Memelihara Nasab Keturunan

Kali ini, kita akan menyentuh mengenai aspek nasab keturunan manusia yang menjadi satu daripada lima perkara yang dilindungi oleh maqasid syariah.

Susur galur atau geneologi keturunan manusia amat penting dipelihara dan dijaga demi memastikan penurunan baka, warisan dan kualiti daripada satu generasi kepada satu generasi berlaku dengan sempurna.

Demi penerusan dan suvival keturunan manusia, kelompok yang mempunyai ketahanan, kualiti dan keupayaan akan mengatasi golongan yang lebih lemah. 

Hukum ‘survival of the fittest’ atau keupayaan bertahan kelompok yang paling kuat, menjadi faktor utama pemilihan kumpulan yang akan mendominasi dan mewarnakan peradaban manusia dalam tempoh zaman tersebut.

Kemuliaan Nasab Keturunan


Secara fitrah, nasab keturunan menjadi satu elemen penting dalam menentukan kesinambungan hidup manusia. Islam memberikan perhatian khusus kepada perihal pentingnya nasab keturunan manusia.

Al-Quran banyak menyentuh mengenai elemen keturunan manusia sebagai salah satu faktor penentu kejayaan ataupun kegagalan sesuatu umat. 

Sebagai contoh, doa yang dibacakan oleh Nabi Zakaria AS dalam ayat 5 hingga 6 surah Maryam dan doa Nabi Nuh AS dalam surah Nuh ayat 26 hingga 27 yang bermaksud:-
“Dan sesungguhnya aku (Zakaria) khuatir terhadap kecuaian kerabat keturunanku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku, padahal isteriku seorang yang mandul, maka anugerahkan aku seorang anak dari sisi-Mu yang akan mewarisi aku dan mewarisi daripada keluarga Yaakub; dan jadikan dia ya Tuhanku, seorang yang diredhai.” 
Surah Maryam 19:5-6
“Dan Nuh berkata:-



‘Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun daripada orang kafir itu tinggal di atas muka bumi. 


Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu dan mereka hanya akan melahirkan anak-anak yang jahat (fajiran) dan yang kafir (kaffaran).” 

Surah Nuh 71:26-27

Nasab keturunan manusia diperlihara melalui hubungan yang diakui secara sah oleh sistem sosial iaitu pernikahan.

Maka wujudlah peranan suami dan isteri pada peringkat awal, dan berkembang menjadi ibu dan bapa apabila sudah menimang cahaya mata

Fungsi dan peranan ibu bapa begitu penting dalam menentukan persediaan generasi baru memikul tanggungjawab kepimpinan dan amanah masa hadapan. Wajarlah sedikit perhatian dikhususkan untuk memahami keibuan dan kebapaan tersebut.

Islam memberikan pengiktirafan dan kemuliaan seorang ibu kepada wanita yang mengandung dan menghamilkan zuriat keturunan manusia, berasaskan beberapa ayat al-Quran yang menjelaskan perkara ini. 

Antaranya sebagaimana dalam ayat berikut yang bermaksud:-
“Dan Kami perintahkan manusia (agar berbuat baik) kepada kedua-dua ibu bapanya. 



Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan tempoh menceraikan susunya dalam masa dua tahun. 


Bersyukurlah kepada-Ku dan kedua-dua ibu bapamu. Hanya kepada-Ku kembalimu.” 

Surah Luqman 31:14

Konsep Ibu Tumpang


Secara automatik, Islam menolak konsep ‘ibu tumpang’ atau ‘surrogate mother’ yang dipraktikkan sebagai rawatan ketidaksuburan atau infertility dalam konteks perubatan moden. 

Sekalipun benih ovum diambil daripada wanita lain yang disenyawakan oleh sperma suaminya sendiri dan hanya dipindahkan atau ‘ditumpangkan’ di dalam rahim seorang wanita lain untuk dihamilkan,

Islam beranggapan ibu yang sah bagi bayi tersebut ialah ibu yang mengandung sepanjang tempoh sembilan bulan tersebut. Maka penggunaan ibu tumpang sebagai rawatan masalah ketidaksuburan tidak dibenarkan oleh Islam kerana membabitkan pihak ketiga untuk mendapatkan zuriat.

Sebagaimana yang diperjelaskan dalam fatwa kebangsaan seperti yang dipetik di bawah:-
"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-80 yang bersidang pada 1 hingga 3 Februari 2008 telah membincangkan Hukum Menggunakan kaedah Khidmat ibu Tumpang (Surrogate Motherhood) Untuk Medapatkan Zuriat. 



Muzakarah telah memutuskan bahawa menggunakan kaedah khidmat ibu tumpang untuk mendapatkan zuriat diharamkan oleh Islam walaupun sperma dan ovum diambil daripada suami isteri yang sah kerana ia akan menyebabkan kekeliruan nasab anak yang akan dilahirkan."

Anugerah Rahim


Keibuan adalah sesuatu yang begitu teguh dan jelas, ibarat batu pejal yang tidak mudah ditarah. 

Allah SWT menciptakan sebuah organ khusus untuk hamba-Nya bergelar wanita; yang berfungsi sebagai tempat perlindungan sementara bagi seorang janin manusia berkembang peringkat demi peringkat.

Organ itu diberikan nama ‘rahim’ – mengambil sempena salah satu daripada nama Allah SWT yang Agung (al-Asma’ al-Husna). 

Wanita dimuliakan Allah SWT dengan anugerah sebuah rahim, sekaligus diberi amanah menjaga kesucian nasab keturunan manusia. Maruah dan kehormatan dikaitkan dengan rahim seorang wanita.

Demi memastikan ketulenan baka manusia, wanita diberikan tanggungjawab besar menjaga kesucian dirinya, agar tidak tercemar dan bercampur sperma atau benih lelaki yang datang daripada sumber selain lelaki bergelar suaminya yang sah.

Seorang ibu pula tidak akan dapat sekali menafikan hubungan yang terjalin kukuh antara dirinya dengan anak yang pernah mendiami rahimnya sepanjang tempoh kehamilan.

Wanita Mengikut Fitrah Manusia


Menurut fitrahnya, haiwan mamalia dikatakan tidak akan puas hidup berkelamin dengan satu pasangan sahaja sepanjang hayatnya. Baik jantan mahupun betina, haiwan berdarah panas sering berganti pasangan bagi memuaskan nafsu syahwatnya.

Namun, demi kesahihan baka keturunan manusia, wanita mestilah mampu setia dengan seorang pasangan lelaki sahaja pada satu-satu tempoh masa perkahwinan tersebut.

Sekilas pandang, tentu sesiapa sahaja boleh berhujah mengenai betapa tidak adilnya Islam – mengekang dan mengehadkan hak sesksual dan reproduktif seorang wanita, sedangkan lelaki pula boleh berkahwin lebih daripada seorang dalam satu-satu masa. 

Mengapa Islam membenarkan poligami (lebih daripada seorang isteri) sedangkan mengharamkan pula poliandri (lebih daripada seorang suami)?

Semuanya demi menjaga nasab keturunan manusia.

Namun Allah SWT menganugerahkan pula beberapa sifat yang menjadi benteng pertahanan kesucian wanita – sifat malu yang tebal dan konsep ketaatan serta kesetiaan yang begitu mahal harganya. Suka atau tidak, seorang ibu tidak akan dapat dipisahkan dengan seorang anak kandungnya.

Seorang penulis cina bernama Lin Yutang pernah menulis:-
“Antara banyak hak wanita, yang teragung ialah hak menjadi seorang ibu.”
Sementara kebapaan pula, agak janggal disebut lantaran jarangnya perkataan itu dibincangkan umum. Namun sebagaimana keibuan, konsep kebapaan juga amatlah penting untuk diperhalusi.

Agak sukar mengetengahkan perbincangan mengenai kebapaan tanpa terlebih dahulu memohon laluan agar diberi ruangan seluas mungkin untuk menghurai topik kecil ini.

Melalui pengalaman yang dikongsi kepada saya, kebenaran fakta mengenai kebapaan terpaksa juga ditelan sekalipun pahit dan adakalanya mencakar-cakar ego lelaki.

Sesungguhnya konsep kebapaan itu sebenarnya rapuh dan bergantung kepada tahap kesetiaan seorang wanita bergelar isteri.

Hanya sekiranya wanita tersebut terbukti setia dan tidak pernah menduakan suaminya, barulah seorang lelaki boleh secara pasti menuntut hak kebapaannya terhadap seseorang cahaya mata itu.

Vulnerability, insecurity atau perasaan ‘tidak selamat’ inilah yang dikatakan menghasilkan satu sejarah budaya dominasi lelaki (male domination atau al-abawiyyah) terhadap wanita.

Peranan Bersama Antara Pasangan


Wujudnya cawat besi yang dikenakan kepada para waniat isteri bangsawan pada zaman pertengahan Eropah, dikatakan demi menjaga kesucian maruah wanita tersebut agar tidak mengadakan hubungan seks dengan lelaki lain semasa peninggalan suami pergi berperang.


Mutlasi genitalia (tindakan membuang atau memotong sebahagian atau kesemua genitalia kanak-kanak perempuan dengan alasan adat resam) serta pengasingan total kaum wanita dalam sesetengah budaya juga dikatakan berasal daripada perasaan kurang selamat (insecurity) yang dirasai oleh lelaki yang bimbang akan kecurangan para isteri.

Dalam aspek ini, jelaslah betapa perlunya kesefahaman dan penjelasan mengenai tanggungjawab dan peranan yang harus dikongsi bersama antara pasangan; suami dan isteri yang megidamkan zuriat keturunan.

Penekanan wajar diberikan kepada aspek berhati-hati mengawal tingkah laku dan pergaulan silang jantina dalam kalangan ummah, bukan hanya dalam kalangan remaja belia semata-mata.

Islam yang meletakkan nasab keturunan dalam turutan ketiga dalam senarai lima perkara yang dilindungi oleh maqasid syariah, juga memastikan dalam masa yang sama, keharmonian rumahtangga terpelihara dengan kepercayaan, amanah dan kesetiaan.

Selain tegas mengharamkan penzinaan, Allah SWT juga menetapkan; tidak boleh mana-mana suami sewenang-wenangnya menuduh isterinya yang solehah berzina melainkan jika dia boleh mendatangkan empat orang saksi yang boleh dipercayai. Ketetapan ini melindungi wanita daripada dituduh berzina dengan sewenang-wenangnya.

Pendekatan dalam aspek keibuan, kebapaan dan kekeluargaan mestilah menjadi keutamaan penting yang wajar diberikan tumpuan dan perhatian dalam setiap keputusan yang hendak dibuat.

Wallahua'lam