Dahulukan Ibu Bapa

Anak soleh tidak akan sekali-kali melebihkan dirinya mengatasi ibu bapanya sehingga sanggup mendahulukan diri sendiri berbanding keperluan mereka. 

Jika semasa kita masih bergantung kepada ayah dan ibu walaupun untuk makan dan minum, mereka tidak pernah sekali-kali bertangguh memenuhi keperluan dan kehendak kita sebagai anak, apatah lagi mendahulukan keperluan mereka.

Diriwayatkan pada suatu hari Abu Hurairah RA melihat ada dua orang lelaki yang lalu di hadapan beliau. 

Dia bertanya kepada lelaki itu:-

“Apakah hubungan kamu dengan lelaki tua itu?”

Kata si anak:-

“Wahai Abu Hurairah! Saya anak dan ini bapaku.”

Lalu, Abu Hurairah memberi tiga nasihat kepada anak itu. Katanya:-

“Jika lelaki ini ayahmu, maka ikutilah tiga nasihat daripadaku...”

#1 Jangan Memanggilnya dengan Nama


Kita tidak boleh memanggil ibu bapa dengan nama mereka. Ia satu penghinaan dan melambangkan gersangnya adab mulia kita. Sebagai contoh, jika nama bapa kita Abu Bakar, kita tidak boleh memanggilnya dengan:-

“Isy, Abu Bakar ni!”

Begitu juga dengan ibu kita, sebagai contoh:-

“Hei Maryam, saya lapar!”

Kita tidak boleh sesekali memanggil mereka begitu kerana itu akan merendahkan maruah mereka dan menunjukkan diri kita sebagai seorang anak.

Sebaliknya, anak-anak mempunyai banyak pilihan untuk memanggil orang tuanya seperti ‘ayah’, ‘ibu’, ‘papa’, ‘mama’ atau apa-apa sahaja panggilan yang menunjukkan kita menghormati mereka sebagai ibu bapa. Biasanya, sejak kita dilahirkan lagi, ibu dan ayah kita akan membahasakan diri mereka sebagai ‘mama’ atau ‘abah’ sebagai contoh, bagi tujuan mendidik akhlak kita dan membuktikan kasih sayang mereka yang tidak terhingga. 

Tergamakkah kita sebagai seorang anak menukar panggilan sayang dan mesra itu dengan panggilan yang berbentuk penghinaan?


#2 Berjalan di Hadapan Mereka dengan Izin


Berjalan di hadapan mereka sewenang-wenangnya menunjukkan kita tidak menghargai keberadaan mereka di situ. Ibu bapa akan berkecil hati dan merasakan seolah-olah mereka tidak wujud pada pandangan anak-anak. Kehadiran mereka tidak disedari atau tidak diendahkan oleh anak-anak. 

Hancur hati ibu bapa.

Bagi anak-anak, jika tiada pilihan, kita dibolehkan berjalan di hadapan ibu bapa dengan meminta izin terlebih dahulu dan tundukkan sedikit badan kita. Ini sebagai tanda hormatnya seorang anak kepada orang tuanya.


#3 Jangan Duduk sebelum Ibu Bapa Duduk


Mungkin ada yang tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan larangan ini. 

Ini termasuk akhlak mendahulukan ibu bapa dalam apa-apa urusan sekalipun agar mereka rasa dihargai dan dihormati.

Sebagai contoh, apabila ibu bapa membawa kita berziarah ke rumah saudara-mara atau rakan taulan, jangan masuk terlebih dahulu sebelum ibu bapa. 

Begitu juga apabila duduk di meja makan, jangan biasakan diri duduk terlebih dahulu sebelum ibu bapa duduk, tidak kira sama ada di rumah sendiri atau di rumah saudara mara atau sahabat handai.

Mendahulukan Ibu Bapa Walaupun Mereka Tidak Kisah


Perbuatan mendahulukan diri sendiri mengatasi orang tua ini sewajarnya dihindari oleh anak-anak. Mungkin ada sesetengah anak merasakan ibu bapanya tidak begitu mengambil berat hal tersebut. Ibu bapa mungkin tidak pernah menegur anaknya atau tidak menunjukkan reaksi mereka terasa. 

Bagaimanapun, bagi seorang anak mithali, jika dibiarkan diri sendiri melakukan yang sedemikian, lama kelamaan akan menjadi kebiasaan dalam diri dan akan menimbulkan rasa tidak hormat kepada orang yang lebih tua.

