10 Pantang Larang Haji Dan Umrah

Biarpun musim haji silih berganti, namun masih terdapat sebilangan jemaah haji yang masih tidak tahu pantang larang dalam ihram. Insiden seperti menyikat rambut tidak mustahil berlaku kepada para jemaah haji atau umrah.

Oleh itu setiap jemaah haji atau umrah perlu lebih berhati-hati semasa berihram. 


Terdapat 10 perkara haram yang wajib dielakkan oleh orang yang berihram haji atau umrah, iaitu:-

Pantang Larang Pertama


Memakai pakaian yang disarung di badan dan memakai kasut. Walau bagaimanapun, dibolehkan memakai selipar yang tidak menutupi kakinya.

Pantang Larang Kedua


Menutup kepala atau sebahagiannya dengan sebarang penutup seperti serban dan songkok kecuali kerana keuzuran. Walau bagaimanapun, tidak mengapa berteduh di tepi dinding atau dengan payung yang tidak mencecah kepala.

Kedua-dua tegahan tersebut adalah haram bagi golongan lelaki sahaja.

Hal ini berdasarkan kepada hadith daripada Ibn Umar RA yang menyatakan:-
“Seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW:-


‘Apakah pakaian yang dipakai oleh orang yang berihram?’


Baginda SAW menjawab:-


‘Jangan memakai baju, serban, seluar, topi dan kasut kecuali apabila ketiadaan selipar bolehlah memakai kasut yang dipotong di bahagian bawah buku lali. Begitu juga jangan memakai pakaian safron dan sejenis pewarna berbau wangi.’” 

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Pantang Larang Ketiga


Menyisir rambut sama ada dengan sikat, kuku atau sebarang alat sekalipun.

Pantang Larang Keempat


Mencukur rambut atau mencabutnya kecuali apabila terpaksa berbuat demikian. Begitu juga haram mengguntingnya walaupun sekerat daripada sehelai rambut.

Ulama' fiqah menyamakan hukum rambut kepala dengan rambut seluruh tubuh badan kerana tiada sebab yang membezakan hukum kedua-duanya.

Pantang Larang Kelima


Memotong kuku sama ada banyak atau sedikit sebagaimana hukum memotong rambut. Kecuali disebabkan keuzuran seperti kuku yang terkopek dan menyakitkan sehingga terpaksa dipotong.

Pantang Larang Keenam


Menggunakan bau-bauan, iaitu sengaja memakai pada mana-mana bahagian badan. Begitu juga makan dan minum sesuatu yang bercampur dengan bau-bauan, duduk atau tidur di atas hamparan atau lantai yang terdapat bau-bauan tanpa lapik dan menggunakan sabun wangi ketika mandi.

Walau bagaimanapun, tidak mengapa mencium bunga mawar dan airnya, sama ada ianya di dalam bekas atau di tempat ia ditanam.

Pantang Larang Ketujuh


Membunuh binatang buruan yang halal dimakan, iaitu binatang darat yang liar. Begitu juga menangkapnya untuk mendapatkan bahagian badan, rambut, bulu dan sebagainya.

Sementara binatang laut dan binatang jinak seperti lembu, kerbau, ayam dan itik tidak termasuk dalam larangan ini walaupun liar.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram. 


Dan sesiapa antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja , maka dendanya dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil antara kamu sebagai hadiah yang dibawa ke Ka'abah atau bayaran kafarah. 

Iaitu memberi makan orang-orang miskin atau berpuasa sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada orang miskin. 

Supaya ia dapat merasai kesan yang buruk daripada perbuatannya. Allah telah memaafkann apa yang telah lalu. Sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) makan Allah akan menyeksanya. Allah Maha Kuasa, lagi berkuasa membalas dengan azab seksa.” 

Surah al-Ma'idah 5:95

Pantang Larang Kelapan


Melakukan akad nikah sama ada orang yang berihram atau wakilnya. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Orang yang berihram tidak boleh berkahwin dan mengahwinkan orang lain.”
Hadith Riwayat Muslim
Jika ia berakad nikah, maka akad tersebut tidak sah.


Pantang Larang Kesembilan


Bersetubuh. Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. 


Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji.” 

Surah al-Baqarah 2:197

Pantang Larang Kesepuluh


Melakukan perbuatan yang menimbulkan berahi seperti berdakapan, berkucupan dan sebagainya. Hal ini adalah kerana kesemuanya termasuk dalam perbuatan bersetubuh yang ditegah semasa berihram.

Wallahua'lam