Berkesankah Ubat Anti-Penuaan?

Jika kita membelek album yang memaparkan gambar-gambar lama, tentu sekali kita akan teruja dengan perubahan fizikal yang berlaku pada diri kita.

Bagi sesetengah orang perubahan tidaklah begitu ketara, namun bagi yang lain, perubahan begitu ketara seolah-olah kita dan imej dahulu merupakan individu berlainan.


Jika kita memerhatikan ayah atau datuk kita dan kemudian mengalihkan perhatian kepada anak-anak kita yang berusia beberapa tahun, kita akan dapati sifat-sifat fizikal mereka sangat berbeza. Perlu kita ingat bahawa ayah atau datuk kita pernah melalui zaman seperti anak-anak kita. 

Mereka tidak pernah dilahirkan sebagai orang tua. Namun proses semulajadi telah mengubah mereka sehingga menampilkan bentuk fizikal seperti sekarang.

Bagi yang sudah mencecah umur 60-an dan ke atas, tanda-tanda penuaan jelas kelihatan pada raut wajah mereka. Kedutan-kedutan jelas kelihatan di bawah kelopak mata dan pada bahagian leher, malah uban-uban sudah mula kelihatan. 

Itu belum dikira soal perubahan tenaga, pemikiran, kecekapan, ketahanan badan dan juga kecerdasan minda.

Ada teori yang mengatakan mengatakan bahawa proses ini bermula seawal kelahiran dan ada pula mengatakan ia bermula sekitar umur 25 tahun kerana pada usia tersebut berlakunya penurunan fungsi-fungsi organ dan juga penurunan kadar hormon-hormon tertentu di dalam badan.

Pastinya, bagi mereka yang mengagung-agungkan kecantikan dan penampilan luaran, proses ini merupakan satu mimpi ngeri buat mereka.

Wajah yang cantik akan pudar apabla kulit mula berlipat dan membentuk kedutan umpama kertas yang digumpal. Tidak dapat tidak, mereka perlu menghadapi proses semulajadi ini melainkan maut datang menjemput pada usia muda.

Apakah ada ubat untuk menghilangkan proses ini atau sekurang-kurangnya melambatkan proses ini agar kita sentiasa dapat menampilkan sifat fizikal yang muda dan tampan?

Sekiranya ada, tentu sekali manusia sanggup membelinya tidak kira walau betapa mahal sekalipun harganya.

Tentu sekali ada amalan-amalan tertentu dan juga cara pemakanan tertentu yang boleh melambatkan proses ini.

Bahkan ada yang menggunakan kaedah rawatan tertentu seperti menyuntik botox dan juga menggunakan ubat-ubat terlarang seperti steroid dan juga dadah untuk memberi penampilan palsu

Walau apa pun usaha yang dilakukan, proses penuaan tetap berjalan seiring dengan berlalunya masa.

Terbaru, para saintis berjaya menemui sejenis gen pada DNA yang terletak dalam sel-sel badan manusia yang dinamakan sebagai ‘Telomere’. Ia merupakan sejenis gen yang mempunyai panjang tertentu dan bertanggungjawab untuk mengawal kematian dan penuaan sel-sel badan.

Apakah Telomere?


Telomere merupakan bahagian kecil yang terletak pada hujung kromosom yang mengelakkan sesebuah sel itu rosak. Apabila kromosom menggandakan dirinya, semasa sel ingin membelah menjadi dua, telomere tidak ada keupayaan yang sama.

Maka hasilnya, ia semakin mengecil apabila sesebuah sel itu membahagi menjadi dua. Semakin banyak sel itu membahagi, maka semakin kecil saiz telomere kerana ia tidak mampu menggandakan dirinya.

Selepas sesebuah sel melakukan 50 hingga 100 pembahagian, telomere telah menjadi terlalu kecil dan tidak mampu membahagi  lagi. maka, ia tidak lagi berupaya melindungi sesebuah sel dan sel tersebut akan mulai tua dan mati.

Fenomena ini diistilahkan oleh saintis sebagai senescence, yang bermaksud proses penuaan. Sebahagian saintis mengaitkan saiz telomere yang kecil ini dengan tanda-tanda penuaan seperti kulit yang berkedut dan penurunan sistem pertahanan badan.

Salah satu mekanisme untuk mengekalkan keutuhan telomere ialah sejenis enzim yang dinamakan sebagai telomererase.

Enzim ini wujud pada hampir semua sel, namun ia tidak diaktifkan.

Ia hanya aktif semasa fasa janin sahaja. 

Secara teori, apabila sel-sel manusia mendapat enzim tersebut, maka ia akan memanjangkan hayat sel-sel badan dan menghalang proses penuaan berlaku dan seseorang itu akan kelihatan sentiasa muda.

Kajian yang dibuat ke atas manusia yang mencecah 100 tahun dalam keadaan sihat mendapati sel-sel mereka mempunyai telomere yang lebih panjang berbanding orang lain.

