Hukum Murtad Mengikut Maqasid Syariah

Hifz al-din atau memelihara agama merupakan maqasid asasi yang paling terkedepan dari segi kedudukannya berbanding maqasid lain.


Bahkan seorang tokoh fiqh yang terkenal, al-Mawardi menetapkan bahawa antara 10 tugas utama seorang pemerintah ialah hifz al-din dengan kata-kata berikut:-
“Menjaga agama berdasarkan asasnya yang tetap dan apa yang disepakati oleh para ulama' salaf. 


Jika muncul seorang mubtadi’ (penyeru bidaah) atau penyeleweng agama yang mempunyai syubhah, hendaklah dijelaskan hujah kepadanya dan dinyatakan kebenaran serta telah dikenakan kepadanya apa yang wajib daripada hak-hak dan hudud (hukuman atau ketetapan daripada Allah SWT), agar agama sentiasa terjaga daripada kecacatan, dan seluruh umat terhalang daripada kegelinciran.”
(Rujukan: Kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah, jilid 1, halaman 26)

Oleh sebab itu, syariah menganggap setiap serangan terhadap agama adalah satu jenayah dan pelakunya akan dikenakan hukuman sama ada hudud atau takzir mengikut tahap jenayah yang dilakukan.

Namun sekiranya penjenayah terhadap agama ini menyembunyikan jenayahnya, maka urusannya diserahkan kepada Allah Taala yang Maha Mengetahui segala rahsia dan perkara tersembunyi.

Jenayah serangan terhadap agama yang pertama ialah jenayah riddah atau murtad iaitu keluar dari agama setelah memeluknya

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Dan sesiapa antara kamu yang murtad (berpaling tadah) daripada agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedang dia tetap kafir, maka orang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya).” 
Surah al-Baqarah 2:217

Hukuman Had atas Murtad dan Kaitannya dengan Hifz al-din


Terdapat fenomena yang sangat bahaya berlaku di beberapa buah negara Islam iaitu serangan terhadap keutuhan aqidah umat Islam

Pelbagai cara dan serangan dilancarkan, namun tujuannya hanya satu; untuk mengeluarkan umat Islam daripada aqidahnya yang suci kepada kegelapan, kesesatan dan kekufuran.

Dalam menangani isu ini, para fuqaha menjelaskan bahawa Allah SWT mensyariatkan perlaksanaan hukum hudud, antaranya ialah had riddah atau hukuman murtad

Tujuan utama pensyariatannya adalah untuk memelihara maqasid syariah yang paling penting iaitu menjaga agama.

Kita hendaklah menyakini bahawa Allah SWT yang Maha Bijaksana dalam syariat-Nya, Maha Penyayang kepada hamba-Nya, serta Maha Mengetahui apa yang baik untuk mahkluk-Nya.

Sekiranya kita merujuk karya-karya fiqah, kita akan mendapati fuqaha empat mazhab utama meletakkan satu bab khusus mengenai isu murtad dan hukum-hakam berkaitannya

Sebagai contoh, al-Kasani (wafat 587 Hijrah) menjelaskan:-
“Adapun rukun riddah adalah seperti menyebut perkataan kufur dengan lidah selepas adanya iman kerana riddah ialah perbutan kembali daripada iman (kepada kufur).”
(Rujukan: Kitab Badai’ al-Sana’i)

Al-Sawi al-Maliki menjelaskan:-
“Riddah adalah apabila seseorang Muslim menjadi kufur dengan sarih (jelas) melalui perkataan, atau perkataan yang menyebabkan kufur atau perbuatan yang mengandungi kufur.”
(Rujukan: Kitab al-Sharh al-Saghir, jilid 6, halaman 144)

Al-Allamah al-Sharbini dalam Mughni al-Muhtaj (jilid 4, halaman 133):-
“Riddah ialah memutuskan Islam dengan niat atau perbuatan sama ada kata-katanya berbentuk penghinaan atau penafian serta melalui iktikad.”
Al-Buhuti al-Hanbali pula menjelaskan:-
“Murtad ialah orang yang menjadi kufur selepas Islam sama ada melalui perkataan, iktikad, syak atau perbuatan.”
(Rujukan: Kitab Kashaf al-Qina’, jilid 6, halaman 136)

Kesemua definisi yang dikemukakan merujuk kepada perbuatan keluar dari agama sama ada secara lisan, perbuatan atau iktikad. Bahkan syak terhadap perkara asas iman dalam agama juga termasuk dalam kategori murtad.

