Sekembalinya berdakwah dari Ta'if, Baginda SAW singgah di sebuah kebun tamar di luar Makkah untuk beberapa hari kerana terhalang daripada memasuki Makkah. Ketika berada di kebun tamar tersebut, Baginda SAW beribadah seperti biasa.
Namun tanpa disedari, ketika Baginda SAW sedang membaca al-Quran, Baginda SAW telah didatangi sekumpulan jin dari Nasibiyyin yang mendengar bacaan Baginda SAW. Para jin yang takjub mendengar bacaan ayat al-Quran lantas mengerumuni Rasulullah SAW.
Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam ayat berikut, yang bermaksud:-
“Dan sesungguhnya, ketika hamba Allah (Nabi Muhammad SAW) berdiri mengerjakan ibadat kepada-Nya, mereka hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya.”Surah al-Jinn 72:19
Para jin tersebut kemudiannya pulang menyeru kaumnya kepada Islam.
Rasulullah SAW hanya dapat memasuki Makkah selepas mendapat bantuan perlindungan daripada Mut’im bin ‘Adiyy. Hal ini demikian keranan penduduk Makkah berasa marah akan Rasulullah SAW yang telah meninggalkan Makkah untuk mendapat bantuan penduduk Ta'if.
Rasulullah SAW kemudiannya diarahkan berdakwah kepada para jin dalam peristiwa lain. Dalam sebuah hadith diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah meninggalkan para sahabatnya kerana dijemput utusan jin.
Para sahabat berasa sangat risau tentang keselamatan Baginda SAW. Menjelang pagi, Baginda SAW muncul dari arah gua Hira' dan menjelaskan bahawa Baginda SAW telah pergi berdakwah kepada para jin.
Rekod-Rekod Jin Masuk Islam di dalam al-Quran
Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Dan (ingatlah) semasa Kami hadapkan serombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (sesetengahnya kepada yang lain):-
‘Diamlah kamu (untuk mendengarnya)!’Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya untuk memberi peringatan dan amaran.Mereka berkata:-‘Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran kitab-kitab suci yang datang sebelumnya, membimbing kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (agama Islam).’‘Wahai kaum kami! Sahutlah seruan Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan kamu, dan menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya.’‘Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri daripada seksaan Allah di bumi, dan ia tidak mempunyai pelindung selain Allah. Mereka berada dalam kesesatan yang nyata.’”
Surah al-Ahqaf 46:29-32
Jin vs Manusia
Generasi awal jin yang memeluk Islam ini boleh diiktiraf sebagai para sahabat Nabi SAW. Menurut ulama' hadith, sahabat didefinisikan sebagai sesiapa sahaja yang pernah bertemu dengan Rasulullah SAW, beriman dengan Baginda SAW dan mati dalam Islam.
Selain itu, Allah SWT juga mengiktiraf kewujudan jin yang soleh dalam firman-Nya yang bermaksud:-
“Dan bahawa ada antara kami golongan yang baik keadaannya, dan ada antara kami yang selain daripada itu, kami menempuh jalan-jalan yang berlainan.”Surah al-Jinn 72:11
Dalam sebuah hadith, Nabi SAW memuji para sahabatnya daripada kalangan jin yang sensitif terhadap ayat Allah SWT ketika mendengar surah ar-Rahman. Ketika para sahabat hanya terdiam mendengarkan surah ini, Baginda SAW bersabda:-
“Aku pernah membaca surah ar-Rahman kepada para jin. Reaksi mereka jauh lebih baik berbanding kamu semua.Setiapkali aku membaca:-
‘Maka yang mana satukah antara nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan wahai umat manusia dan jin?’
Mereka berkata:-
‘Tiada satu pun antara nikmat-nikmat-Mu wahai Tuhan kami yang kami dustakan, maka bagi-Mu sahajalah segala pujian.’”
Hadith Riwayat at-Tirmizi
Nama-Nama Jin
Ada yang pernah menanyakan sekiranya terdapat rekod di dalam mana-mana ayat al-Quran mahupun hadith-hadith mengenai nama-nama jin semasa zaman Rasulullah SAW. Persoalan jin adalah perkara ghaib yang tidak dapat diketahui melainkan dengan panduan wahyu.
Kebanyakan carian setakat ini tidak menemui perincian nama para sahabat jin ini dalam ayat al-Quran atau hadith yang sahih.
Walau bagaimanapun, ada antara nama mereka pernah direkodkan oleh Ibn Hajar dalam kitab Al-Isabah fi Ma’rifat al-Sahabah iaitu Zawba’ah, al-Arqam, al-Adras, Hasir, Khasir, Surraq, ‘Amru bin Jabir.
Apa yang penting bukanlah perincian nama mereka, tetapi keluasan horizon dakwah Rasulullah SAW yang melangkaui alam jin.
Wallahua'lam
Blogger Comment
Facebook Comment