Jabir Ibn Hayyan - Sang Perintis Teori Molekul

Tidak silap lagi apabila dunia menggelarnya sebagai Bapa Kimia Moden

Ahli kimia Muslim terkemuka dari era kekhalifahan yang mana di dunia Barat dikenali dengan gelaran Geber ini memang amat terkenal.

Bagaimana tidak, 10 abad sebelum ahli kimia Barat bernama John Dalton (1766 – 1844) mengasaskan teori mengenai molekul kimia, Jabir Ibn Hayyan telah terlebih dahulu menemuinya pada abad ke-8


Jabir Ibn Hayyan dilahirkan pada tahun 712 Masehi dan dibesarkan dalam keluarga doktor.

Beliau merupakan salah seorang tokoh yang dianggap paling layak digelar wakil utama ‘alchemy’ (ahli kimia) dari Arab pada masa awal perkembangannya. Nama lengkapnya adalah Abu Abdullah Jabir bin Hayyan al-Kufi as-Sufi.

Kumpulan tulisan Ibn Hayyan terbahagi dalam beberapa kumpulan yang amat penting iaitu:-

Pertama: Buku yang mengandungi esei yang menghuraikan amalan ‘alchemy’ secara sistematik dengan beberapa panduan yang menunjukkan pada amalan ‘alchemy’ atau kimia kuno.

Kedua: Buku yang berupa satu penjelasan sistematik mengenai kimia oleh Jabir Ibn Hayyan sendiri.

Ketiga: ‘Book of the Balances’, kitab mengenai keseimbangan, satu penjelasan mengenai landasan teori atau falsafah kimia dan ilmu ghaib.

Beliau telah menulis 306 buah buku tentang kimia. Buku-buku tersebut telah diterjemahkan ke dalam berbagai bahasa dan kini tersebar di banyak perpustakaan di seluruh dunia.

Nama Jabir melonjak sebagai ahli kimia setelah beliau menampilkan kaedah kajian kimia yang telah ditemuinya, sehinggakan menempatkannya sebagai tokoh perintis empirisme sebagai satu metodologi ilmiah

Beliau juga mampu mengemukakan pandangannya tentang teori pembentukan geologi dan campuran pelbagai logam

Beliau juga telah mempelajari dan mendalami, kemudian menjelaskan cara membuat karbonat, campuran sulfida dari arsenik

Di samping itu, Jabir diketahui telah melakukan usaha pemurnian logam, cat warna kain, kulit dan sebagainya.

Untuk membantu aktivitinya sebagai ilmuwan, Jabir membina sebuah makmal untuk keperluan eksperimen seperti sublimasi, menyaring, pengkristalan dan sebagainya. 

Sumbangan dalam Bidang Kimia


Beliau menganggap eksperimen merupakan aspek paling penting dalam kimia. Jabir berpendapat bahawa seseorang yang tidak meletakkan asas pengetahuan pada bukti eksperimen, maka besar kemungkinan akan melakukan kekeliruan dan kesilapan. 

Nilai ilmu kimia tidak diakui dengan apa yang telah dibacanya tetapi apa yang telah diuji dan dibuktikan kebenarannya melalui eksperimen

Penulisan bahan bacaan oleh Jabir Ibn Hayyan yang sedemikian banyaknya, yang terdiri dari hampir semua ilmu yang ada pada masa itu sehingga akhir abad ke-8 benar-benar tidak dapat ditandingi. 

Fakta yang ada menunjukkan bahawa kumpulan tulisan tersebut telah dikompilasi pada akhir abad ke-9 dan awal ke-10 Masehi.

Dengan apa yang telah dilakukannya, layaklah apabila Jabir Ibn Hayyan disebut-sebut sebagai Bapa Kimia Islam pertama.

Beliaulah ilmuwan pertama yang menggunakan kaedah ilmiah dalam aktivitinya dalam bidang kimia, yang kemudian dikembangkan menjadi ilmu kimia seperti yang kita ketahui sekarang ini. 

Namanya tercatat pula dengan tinta emas sebagai orang yang pertama yang membina sebuah makmal dan menggunakan tungku untuk memproses mineral dan mengeluarkan unsur-unsur dari mineral itu serta mengklasifikasikannya. 

Kehidupan Jabir Ibn Hayyan sendiri akrab dengan dunia empirikal dan perubatan

Beliau berjaya mengklasifikasikan berbagai jenis benda yang dalam perkara ini, yang beliau susun berdasarkan unsur-unsur kimianya. 

Beliau membahagikannya kepada tiga iaitu:-
  • Tubuh
  • Nyawa
  • Akal
Dalam kaitannya dengan unsur-unsur kimia, maka emas (Au) dan perak (Ag) termasuk dalam bahagian tubuh. Sulfur (S) dan arsenik (As) termasuk dalam bahagian nyawa. Sedangkan merkuri (Hg) atau air raksa dan sal ammoniac (batu bara dan sari minyak) tergolong dalam bahagian akal.


Jabir Ibn Hayyan cukup terkenal kerana hasil tulisannya yang mecapai lebih dari 100 risalah dan masih diabadikan sehingga kini. Terdapat lebih kurang 22 risalah yang antaranya berkaitan dengan kimia dan ilmu kimia.

Beliau juga memperkenalkan model kajian eksperimen di dunia kimia yang menjadi titik awal bagi perkembangan ilmu kimia moden.

Karya-Karya dari Jabir Ibn Hayyan


Pada Abad Pertengahan di Eropah, risalah Jabir Ibn Hayyan dalam bidang ilmu kimia, termasuk kitabnya yang termahsyur iaitu Kitab Al-Kimiya dan Kitab Al-Sab’een, diterjemahkan ke bahasa Latin.

Bahkan, terjemahan Kitab Al-Kimiya juga diterbitkan oleh orang Inggeris yang bernama Robert Chester pada 1444 Masehi dengan judul ‘The Book of the Composition of Alchemy’. 

Buku kedua, Kitab Al-Sab’een diterjemahkan oleh Gerard dari Cremona sementara Barthelot juga menterjemahkan beberapa buku tulisan Jabir Ibn Hayyan, di antaranya ‘Book of Kingdom’, ‘Book of the Balances’ dan ‘Book of Eastern Mercury’.


Pada 1678, seorang bangsa Inggeris bernama Richard Russel telah mengalih bahasa karya Jabir Ibn Hayyan yang lain dengan judul ‘Sum of Perfection’.

Buku terjemahan Richard ini kemudiannya menjadi amat popular di Eropah selama beberapa abad lamanya dan telah memberi pengaruh besar kepada evolusi ilmu kimia moden.

Eksperimen kimia yang dilakukan oleh Jabir Ibn Hayyan begitu kaya dan berjaya menginspirasikan ilmuwan berikutnya. 

Beliau meninggal dunia pada tahun 825 Masehi di Kufah.

Wallahua'lam