Oleh sebab itu, sentiasalah mendahulukan ibu bapa sama ada mereka kisah atau tidak sebagai bukti pada Allah SWT bahawa kita amat menghormati mereka. Sebagai anak yang mempunyai ibu bapa dan turut mempunyai anak-anak, asuhlah anak-anak kita mendahulukan kita serta datuk dan neneknya.

Tips Mendidik Diri Mendahulukan Ibu Bapa

  • Pupuk keperibadian anak kita sejak kecil lagi dengan teladan diri kita pada datuk dan neneknya
  • Galakkan diri kita bersifat positif
  • Tegur diri jika silap
  • Fikirkan akibat jika tidak mendahulukan ibu bapa
  • Terapkan nilai Islam dalam diri kita sepanjang masa
  • Didik diri sentiasa berpandukan batasan kebebasan tertentu
  • Jangan menghukum kesilapan ibu bapa dengan berlaku biadab tanpa berfikir positif dan berbaik sangka terlebih dahulu


Kaedah Mendidik Anak-Anak

  • Memberi nasihat
  • Bercerita tentang kisah-kisah teladan
  • Bersoal jawab dengan anak-anak
  • Cuba mengaitkan dengan pengalaman yang lepas
  • Memberi teguran dengan cara yang baik
  • Bermain dan bergurau dengan anak-anak
  • Menggunakan kaedah praktikal dan latihan dalam mendidik anak-anak
  • Menjadi teladan buat anak-anak
  • Memberi galakan dan amaran
  • Tidak berlebihan dalam suruhan dan gesaan
  • Ambil berat kebajikan anak-anak
  • Asuh minda
  • Solat yang berterusan

Kebaktian Semasa Hayat Ibu Bapa


Apa salahnya kita mendahulukan ibu bapa sementara mereka masih hidup di dunia. Ia suatu kebaktian yang mudah dilakukan semasa hayatnya. Apa yang susah adalah untuk merendahkan hati kita untuk merendahkan ego sendiri. Apabila mereka sudah tiada, kebaktian lain pula yang mampu kita berikan.

Ketaatan seorang anak dan segala bukti yang dilakukan bukan sekadar semasa ibu bapanya masih hidup sahaja tetapi ia berterusan sehingga mereka meninggal dunia. Beruntunglah seorang anak yang tidak menderhaka dan sentiasa berbuat baik kepada kedua-dua orang tuanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Ibunya mengandungkan dengan susah payah dan melahirkan dengan susah payah (pula). Mengandungkan sampai bercerai susu ialah 30 bulan.” 
Surah al-Ahqaf 46:15

Berbakti kepada Ibu Bapa setelah Mereka Meninggal Dunia


Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seseorang, dalam satu hadith riwayat Ibn Hibban, katanya:-
“Ya Rasulullah! Apakah masih ada sesuatu yang diwajibkan ke atas saya untuk berbakti kepada ibu bapa saya setelah mereka meninggal dunia?”
Rasulullah SAW menjawab yang bermaksud:-
“Ya, iaitu memohon kerahmatan ke atas kedua-duanya, meminta keampunan, menunaikan segala janji, memuliakan semua rakannya dan menghubungkan silaturahim yang tidak berhubung, melainkan dengan kedua-duanya.”
Rasulullah SAW bersabda lagi:-
“Sesungguhnya setinggi-tinggi darjat kebaktian ialah apabila seseorang itu suka menghubungi keluarga kesayangan ayahnya sesudah dia (ayahnya) meninggal dunia.” 
HR Muslim


Orang yang Sempurna Kemanusiaannya


Al-Fudhail bin 'Iyad berkata:-
“Orang yang sempurna kemanusiaanya ialah orang yang taat kepada ibu bapanya, menghubungi kerabatnya, hormat kepada kawan-kawannya dan baik budi kepada keluarga, anak-anaknya dan pelayan-pelayannya serta menjaga agama dan memperbaiki harta kekayaannya, menyedekahkan kelebihan hartanya, memelihara lidahnya dan tetap tinggal di rumahnya (yakni tekun beribadat kepada Tuhannya) dan amal pekerjaannya serta tidak berkumpul dengan orang yang suka membicarakan hal orang lain.”
Wallahua'lam