qalam 68:4
Apabila Ummul Mukminin Saidatina Aisyah RA diminta menerangkan keperibadian Rasulullah SAW, maka jawapannya adalah dengan ungkapan yang masyhur ini:-
“Sesungguhnya akhlaknya ialah al-Quran.”
(Rujukan: Riwayat Ahmad)
Peribadi Rasulullah SAW ibarat gambaran al-Quran yang hidup. Kehidupan Baginda SAW ibarat mentafsirkan ajaran al-Quran. Keindahan cahaya al-Quran terpancar pada wajah Baginda SAW.
Setiap perilaku dan tindakan Baginda SAW bertepatan dengan al-Quran dan menjadi sunnah ikutan.
Setiap perilaku dan tindakan Baginda SAW bertepatan dengan al-Quran dan menjadi sunnah ikutan.
Adab Pembina Peradaban
Tidak sedikit yang lebur keangkuhan mereka apabila melihat pekerti mulia Rasulullah SAW. Ramai yang terpesona dengan kelembutan peribadi Rasulullah SAW. Musuh juga terpegun dengan ketinggian himmah Rasulullah SAW.
Kesantunan Baginda SAW kepada yang tua dan sifat penyayang Baginda SAW kepada yang muda tiada tolok bandingnya. Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita betapa kita akan berjaya menakluki jiwa-jiwa manusia dengan ketinggian budi dan adab, lebih berkesan daripada menggunakan kekerasan dan paksaan.
Manusia yang beradab ialah manusia yang akan berjaya membangunkan peradaban dan kejayaan peradaban Islam yang kita bangga-banggakan, selama lebih separuh alaf (hampir 700 tahun) mentadbir dunia, kerana pada waktu itu, umat Islam amat menitikberatkan persoalan adab dan peradaban dalam menguruskan tamadun manusia.
Yang lebih utama, bukan sekadar membangunkan tamadun, tetapi untuk membina jalan menuju Tuhan. Adab juga ialah jalannya. Tiada jalan lain untuk menuju Tuhan, melainkan melalui jalan mujahadah, tarbiah dan tarqiyyah.
Pendidikan adab dan akhlak akan meningkatkan diri seorang hamba, dari tahap yang rendah ke tahap yang lebih tinggi, mendaki kepada Tuhannya.
Pendidikan adab dan akhlak akan meningkatkan diri seorang hamba, dari tahap yang rendah ke tahap yang lebih tinggi, mendaki kepada Tuhannya.
Benarlah sabda Rasulullah SAW dalam hadith Baginda SAW yang bermaksud:-
“Yang paling hampir kedudukan seseorang denganku di syurga nanti adalah yang paling baik akhlaknya.”Hadith Riwayat al-Bukhari
Tamadun dan peradaban, hanya mampu dibangunkan oleh mereka yang mempunyai akhlak dan adab yang tinggi. Adab mulia sesama mahkluk hakikatnya ialah pancaran jiwa yang beradab dengan Tuhannya.
Manusia yang tahu beradab dengan Penciptanya, pasti akan mampu beradab dengan mahkluk-Nya.
Manusia yang tahu beradab dengan Penciptanya, pasti akan mampu beradab dengan mahkluk-Nya.
Serius Menjaga Adab
Sejauh mana kita menjaga adab dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW?
Apakah kita benar-benar merasai kita ini hanyalah hamba Allah SWT yang daif, zalil (hina), fakir (serba kekurangan) dan haqir (sentiasa memerlukan)?
Atau kita sering mendabik dada mendakwa itu dan ini, mengangkat kehebatan diri, menongkat langit dan menghentak bumi dengan penuh ego dan kesombongan?
Sedarlah, bahawa adab seorang hamba dengan Tuhannya perlu sentiasa merendah diri, membuang kesombongan dan keangkuhan, mencabut takabbur dan bongkak, jauh daripada mendabik dada dan mendakwa kuat dan hebat, kerana kita semua lemah dan fana di hadapan Allah SWT.
Begitu juga adab dengan Rasulullah SAW, harus kita pelihara. Jika kita membaca surah al-Hujurat, di sana ada ayat yang menegur para sahabat yang meninggikan suara dalam majlis Rasulullah SAW.
Bagaimana dengan kita?
Jika kita masih berani mencabar kehebatan Rasulullah SAW, mempertikaikan amalan dan sunnah Baginda SAW, memperlekeh risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan memandang enteng persoalan adab dan akhlak, maka di manakah kedudukan kita?
Oleh sebab itu, jika kita berkata ingin kembali kepada Allah SWT dan hendak ikut perjalanan Rasulullah SAW, maka kita mestilah bermula dengan memiliki adab terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Beradablah dengan Allah SWT dengan sebaik-baik adab seorang hamba. Berakhlaklah dengan Rasulullah SAW dengan setinggi-tinggi kecintaan kepada Baginda SAW. Bermuamalatlah dengan manusia dengan pekerti mulia dan budi yang tinggi.
Semoga kita bertemu Tuhan pada akhir perjalanan usia kita.
Wallahua'lam
Blogger Comment
Facebook Comment