Mengawal Nafsu Perut

Semua manusia tidak dapat mengelak daripada hakikat bahawa masing-masing mempunyai nafsu makan. Ini adalah sunnatullah dalam kehidupan manusia. Nafsu makan ini akan menjadi salah satu nikmat hidup di dunia jika ia dapat ditunaikan mengikut kehendak syarak. 


Namun, jika nafsu terlalu diikutkan, maka natijah yang bakal terjadi ialah kemudaratan pada kesihatan diri secara fizikal mahupun spiritualnya.

Syeikh Abdul Qadir al-Mandili dalam kitabnya ‘Penawar Bagi Hati’ membincangkan perihal makan dan kesannya dalam kehidupan kerohanian

Perihal menjaga makanan dan mengawal nafsu perut menjadi perkara penting dalam ilmu tasawuf sehinggakan diwujudkan mazhab al-Ju' (berlapar) dalam bidang ilmu ini.

Pemakanan yang seimbang dan halal berkait rapat dengan kewarakan. Oleh yang demikian, para sufi mengambil perhatian yang serius dalam mengekang nafsu perut, semata-mata untuk meraih kedudukan warak di sisi Allah SWT.

Menurut Imam Ahmad bin Hambal RH, warak semestinya digandingkan dengan zuhud. Dengan demikian, memakan makanan halal ini bermakna memakan benda yang halal mengikut sunnah Baginda SAW serta mengambilnya dengan sifat zuhud dan warak.

Antara gambaran nafsu makan (sharah al-ta'am) yang dicela oleh syarak pada masa yang sama dikategorikan oleh ulama' sufi sebagai sifat mazmumah ialah:-
  • Terlampau banyak makan atau minum ataupun gelojoh yang menyerupai cara makan atau minum orang kafir.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan menyebabkan seseorang menjadi malas dan lemah seterusnya membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan seseorang itu lalai daripada menunaikan ibadah, berfikir dan berzikir.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan yang ditegah walaupun tidak membawa kepada kelalaian daripada menunaikan ibadah.


Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Wahai anak-anak Adam! 
Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau. 

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” 
Surah al-A'raf 07:31
Demikianlah penerangan berkaitan tabiat makan dan minum berlebihan yang dikutuk oleh syarak. Tabiat ini secara pasti berpunca daripada nafsu yang menyuruh kepada kejahatan (ammarah bi al-su') berasaskan firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu ynag diberi rahmat oleh Tuhanku. 

Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” 
Surah Yusuf 12:53
Walau bagaimanapun, tabiat makan atau minum yang tidak membangkitkan perasaan seumpama demikian tidak termasuk dalam perbincangan ini.

Tip Mengurangkan Makan


Sebelum kita pergi jauh dalam perbincangan ini, suka saya mengongsikan tingkatan para solihin dalam bab pemakanan yang boleh disimpulkan seperti berikut:-

Tingkatan Pertama

Golongan Sidiqqin yang merupakan darjat tertinggi. Mereka hanya makan sekadarnya bertujuan untuk menguatkan ibadah kepada Allah SWT. Baginda SAW junjungan mulia kita sentiasa mengamalkan pemakanan seperti ini.

Tingkatan Kedua

Mereka yang hanya makan setengah cupak gandum atau beras setiap hari. Antara mereka yang mengaplikasikannya ialah Saidina Umar al-Khattab RA dan beberapa orang sahabat lain seperti Abu Hurairah RA

Mereka hanya memperuntukkan satu gantang untuk di makan dalam tempoh seminggu.


Tingkatan Ketiga

Mereka yang hanya makan secupak gandum atau beras sehari.

Sebenarnya, mengawal nafsu makan tidaklah sesukar yang dibayangkan. Ada perkara-perkara penting yang perlu kita lakukan untuk mengurangkan nafsu makan. 

Cuba perhatikan perkara berikut. 

Mudah-mudahan ia menjadi panduan untuk mengawal nafsu makan kita sekaligus mempertingkatkan kualiti ibadah kita bersama:-
  • Mengukuhkan azam untuk berubah. Azam yang bukan azam biasa-biasa tetapi perlukan tindakan dan mujahadah
  • Mengenal pasti sumber dan punca (mu’atabah) seterusnya menghindarkan diri daripadanya
  • Mengenal pasti cara, suasana, tempat dan individu yang dapat menarik kita kepada kelupaan syahwat makan. Contohnya amalan-amalan seperti membanyakkan berpuasa, berzikir, membaca al-Quran dan bersendirian untuk mengingati Allah SWT (khuluwwah)

Wallahua'lam