Hukum Bunuh


Dalam khazanah fiqah, majoriti fuqaha bersetuju bahawa hukuman bagi jenayah murtad ialah hukum bunuh dengan syarat-syarat seperti istitabah (meminta bertaubat), menangguhkan dengan sebab kehamilan jika wanita atau mengkaji syubhah yang dibawa oleh si pelaku.

Pandangan majoriti ini ialah Maliki, Syafi'e dan Hanbali dan disokong oleh dalil-dalil kuat sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Taimiyyah.

(Rujukan: Majmu’ al-Fatawa, jilid 4, halaman 252)

Walau bagaimanapun, ada satu pandangan yang dipelopori oleh Abu Hanifah yang menyatakan bahawa golongan murtad sama seperti kafir asli, iaitu tidak dibunuh kecuali jika ada unsur khianat daripada pihak mereka iaitu memerangi Islam akan mewajibkan seseorang yang murtad itu dibunuh.

Ini kerana ia boleh membahayakan sebuah negara Islam

Ini tidak pelik kerana dunia hari ini juga mempunyai undang-undang hukuman bunuh atas penjenayah yang mengkhianati negara sendiri.


Kesimpulan secara umumnya, ulama' bersepakat bahawa agama Islam dan penganutnya wajib dipelihara dan dilindungi.

Ibn Taimiyyah mengulas lanjut isu ini:-
“Manakala orang murtad, maka yang mengharuskan hukuman bunuh ialah kerana berlaku kufur selepas iman, ia merupakan satu jenis kufur yang khusus. 


Hal ini kerana jika tidak dibunuh, nescaya orang yang masuk dalam agama, akan mudah keluar daripadanya. 

Jadi, membunuhnya bertujuan memelihara ahli agama Islam dan memelihara agama.”
(Rujukan: Majmu’ al-Fatawa, jilid 4, halaman 252)

Tugas Pemerintah Menjaga Agama


Pemerintah Islam mempunyai tugas yang sangat penting khususnya dalam memastikan penerusan dan pemeliharaan agama Islam di atas muka bumi. Menjaga agama bukan hanya dengan memberi pendidikan yang sempurna daripada pemerintah kepada rakyat.

Bahkan pemeliharaan agama juga perlu diperketat melalui penguatkuasaan undang-undang Allah SWT.

Ini dapat difahami daripada ayat al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal.” 
Surah al-Hadid 57:25
Al-Shanqiti mentafsirkan ayat ini sebagaimana berikut:-
“Dalam ayat ini ada isyarat yang menunjukkan perlu mengangkat pedang (kuasa undang-undang) selepas dinyatakan hujah. 


Sekiranya kitab-kitab tidak dapat memberi kesan, maka perlu mengambil tindakan melalui ketenteraan. 

Dan kadangkala Allah menghalang (kemaksiatan) dengan kekuasaan pemerintaan sesuatu yang tidak dapat dihalang melalui al-Quran.”
(Rujukan: Kitab Adwa’ al-Bayan, jilid 1, halaman 484)

Justeru, para ulama' mengatakan bahawa termasuk dalam urusan darurah al-din (perkara penting dalam agama), orang Islam perlu melantik pemimpin mereka supaya dapat bersatu di bawah pemerintahannya dan dilaksanakan undang-undang Allah SWT atas muka bumi.


Mudah-mudahan Allah Taala memberi taufik kepada seluruh umat Islam untuk meninggikan undang-undang Allah SWT.

Wallahua'lam