Hakikat Poligami

Dalam artikel kali ini, saya ingin membawa anda semua meneliti konsep perkahwinan poligami yang sering dikaitkan dengan IslamPernikahan poligami seolah-olah menjadi imej, citra dan wajah depan Islam yang popular dan dikenal umum.

Islam sebagai agama fitrah, dianggap wajar memberi sokongan dan dukungan kepada keinginan dan hawa nafsu manusia untuk mempunyai lebih daripada satu pasangan seksual.

Walau bagaimanapun, poligami dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di Malaysia, kerap dikaitkan dengan permasalahan rumahtangga, penganiayaan, cerai-berai dan pertelingkahan yang berlarutan. 

Perdebatan mengenai poligami seringkali menjadi hangat dan mewujudkan dua kem yang bertentangan pandangan; antara kem penyokong dan penentang yang sentiasa menegakkan hujah masing-masing.

Apa kata sekiranya perbincangan kali ini, memfokuskan kepada aspek kaitan poligami dengan fitrah manusia, dan bukannya semata-mata dari kaca mata hukum-hakam sahaja?

Hanya Lelaki


Saya ingin berkongsi pengalaman seorang ustazah ketika menjalani fellowship di University of Minnesota, USA pada tahun 2000 yang lalu.

Salah seorang staf wanita berdarah kacukan Irish dan Latino di Jabatan OB-GYN dan Women Health, UMN yang ditemui oleh beliau beria-ia mengajukan soalan berikut kepada ustazah tersebut:-

“I heard Muslims can practise polygamous marriage, is that right?” (Saya ada dengar, orang Islam boleh mempraktikkan perkahwinan poligami, betul?)

Sebaik sahaja ustazah itu menganggukkan kepala, dengan senyuman meleret wanita itu terus berkata:-

“Lucky you! So you can have more than one husband!” (Bertuahnya kamu! Jadi kamu boleh ada lebih daripada seorang suami!)

Ustazah tersebut segera memperbetulkan tanggapannya dengan menjawab:-

“Oh no, no. My husband can have more than one wife, but I cannot have more than one husband.” (Oh bukan begitu. Suami saya boleh berkahwin lebih daripada seorang isteri, tetapi saya tidak dibenarkan punya lebih daripada seorang suami)

Mendengar jawapan itu, wanita itu berkata:-

“That’s not fair! How can that be? Only your husband can practise polygamy while you can’t? I don’t understand this.” (Itu tidak adil! Bagaimana boleh jadi begitu? Hanya suami kamu yang boleh berpoligami, sedangkan kamu pula tidak boleh? Saya tidak faham semua ini)


Tentu sekali, menurut logik akal wanita itu tadi, Islam bersikap tidak adil terhadap wanita apabila poligami hanya dibenarkan untuk dipraktikkan oleh lelaki sahaja.

Apakah pula jawapan yang harus kita berikan kepadanya?

Mungkin ada yang bersetuju dengan rasional yang dipakai oleh wanita itu.

Tidak Cukup dengan Satu Pasangan?


Menurut kajian, tabiat semulajadi alam haiwan mamalia berdarah panas, termasuk manusia baik lelaki mahupun wanita sebenarnya tidak cukup dengan satu pasangan seksual.

Malahan dikatakan manusia seperti juga haiwan mamalia yang lain, mempunyai nafsu kelamin yang liar dan cenderung bertukar-tukar pasangan.

Jika dilihat dari sudut pandangan kesamarataan gender (gender equality), sekiranya lelaki boleh berkahwin lebih daripada satu, maka wanita juga sepatutnya diberi kelonggaran yang sama.

Ditambah pula dengan hakikat sejarah yang menunjukkan kecenderungan nafsu kelamin manusia yang semenjak dahulukala telah mengamalkan perkahwinan poligami.

Poligami (ta’addud al-zawaj) ialah satu perkataan umum yang lazimnya ditakrifkan sebagai perkahwinan yang melibatkan lebih daripada satu pasangan sama ada dalam satu-satu masa (definisi yang lebih popular) ataupun satu persatu dalam tempoh masa tertentu (berkahwin, bercerai dan berkahwin semula beberapa kali selepas itu).

Sementara poliandri khusus menghuraikan wanita yang mempunyai lebih daripada satu pasangan suami dan poligini pula, merujuk kepada status lelaki yang berkahwin lebih daripada seorang wanita. .

Jelaslah apa yang dibolehkan oleh Islam hanyalah poligini dan bukannya poliandri, melalui ayat ke-3 surah an-Nisa' yang mafhumnya:-
“Dan sekiranya kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil terhadap perempuan yatim, maka nikahilah perempuan (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu khuatir tidak mampu berlaku adil, maka (nikahilah) seorang sahaja....”