Penemuan Ubat Anti-Penuaan


Pada tahun 2009, tiga orang saintis Amerika Syarikat telah mendapat anugerah Nobel Prize for Medicine kerana telah menemui teknologi untuk memperlahankan proses penuaan pada seseorang, bahkan boleh menterbalikkan proses tersebut agar seseorang menjadi semakin muda.

Para saintis Amerika itu berjaya menemui teknologi untuk mengaktifkan semula enzim telomerase dan memanjangkan hayat sesebuah sel. Teknologi ini mula diperkenalkan kepada masyarakat umum di Amerika Syarikat pada tahun 2008 dan mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya oleh ahli-ahli biologi dan doktor-doktor perubatan.

Namun, masalah yang mereka sekarang ialah bagaimana untuk mengaktifkan semua telomerase pada setiap sel dalam badan manusia yang bertrillion jumlahnya.


Selain itu, enzim telomerase biasanya ditemui pada hampir semua jenis-sel-sel kanser. Telomerase boleh menyebabkan sel-sel membahagi tanpa henti secara tidak normal dan akhirnya menyebabkan ketumbuhan yang tidak normal, iaitu kanser.

Keadaan ini telah menimbulkan masalah yang lebih besar pada manusia kerana apabila kanser mula terbentuk daripada ketidakstabilan pembahagian sel-sel, akhirnya ia mengarah kepada kematian.

Cara Terbaik Mengakhiri Hayat


Maka sebab itulah sebahagian saintis lain memandang bahawa proses penuaan adalah terbaik untuk mengakhiri hayat seseorang manusia dan ia merupakan satu fitrah dalam diri manusia.

Apa-apa usaha yang melanggar fitrah ini di luar batas-batas tertentu akan mengakibatkan perkara yang lebih buruk seperti kanser yang sangat menyakitkan. 

Semoga kita dilindungi daripada penyakit ini.

Ini merupakan kebenaran firman Allah SWT yang telah mentakdirkan kematian seseorang untuk setiap manusia. Kematian merupakan sesuatu yang telah diprogramkan, ditakdirkan dan direncanakan untuk setiap manusia.

Inilah yang dijelaskan oleh al-Quran pada abad ke-7.

Profesor Lee Silver daripada American University Princeton berkata:-
“Setiap usaha untuk memperoleh keabadian adalah berlawanan dengan fitrah. Kematian selaras dengan pembangunan. Kita memberikan baka genetik kepada generasi kita dan andainya kita terus hidup dan tidak mati, kita akan bersaing dengan mereka untuk mendapat makanan, pekerjaan dan tempat tinggal malahan mungkin akan mengorbankan mereka agar kita dapat terus hidup dan hal ini merupakan satu fenomena yang buruk kepada pembangunan.”
Setelah menemui pelbagai masalah dalam teknologi tersebut, para saintis membuat kesimpulan bahawa hingga ke saat ini sememangnya tiada ubat untuk penuaan.

Ironinya mereka tetap meneruskan usaha-usaha pengkajian mereka yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit untuk menemui teknik lain dalam memanjangkan usia manusia.

Bersedialah Untuk Mati


Seorang saintis dan ulama' Islam terkenal, Dr. Abduldaem al-Kaheel berkata:-
“Saya berharap para saintis tersebut membaca satu hadith mengenai hal ini untuk menyelamatkan wang, masa dan tenaga mereka:-

‘Berubatlah wahai hamba Allah, kerana sesungguhnya Allah tidak menciptakan sesuatu penyakit melainkan diciptakan juga penawarnya melainkan penyakit tua.’”
(Hadith rujukan Riwayat Ahmad)

Sebagai umat Islam, kita perlu sentiasa bersedia untuk mati kerana kita tidak tahu tarikh kematian kita.

Jika kita bangkit pada siang hari, tidak ada jaminan kita akan terus hidup hingga ke petang.

Maut mungkin akan menjemput kita seawal usia muda disebabkan kemalangan, bala bencana, penyakit-penyakit tertentu dan sebagainya.

Jika kita diberikan anugerah umur yang panjang, lambat laun kita pasti akan dijemput untuk menghadap-Nya lantaran penyakit tua.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-
“Orang yang cerdik ialah orang yang selalu menjaga dirinya dan beramal untuk bekalan sesudah mati.” 
HR at-Tirmidzi
Jika kita diberi umur yang panjang namun masa yang ada diluangkan untuk perkara yang melalaikan, apalah gunanya. Jika umur yang pendek sekalipun, itu adalah lebih baik sekiranya masa yang ada dimanfaatkan sebaik-baikya untuk mengumpul bekalan untuk hari akhirat kelak.

Matlamat kita bukan untuk terus hidup, tetapi untuk mengumpul bekalan di dunia agar dapat dibawa berjumpa Allah SWT dengan hati yang sejahtera.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Tiap-tiap yang hidup pasti akan mati. Sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya berjayalah dia. Dan kehidupan di dunia ini tiada apa-apa melainkan kesenangan yang memperdayakan.” 
Surah Ali ‘Imran 3:185
Wallahua'lam