Konsep al-Riqab Zaman Moden

Asnaf al-Riqab ialah salah satu daripada lapan asnaf penerima zakat yang disebutkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Sesungguhnya zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang miskin, amil zakat, yang dilunakkan hatinya (mualaf), untuk (memerdekakan) hamba sahaya, untuk (membebaskan) orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk orang yang sedang dalam perjalanan sebagai kewajipan daripada Allah.” 
Surah at Taubah 9:60

Al-Riqab diambil daripada perkataan al-Raqabah yang bermaksud leher yang bergerak atau pengakhiran kepala atau bahagian atas badan.

Setiap perkataan yang digunakan dalam al-Quran sudah tentu dan tepat. Perkataan leher atau tengkuk adalah simbolik kepada pembebasan manusia. Perkataan ini menggambarkan seolah-olah jika manusia terbelenggu atau terjerut lehernya, maka dia berada dalam cengkaman sehinggalah dia dibebaskan.

Ulama' dalam fiqah klasik membahagikan asnaf al-Riqab kepada tiga golongan, iaitu:-

Pertama: Hamba mukatab iaitu hamba yang ingin membayar tebusan bagi memerdekakan diri sendiri. Pandangan ini dikemukakan oleh Imam as-Syafi'e, Al-Laith, Abu Hanifah dan disepakati oleh jumhur ulama'.

Kedua: Hamba sahaya yang terdiri daripada golongan abid, raqabah atau amah. Mereka dibebaskan dengan secara langsung menerusi kaedah jual beli.

Ketiga: Hamba daripada tawanan perang yang disebut sebagai asir. Menurut al-Sa’di dalam tafsirnya, peruntukan al-Riqab juga boleh digunakan bagi membebaskan hamba Muslim yang ditawan oleh orang kafir.

Golongan al-Riqab Masakini


Al-Quran tidak turun melainkan dengan membawa syariat yang lengkap. Walaupun secara realitinya sistem perhambaan sudah dimansuhkan sekian lama, namun menurut sebahagian ulama' hukumnya masih tetap berlaku.

Antara ulama' kotemporari yang meluaskan maksud al-Riqab pada masakini ialah Syeikh Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin dan Dr. Ali Muhyiddin al-Qurrah Daghi

Menurut kedua ulama' ini, termasuk dalam asnaf al-Riqab adalah orang Islam yang diculik dan minta dibebaskan dengan tebusan atau seumpamanya.

Terdahulu daripada itu, Syeikh Muhammad Rasyid Redha dan Mahmud Syaltut berpandangan bahawa membebaskan suatu negara Islam yang sedang dijajah juga boleh dikategorikan sebagai al-Riqab.

Makna ini terus meluas sehinggalah meliputi pembebasan mereka yang terbelenggu dalam masalah eksploitasi, masalah pelacuran secara terpaksa dan perhambaan ekonomi.

Aplikasi al-Riqab di Malaysia


Berdasarkan Laporan Zakat PPZ-MAIWP 2010, dinyatakan bahawasanya di Malaysia hanya empat buah negeri yang mengagihkan zakat kepada asnaf al-Riqab iaitu Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Fatwa di Malaysia merupakan kesinambungan daripada pandangan atau itjihad Muhammad Rasyid Redha dan Mahmud Syaltut. Sebab atau ‘illah ialah al-Riqab dikaitkan dengan pembebasan individu daripada sebarang bentuk belenggu.

Antara masalah yang cuba ditafsirkan dalam definisi belenggu ini adalah:-

Pertama: Belenggu kejahilan yang termasuk dalam aktiviti dan program dermasiswa, pembudayaan al-Quran dan lain-lain.


Kedua: Belenggu masalah sosial dan aqidah (termasuk program pemulihan akhlak dan pemurnian aqidah, masalah sosial seperti pembuangan bayi, dadah, masalah ‘ibu ayam’, penjualan anak kepada bukan Islam, gaya hidup songsang, kes juvana, gangsterisme, penyakit berjangkit seperti AIDS, masalah aqidah seperti syirik, khurafat dan proses istitabah (taubat).

Ketiga: Belenggu yang pelbagai termasuk belenggu ekonomi. Belenggu ini boleh diperluaskan kepada masalah penyalahgunaan kanak-kanak untuk bekerja dan masalah pemerdagangan manusia.

Realiti al-Riqab Moden


Berikut adalah antara kewujudan golongan al-Riqab yang tidak pernah terhapus di kebanyakan negara-negara di dunia:-

#1 Mauritania


4% daripada populasi iaitu 151,000 orang dianggap hamba. Perhambaan dimansuhkan sejak tahun 1961 dan pemerdagangan manusia telah diharamkan sejak tahun 2003.

#2 Haiti


Negara ini mempunyai hampir 209,000 orang hamba. Terkesan daripada kadar kemiskinan tegar, tiada keselamatan sosial, buruh kanak-kanak yang didera secara fizikal dan mental malahan seksual.


#3 Pakistan


Sebanyak 2.1 juta rakyatnya boleh dianggap hamba terutamanya kanak-kanak dan golongan buruh kasar.

#4 India


Lebih kurang 13.9 juta orang hamba berada di India. Berlaku aktiviti buruh secara paksa, perkahwinan paksa dan kesan ekonomi yang lumpuh hasil daripada gejala rasuah dan diskriminasi etnik yang tidak terkawal.

#5 Maldova


Seramai 33,000 orang terlibat dengan kancah perhambaan moden. Rakyat mereka di Ukraine, Rusia dan Amerika Syarikat dieksploitasi dalam perhambaan seksual, pembinaan, pertanian dan buruh domestik.

Terdapat rekod permerdagangan organ dicatatkan.

#6 Benin


Terdapat 80,000 orang hamba wanita dan kanak-kanak yang dijadikan sebagai buruh domestik, seks dan buruh paksa.

Berlaku perhambaan kuil secara berterusan di mana kanak-kanak dipaksa menjaga rumah suci dan didera secara seksual.


#7 Ivory Coast


Sebanyak 156,000 orang terlibat dengan eksploitasi buruh paksa dan buruh domestik. Kanak-kanak dipaksa bekerja di jalanan juga di dalam sektor perlombongan, pertanian, pembinaan dan perikanan.

#8 Gambia


UNICEF menganggarkan 60,000 kanak-kanak Gambia terlibat dengan perhambaan moden dan dipaksa mengemis, melacur dan terlibat dengan aktiviti perlancongan seksual.

#9 Gabon


Terdapat 13,000 bilangan hamba. Gabon adalah tempat transit perhambaan moden.

Wallahua'lam