Apakah Zuhud Sebenarnya?

Ada yang tertanya-tanya, Islam menentang kekayaan dan perolehan harta

Ada pula yang memainkan perkataan ‘zuhud’ bagi menyokong kempen dan kefahaman mereka. Benar, zuhud ialah satu sifat yang amat baik dan terpuji dalam Islam

Bagaimanapun, saya mendapati terdapat salah faham masyarakat Islam dalam memahami ertinya, sehingga ia ditakrifkan sebagai menjauhkan diri daripada dunia dan membiarkan diri miskin.


Ada juga yang menganggap zuhud sebagai tidak menggunakan harta yang diperoleh untuk diri dan keluarga.

Selain itu, ia juga dikatakan zuhud jika berumah, berpakaian dan berkereta usang walaupun mempunyai harta; membiarkan umat Islam tidak membina sebarang kilang, bangunan dan perniagaan kerana ia dikira sebagai zuhud iaitu lari daripada dunia sejauh-jauhnya. 

Dengan demikian dunia akan datang kepada kita. 

Adakah ini benar-benar sesuatu yang diarahkan oleh Islam?

Tidak kurang juga yang membawakan dalil-dalil yang hebat seperti hadith Nabi SAW yang bermaksud:-
“Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau seperti orang yang melintas.” 
Hadith Riwayat al-Bukhari
Ditambah lagi hadith lain yang bermaksud:-
“Demi Allah, tiadalah kehidupan di dunia kecuali seperti seseorang yang mencelup jarinya ini (sambil Yahya, iaitu perawi, menunjukkan jari telunjuknya) ke dalam laut dan lihatlah apa yang  mengikut (jari tadi dari air).” 
Hadith Riwayat Muslim
Demikian juga ayat Allah SWT bermaksud:-
“Tetapi kamu (orang kafir) memilih kehidupan duniawi. 
Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.” 
Surah al-A'la 87:16-17

Apakah Zuhud Sebenarnya?


Masih ramai umat Islam yang tidak faham erti sebenar zuhud

Mereka menganggap zuhud itu:-
  • Menjauhkan diri daripada dunia
  • Berpakaian lusuh
  • Berkereta dan berumah buruk dalam keadaan mampu
  • Membiarkan diri miskin

Zuhud yang sebenarnya adalah dengan mengutamakan kehidupan akhirat berbanding dunia. 

Sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-A'la ayat 16 dan 17 tadi, iaitu Allah SWT menyifatkan orang kafir mengutamakan dunia semata-mata, kemudian Allah SWT menyebut kehidupan akhirat itu lebih baik dan kekal.


Apabila Allah SWT menggunakan perkataan ‘lebih baik’, ini bermakna kehidupan dunia adalah ‘baik’, cuma akhiratlebih baik’ dan ‘lebih kekal’. Justeru Islam tidak sesekali melarang umatnya mencari yang baik. 

Nabi SAW juga pernah menyebut bahawa Allah SWT itu Maha Baik dan suka akan perkara-perkara yang baik.

Cuma yang salah faham dalam hal harta ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah SWT dalam ayatnya yang bermaksud:-
“Sekali-kali janganlah demikian. 
Sebenarnya kamu mencintai kehidupan dunia dan meninggalkan (kehidupan) akhirat.” 
Surah al-Qiyamah 75:20-21
Iaitu mencari dan mencintai dunia hingga melupakan akhirat.

Apakah maksud melupakah akhirat?”, tanya seseorang kepada salah seorang pendakwah.

Maksudnya mengetepikan, tidak endah serta malas mencari ilmu tentang halal haram dalam perolehan dan perbelanjaan hartanya. Orang sebegini tidak endah sama ada ia riba, rasuah, pecah amanah, curi dan lain-lain. 

Yang penting baginya ialah poket semakin penuh.

Termasuklah juga, mengabaikan kewajipan Islam kerana terlalu mabuk dalam mencari harta seperti tidak solat, tidak berzakat, mengabaikan tanggungjawab kepada rumahtangga dan sebagainya.”, terang pendakwah tersebut.

Tiba-tiba seorang rakannya pula bersuara:-

Jadi apa kaitannya dengan zuhud, ustaz?

Pamerkan Nikmat Allah SWT


Ini bermakna zuhud itu ialah usaha mencari dan membelanjakan harta tanpa melupakan hukum dan keredhaan Allah SWT. Pandangan Allah SWT akan sentiasa menjadi prioriti dalam pengurusan dan pendapatan hartanya. 

Ia juga akan memastikan zakat dan sedekah dikeluarkan. Itulah zuhud. Zuhud bukannya menjadikan diri miskin dan menjauhi dunia, walaupun keretanya besar, rumahnya indah, jamnya berjenama.”, tambah pendakwah itu lagi.

Bolehkah gunakan benda-benda begitu ustaz?”, tanya pemuda pertama lagi.

Sudah tentu boleh, jika sudah ditunaikan seluruh kewajipan dalam perolehan harta itu dan hatinya sentiasa dijaga agar tidak bangga dan sombong dengan kejayaannya.”

Pendakwah tersebut kemudiannya menceritakan suatu anekdot ringkas, kisah sahabat Nabi SAW. Sahabat tersebut bertemu Nabi SAW dengan penampilan yang agak daif


Melihat keadaannya yang demikian, Nabi SAW bertanya:-

Adakah engkau mempunyai harta?

Sahabat itu menjawab:-

Ya.

Baginda SAW bertanya lagi:-

Dari mana dan apa jenis hartamu itu?

Sahabat itu menjawab lagi:-

Allah telah memberiku harta daripada ternakan unta, kambing dan kuda.

Nabi SAW terus bersabda yang bermaksud:-
“Jika seseorang kamu telah diberikan harta (yang halal), maka hendaklah atau haruslah ditunjukkan kesan-kesan nikmat dan kemuliaan Allah (yang diberikan) kepadanya.”
(Rujukan: HR Abu Daud no. 4063, at-Tirmizi no. 2006; at-Tirmizi, al-Albani menilai hadith ini hasan sahih)

Imam Ibn Hajar mengular berkenaan maksud hadith ini:-

“Hendaklah seseorang itu memakai pakaian bersih yang layak dengan kedudukannya agar jika terdapat orang yang ingin meminta bantuan, maka boleh dikenali siapa yang boleh memberikannya. 

Pada masa yang sama, mestilah menjaga niatnya dan menjauhi pembaziran.”

(Rujukan: Fath al-Bari, jilid 10, halaman 260 dan Tuhfah al-Ahwazi, jilid 6, halaman 122)

Jangan Kaya di Dunia Tetapi Tercela di Akhirat


Tafsiran zuhud yang saya berikan adalah dengan bersandarkan ayat Allah SWT yang tidak menegah kita menjadi kaya dan berharta, tetapi yang dikehendaki adalah supaya sentiasa peka dan berwaspada dengan tipu daya harta agar tidak lalai daripada perkara halal dan haram dan keredhaan Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Wahai orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. 

Sesiapa yang membuat demikian, maka mereka itulah orang yang rugi.” 
Surah al-Munafiqun 63:9
Islam tidak melarang sama sekali kita menjadi kaya dan menggunakan peralatan, kemudahan dan pakaian yang layak dengan pendapatan kita. 

Malah ia amat digalakkan untuk menjadi kaya dengan cara yang halal, kerana dengan itu zakat dapat dikeluarkan bagi membantu umat Islam yang tidak berkemampuan.


Harta hanya akan menjadi tercela apabila ia membawa kepada kelalaian dan pengabaian yang wajib di sisi Allah SWT

Inilah yang disebutkan oleh salah seorang ulama' tabi'in yang terhebat iaitu Sa’id Ibn Jubair:-

“Harta yang menipu ialah apa-apa yang melalaikanmu daripada mencari akhirat. 

Dan apa-apa sahaja yang tidak melalaikanmu daripada akhirat bukanlah daripada jenis harta atau kerja yang melalaikan tetapi ia dianggap harta yang boleh menyampaikan kamu kepada apa yang lebih baik (akhirat).”

(Rujukan: Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, halaman 360)

Takrif Zuhud di Sisi Ulama'


Para ulama' silam juga pernah membetulkan salah faham tentang pengertian zuhud ini. Lihatlah pengertian zuhud yang disebut oleh mereka:-

Imam Ibn Juzai:-

“Bukanlah zuhud dengan meninggalkan (pendapatan dan harta) yang halal, bukan juga membuang harta. 

Kemungkinan seseorang yang kaya itu bersifat zuhud apabila hatinya kosong daripada dunia (tidak mengharapkan sesuatu daripada dunia dan kekayaannya untuk dunia), dan berkemungkinan orang fakir itu orang yang bersifat duniawi apabila hatinya amat berkehendakkan dunia, tatkala itu hatinya segar dengan ikatan kepada dunia.”

(Rujukan: Al-Qawanin al-Fiqhiyyah, halaman 471)

Imam Sufyan bin Uyainah:-

“Sekiranya sesuatu harta itu hilang atau kurang, seseorang itu tidak terlalu bersedih dan tatkala ia bertambah, ia tidak pula gembira. 

Malah ia tidaklah berasa benci akan mati kerana tidak mahu berpisah dengan hartanya.”

(Rujukan: Jami al-Ulum wa al-Hikam, halaman 256)

Imam al-Qarafi:-

“Bukanlah zuhud itu tidak mempunyai sesuatu di dalam tangan, tetapi tidak bergembira hatinya dengan dunia (perolehan dunia) walaupun ia jatuh ke dalam miliknya.”

(Rujukan: Al-Zakhirah)

Kesimpulan


Diharuskan mencari harta sebanyak-banyaknya dengan syarat ia tidak melalaikan daripada akhirat. Melalaikan akhirat adalah dengan tidak mengendahkan hukum Islam dan mengambil ringan tentangnya. 

Fokus utama mereka hanyalah memperoleh keuntungan dan menebalkan poket sahaja. Halal haram diletakkan sebagai soal kedua.

Jadi, fahamilah konsep sebenar dalam pencarian harta. Fahamilah pandangan Islam dalam semua instrumen mendapatkan harta. Tidak dinafikan terlalu banyak cara dan instrumen baru serta canggih yang diperkenalkan tetapi awas, tidak semuanya membawa kebahagiaan di akhirat kelak.


Bersifat zuhud bukanlah bermaksud membiarkan diri miskin, tidak berusaha, berkenderaan buruk dan berpakaian lusuh dalam keadaan berharta dan mampu. 

Kesimpulannya, amat diharapkan agar umat Islam tidak menjadikan zuhud sebagai alasan mereka tidak berdaya maju dan tidak pula tersilap memahami konsep harta dalam Islam hanya kerana tidak faham erti sebenar zuhud.

Wallahua'lam