Bayangkan sekiranya poliandri dibenarkan untuk dipraktikkan dalam kelompok kita, betapa huru-hara masyarakat akibat ketidakjelasan dan kekeliruan dari sudut nasab keturunan manusia.

Saya pernah membaca satu laporan yang memaparkan mengenai sistem poliandri yang diamalkan di Tibet, di kepulauan Marquesas, Polinesia dan di Bahamas.

Sebab utama berlakunya poliandri adalah kerana kurangnya bilangan wanita dalam kelompok tersebut.

Poliandri dibahagikan kepada dua – poliandri fraternal (para suami ialah adik-beradik daripada keluarga yang sama) dan poliandri non-fraternal (suami-suami tidak mempunyai ikatan persaudaraan).

Kebiasaannya, anak-anak yang lahir dalam perkahwinan poliandri fraternal akan dikira anak kepada semua lelaki bersaudara dalam keluarga tersebut yang berkongsi isteri yang sama.

Sementara penetapan siapakah bapa kepada anak yang lahir dalam perkahwinan poliandri non-fraternal pula, akan ditentukan oleh si ibu melalui satu ritual dalam kelompok tersebut.

Mencabar Naluri


Selain aspek fitrah keinginan berpasangan lebih daripada seorang, poligami juga secara amnya amat mencabar naluri manusia yang sememangnya tamak haloba dan membuahkan perasaan cemburu yang mendalam.

Tiada manusia yang sanggup berkongsi kasih, namun hakikatnya poligami memerlukan pengorbanan yang besar dari sudut perasaan dan emosi.


Dalam pada itu, sekalipun Islam menggariskan perlunya keadilan diterjemahkan dari sudut pembahagian giliran bermalam, makan minum, rumah, pakaian dan perhatian, terpaksa diakui bahawa perasaan kasih sayang hampir mustahil untuk dibahagikan sama rata.

Begitu banyak masa, tenaga dan wang ringgit yang terpaksa dicurahkan oleh semua keluarga yang mengamalkan poligami, dalam menguruskan konflik dan pergeseran akibat emosi dan jiwa yang sentiasa bergolak.

Islam yang begitu menjaga keluhuran nasab dan keturunan manusia, telah menetapkan bahawa poligini sahaja yang dibenarkan. Anak-anak yang lahir daripada beberapa orang wanita yang bersuamikan lelaki yang sama, bolehlah dinasabkan kepada lelaki tersebut.

Di bawah suasana dan keadaan tertentu, maka Islam membolehkan perkahwinan poligini diteruskan, dengan syarat ketat terlaksananya keadilan dan tiada sebarang unsur penganiayaan terhadap semua ahli keluarga yang terbabit.

Dalam masa yang sama, Muslimah dididik agar sentiasa menjaga kehormatan diri dan maruah keluarga, tinggi sifat malunya, mendalam kasih sayang dan kesetiaannya kepada seorang lelaki bergelas suami.

Fitrah haiwaniyyah yang tidak cukup dengan satu pasangan kelamin dibendung dan dikekang seketat-ketatnya, demi memastikan nasab keturunan anak-anak terpelihara dan tidak tercemar.

Di Balik Tabir Poligini


Mungkin sudah sampai masanya, pihak lelaki menyedari betapa banyaknya pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh wanita demi memastikan kesejahteraan, keharmonian dan kesucian zuriat keturunan terpelihara sebaik mungkin.

Alangkah baiknya jika pengorbanan tersebut diberikan pengiktirafan dan sedikit penghargaan, bukannya dengan sifat sombong, bongkak, takabbur dan ego yang sering ditunjukkan oleh para suami apabila sudah membuat keputusan mahu berkahwin lagi.


Pendek kata, jika alasan yang sering digunakan untuk berpoligini adalah kerana dikatakan nafsu lelaki sememangnya tidak cukup dengan satu, diharapkan dengan penjelasan artikel ini, para suami memahami bahawa si isteri juga sebenarnya tidak juga terbatas keinginan syahwatnya kepada seorang sahaja.

Kelonggaran berpoligini yang diberikan kepada lelaki Muslim, tidak boleh dilihat sebagai satu kelebihan atau keistimewaan, malahan ia diketengahkan sebagai sebahagian daripada amanah tanggungjawab pembelaan terhadap nasib dan masa depan wanita.

Di samping itu, janganlah dikesampingkan dan diambil mudah segala pengorbanan perasaan dan cabaran emosi yang terpaksa dikendalikan oleh wanita serta anak-anak yang terpaksa berkongsi suami atau bapa dengan orang lain.

Sebagai pemimpin keluarga yang memilih untuk mengamalkan poligami, suami dan bapa mestilah mampu mengendalikan kesemua isteri dan anak-anak dengan penuh hikmah.

Mereka mestilah bersedia menghadapi kerenah para isteri dengan meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan pengurusan masa, tenaga serta kewangan yang berkesan.

Insya-Allah.

Wallahua'lam