Isti'azah Dan Basmalah

Istizah ialah lafaz “أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ”. 

Ia juga dirakam di dalam al-Quran iaitu melalui firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau (terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan syaitan yang direjam.” 

Surah an-Nahl 16:98

Melafazkan isti'azah sebelum membaca al-Quran ialah sunat menurut pendapat kebanyakan ulama'. Sesetengah ulama' mengatakan hukumnya wajib.

Terdapat dua lafaz isti'azah yang boleh dibaca sebagaimana berikut:-

Lafaz isti'azah 1


Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam


Lafaz isti'azah 2


Aku berlindung dengan Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari syaitan yang direjam

Imam al-Syatibi dalam kitab matan beliau iaitu al-Hirzu al-Amaniy wa Wajhu al-Tahaniy berkata:-
“Apabila kamu membaca al-Quran, maka hendaklah kamu membaca isti'azah, secara terang agar mendapat perlindungan daripada Allah, seperti yang terdapat dalam surah an-Nahl yang mudah.



Jika sekiranya ditambahi lafaz tersebut, ia sebagai menyucikan nama Tuhanmu agar kamu tidak menjadi jahil.”
Ada keadaan kita perlu membaca lafaz isti'azah ini sama ada secara perlahan mahupun secara nyaring

Antara keadaan yang memerlukan kita membaca lafaz isti'azah secara perlahan adalah:-
  • Ketika membaca al-Quran secara perlahan
  • Dalam solat fardhu ataupun sunat, tidak kira secara berjemaah atau berseorangan, dan tidak kira sebagai imam atapun makmum, selaras dengan sifat solat Rasulullah SAW
  • Ketika berada dalam kumpulan yang sedang bertadarus al-Quran
Selain daripada keadaan-keadaan yang dinyatakan di atas, maka disunatkan kita membaca lafaz isti'azah ini dengan nyaring.


Menyambung Bacaan Dengan Basmalah dan Isti'azah


Sebenarnya ada empat cara untuk membaca isti'azah dan bismillah di awal surah:-
  • Menyambung ketiga-tiga sekaligus iaitu isti'azah dan bismillah serta ayat pertama surah dengan satu nafas
  • Membacakannya satu persatu
  • Menyambung isti'azah dan bismillah dengan satu nafas dan berhenti. Kemudian membaca ayat yang pertama
  • Membaca isti'azah dan berhenti. Seterusnya membaca bismillah dan ayat pertama sekaligus dengan satu nafas
Selain itu, terdapat tiga pendapat yang berkaitan dengan cara membaca basmalah antara surah sebagaimana dibincangkan oleh ulama' qiraat.

Pendapat Pertama:-


Tetap perlu membaca basmalah di setiap awal surah. Ini menurut qiraat Imam Ibn Kathir, riwayat Walun daripada Imam Nafi', Imam 'Asim, Imam al-Kisa'i dan Imam Abu Ja'afar.

Pendapat Kedua:-


Menyambung terus ayat terakhir satu surah dengan ayat pertama surah berikutnya tanpa membaca basmalah. Ini menurut Imam Hamzah dan Imam Khalaf al-'Asyir.

Pendapat Ketiga:-


Tidak perlu membaca basmalah sama ada dengan cara sepertimana pendapat kedua ataupun dengan cara melakukan saktah (tanpa bernafas) semasa ayat terakhir satu surah dengan ayat pertama surah berikutnya. Ini menurut satu riwayat Warsy daripada Imam Nafi', Imam Abu Amru, Imam Ibn 'Amir dan Imam Ya’qub.

Terdapat tiga cara membaca basmalah antara dua surah iaitu:-
  • Membaca satu persatu iaitu ayat terakhir surah dan berhenti. Kemudian membaca basmalah dan berhenti. Seterusnya membaca ayat pertama surah berikutnya.
  • Menyambung ketiga-tiganya (ayat terakhir surah, basmalah dan ayat pertama surah berikutnya) sekaligus dengan satu nafas.
  • Berhenti pada akhir surah. Seterusnya membaca basmalah dan ayat pertama surah berikutnya sekaligus dalam satu nafas.
Walau bagaimanapun, ada satu lagi cara yang mungkin dilakukan iaitu membaca ayat terakhir surah dan basmalah sekaligus dengan satu nafas. Kemudian membaca ayat pertama surah berikutnya. 

Namun, cara ini ditegah kerana boleh membawa kekeliruan

Orang yang mendengar mungkin tersalah anggap bahawa basmalah itu ialah ayat terakhir surah itu.


Di antara Surah al-Anfal dan Surah at-Taubah


Istimewanya, di antara kedua-dua surah ini, kita tidak boleh membacakan basmalah jika membaca sehingga ayat terakhir surah al-Anfal dan menyambung ke surah at-Taubah pula.

Terdapat tiga cara membaca secara bersambungan antara surah al-Anfal dan surah at-Taubah:-
  • Berhenti di akhir surah al-Anfal. Kemudian membaca ayat pertama surah at-Taubah
  • Melakukan saktah iaitu berhenti tanpa bernafas dengan kadar dua harakat antara ayat terakhir surah al-Anfal dan ayat pertama at-Taubah
  • Menyambung terus kedua-dua ayat dengan satu nafas.
Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment