Hidup Jangan Dikelilingi Alasan

Semua orang ada alasan. 

Sedar atau tidak, sengaja atau tidak sengaja, kita hidup bersamanya. 

Sedangkan alasan ialah salah satu belenggu yang menyekat kita daripada mencapai apa yang diinginkan.

Kita semua mahukan hidup senang dan bahagia, tetapi tidak semestinya segala yang diidamkan akan datang terhidang di depan mata. 

Apabila kita ditanya:-

“Kenapa tidak dapat?”

Jawapannya pula begitu dan begini. 

Amatilah jawapan kita ini, adakah benar-benar sebab atau hanyalah sekadar alasan.

Alasan mungkin berpunca daripada kesalahan kita atau orang lain. Apabila banyak alasan, bererti kita hanya banyak memberi justifikasi untuk mendapatkan sesuatu. 

Ini disebut sebagai sifat ego.

Enam Koreksi Diri


Pernahkah anda memikirkan mengenai enam perkara di bawah:-
#1 Apabila ingin melakukan sesuatu, kita sendiri berkata kepada diri kita:-

“Boleh ke, aku mana tahu semua ini. 

Sekarang ekonomi teruklah, semua benda susah nak berjaya. 

Malunya aku kalau orang tengok aku gagal.”

Jika begitulah fikiran dan sistem kepercayaan kita, itulah yang akan berlaku.
#2 Dari mana datangnya fikiran seperti ini?

Sebenarnya ia datang daripada persekitaran kita sama ada melalui apa yang dengar atau baca. Maklumat ini jika dibiarkan menguasai fikiran tanpa ditapis akan memberikan kesan negatif kepada minda.
#3 Apakah yang kita dapat dengan sekadar memberi alasan?

Realitinya, alasan diberi hanya hendak mengelakkan daripada risiko dan tanggungjawab!
#4 Bagaimanakah agaknya keadaan hidup kita kalau tidak lagi asyik memberi alasan?

Jawapannya, minda kita akan bebas seterusnya akan terus berusaha untuk mencapai kejayaan.
#5 Bagaimanakah cara untuk kita mengubah diri yang selalu tidak mempercayai kebolehan diri sendiri dan selalu memberikan alasan?

Kaedahnya, sentiasa meningkatkan ilmu, buat perancangan dan strategi yang betul.
#6 Tanya pada diri sendiri, adakah kita yakin akan berjaya juga akhirnya bila kita tidak lagi memberi alasan, sebaliknya tetap tidak berhenti berusaha sambil menyandarkan harapan kepada Allah SWT?

Jawapannya, insya-Allah. Maka teruskanlah hidup tanpa alasan.

Berpegang Pada Prinsip Diri


“Living With The Flow”

Berikut ialah prinsip yang patut digunakan untuk menghilangkan alasan dalam kehidupan. Hasilnya kita akan tenang dan merasakan diri seolah-olah berada di dalam sebatang sungai yang akan membawa kita ke mana sahaja. 

Ia dipanggil ‘living with the flow’.

Berikut adalah tindakan-tindakan yang kita perlu lakukan:-

#1 Memperbetulkan dunia dalam dan tindakan kita, insya-Allah dunia luaran dan tindakbalas daripada orang lain akan bertambah baik.

#2 Menghormati semua makhluk dan seluruh kehidupan di dunia ini tidak kira kehidupan manusia ataupun haiwan. Ini bermaksud, kita menghormati orang lain tanpa mengira pangkat, rupa atau kedudukannya.

#3 Jujur dan ikhlas. Berbuat baik dengan orang atau sesuatu bukan kerana ingin mendapat balasan. Apa yang penting adalah kita mesti akan mendapat balasan daripada Allah SWT di akhirat kelak.

#4 Sentiasa lemah lembut. Kelembutan datang daripada nilai roh kita.

#5 Sentiasa niatkan pada setiap hari: ‘Bagaimana cara terbaik untuk saya memberikan khidmat kepada orang lain dan bagaimana ia bermanfaat kepada diri saya dan orang lain juga?’

Hayatilah dan amalkan perkara-perkara ini, insya-Allah anda pasti dapat mengelak daripada terus memberikan alasan-alasan yang tidak membawa anda ke mana-mana.


Kejar Kejayaan, Kelar Alasan


Langkah utama ialah mengenal pasti kelebihan dan kekurangan diri, kemudian buat perancangan dan jelas dengan matlamat utama.

Sentiasalah meningkatkan motivasi diri dengan keyakinan bahawa kejayaan sudah terjamin selagi usaha tidak terhenti. Semua ini akan mendorong kita untuk mengelak daripada sebarang alasan dan seterusnya mengekalkan kita bersama azam dan keinginan.

Tetapi harus diingati, apa jua yang kita inginkan, mestilah didorong oleh keinginan untuk medapatkan redha dan keberkatan daripada Allah SWT. Dalam erti kata lain, perkara yang hendak dilakukan itu mestilah baik dan besar manfaatnya kepada diri kita dan juga orang lain.

Seterusnya tetapkan tujuan hidup. Namun, dipastikan kita memahami tentang sebab kita hendak perkara itu dan akhir sekali letakkan target (matlamat) dalam kehidupan kita.

Apabila ingin melakukan sesuatu tetapi masih mengatakan ‘tidak boleh’ atau ‘susahnya’, itu semua alasan. Ini tandanya kita mempunyai banyak ego

Oleh itu, kita perlu melihat daripada dalaman diri iaitu melalu kesedaran atas apa yang kita mahukan dan lakukan hanyalah untuk mendapat redha Allah SWT, bukannya untuk penghargaan sesama manusia.

Begitu juga paradigma yang kita perlu lakukan iaitu berhenti daripada memberikan alasan dan ingat akan prinsip yang ditekankan sebelum ini iaitu menghormati semua orang, ikhlas, lemah lembut, sentiasa memberikan perkhidmatan.

Dengan adanya keempat-empat prinsip itu, kita tidak akan memberikan alasan lagi, insya-Allah!

Wallahua'lam

Share on Google Plus

About Mohd Shahrul

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment